Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Rabu, 1 Julai 2009

PAK LANG, TUANKU RAO DAN AKU



Sewaktu kecil aku tidak peduli cerita Pak Lang

bila petang bertandang di pangkin bawah rumahnya

dia selalu sebut Tuanku Rao

malas nak dengar tapi berulang kali dia bercerita



Pak Lang totok Rao dari Langgung

merantau ke Batu Karang menjadi buruh kompeni bijih

dah berbini beranak satu

tapi di Batu Masjid lalu menikah lagi satu

dengan uwah kakak ayah



Pak Lang rajin berkebun pandai pula bersilat

gulai lomak penganan Rao dimasaknya bersama baung

harum terbau satu kampung

dapur uwah selalu berasap

walaupun uwah sudah jarang ke dapur



Uwah gadis cantik Batu Masjid

ramah santun senyumnya menawan

anak-anaknya yang lima orang itu memanggil ibuku, amai[1]

pabila uwah berbual dengan rakan sebayanya, kerap sangat disebut abet[2]

begitu jua bertemu ibu saudara sepupu sebelah ayah, uwah kerap pula menyebut bayong[3]

keluarga Rao di Batu Masjid sungguh beradat

namun Pak Lang dari Rao itu tidakpun pantang tanah[4]

tapi aku dan anak-anak uwah wajib sekali bertatih[5]



Pak Lang totok Rao dari Langgung

lelaki perkasa tetapi bila uwah menutup usia dia jadi perasa

aku yang selalu bertandang di pangkin bawah rumahnya

acap juga terlihat matanya berkaca

petah bibirnya menyusun kisah uwah

kakak ayah yang satu itu

sesekali dia sebak dan sendu

tetapi dia bijak menyembunyikan pilu

lalu menukar cerita

yang aku malas nak dengar;


Kato urang...Tuanku Rao tu wali Allah.” Pak Lang dah mula jual ubat cap Raonya. “Satu pagi, ketiko Tuanku Rao membasuh kulah mosojid, tibo-tibo nyonyo berkato; Mokah terbakar!. Sekolip mato Tuanku Rao hilang dari pandangen. Nak jadi cerito…urang baliek haji pun menyobut nyonyo ternampak Tuanku Rao memadam api ketiko Mokah terbakar,”



Aku sekelumitpun tak percaya tapi Pak Lang patriotik sifatnya

apa sahaja pasal Rao dia pasti bangga

dan aku sering menyakatnya;


“aku urang Jambi…niniek aku Ismail Jambi… urang pertamo menanam bijik gotah di Sumatera, dikutiek dari Malaya siko ni..bawak ke sinun”



Pak Lang lelaki perkasa Rao ini kekadang pemarah jua

macam ayah adik tunggal uwah;

sekali sekala aku ditengkingnya


“Jangen menciriek..kawu tu urang pantang tanah….Rao la tu!” jegel Pak Lang.



Ayah adik bongsu uwah sudah lama bermukim di Makkah

Pak Lang pun berbelas tahun telah menjadi arwah

jenazahnya disemadikan sebelah makam uwah

tapi lama sebelum dia pulang ke alam baqa

dia pernah menyebut;


Indo ku podah baliek ke Rao.” Sewaktu uwah belum menutup usia.”Kalau baliek ke Rao indo la aku pulang ke siko laei…di sinun tang aku berkubor. Kesian uwah kelian.”



Sayang benar Pak Lang pada uwah

semacam sayangnya tertumpah kepadaku

aku anak nakal daripada keluarga Rao ini

acap sangat bersama Pak Lang;

pabila nak gunting rambut

Pak Lang usung dalam raga besar di belakang basikal

aku terkial-kial dalam raga sedang Pak Lang laju mengayuh

ke pekan kecil bernamaTimoh



Pak Lang totok Rao dari Langgung

bijak bukan kepalang

dia tak mahu pulang

dia minta adiknya datang

akulah, jari basurek dipaksa mengarang mengutus khabar ke Rao

akulah, jari basurek diupah sekupang dua tanpa pernah meminta

akulah, jari basurek yang sering membaca khabar dari Rao untuk Pak Lang

akulah, jari basurek menyampah pada Pak Lang yang tak tahu membaca

Bila petang itu bertandang di pangkin bawah rumahnya

Pak Lang mengulangi cerita lama;


“Tuanku Rao mengombang agamo Islam di tanah Batak,

menjadi Imam Bosar menantu Yang DiPertuan Rao,
sesudah Porang Paderi muncul pulo Belando

berporanglah nyonyo dengan si penjajah tu.”



Pak Lang nama sebenarnya Pado bin Yaman

kata ayah, di Rao dia bergelar Sutan Seri Pado

tapi Pak Lang tak pernah sebutpun

tapi Pak Lang tak pernah ceritapun

yang kerap dia sebut

yang kerap dia cerita;

ialah Tuanku Rao



Terlalu istimewa manusia itu di hati Pak Lang

suatu hari Pak Lang pernah mendakwa;



“Apabilo askar Belando menyorang. Ramainyo macom kalkatu bertebangen. Urang Rao terkopung. Saat itulah Tuanku Rao meminto ayer sekole langsung menyimbahnya ke askar Belando. Apo laie, terkapai-kapai, lomeh seolah-olah askar Belando tu macom tenggolom timbul di lautan.”



Dari mana Pak Lang dapat cerita itu

sedangkan dia dah berusia sembilan belas tahun

ketika tiba di Batu Karang

sebelum menutup usia, dia terlantar bertahun juga sakit di ranjang

ah! Malas aku nak fikirkan.



Namun berbelas tahun sesudah Pak Lang menutup ceritanya

aku pula menganti Pak Lang pulang ke Rao

umpama balik kampung sendiri

aku betah ke sana ke mari

ke mana tidak, ke Langgung pun aku jelajahi

menziarahi makam, mengkaji candi

dari Koto Rajo ke Padang Matinggi

singgah pula ke Sungai Ronyah

di Tanah Dingin tobek kunampak banyak

sawah dan boncah di kaki Banjaran Barisan

aku terpegun memandang Sungai Asyik mengalir lesu

berliku-liku membelahi Lembah Rao sayup di kejauhan mata

di atas bukit ini tak semena-mena aku teringat Pak Lang

Sutan Seri Pado warga totok Rao dari Langgung



hairan! Dia tak sudi pulang ke kampung

tanah tumpah darah pusaka ondiek kandung

begini cantik, tak secantik Batu Masjid

begini damai, tak sedamai Batu Masjid



Pak Lang totok Rao dari Langgung

hari ini aku ulang cerita mu

hari ini aku kenang cerita mu

Tuanku Rao

Tuanku Rao

Tuanku Rao

pahlawan misteri, pendekar sakti

hidup dikandung adat, pusara nan tiada bernesan

syahidmu di tengah lautan!



ZABIDIN HJ ISMAIL

Rao, Pasaman

24-25 Mei 2009


[1] Ibu saudara sebelah bapa

[2] Panggilan mesra kenalan rapat sejantina. Barangkali mengambil sempena kata dasar sahabat.

[3] Panggilan mesra kepada isteri abang kandung (kakak ipar ) yang berusia lebih muda daripada adik perempuan abang kandung tersebut.

[4] Adat ini masih lagi diamalkan di Kg Batu Masjid

[5] Adat ini ada kaitan dengan pantang tanah iaitu kanak-kanak yang telah genap berusia 13 bulan perlu diturunkan ke tanah dengan upacara berwarna-warni yang dinamakan bertatih atau berjojak. Di Kg Batu Masjid adat ini lebih dikenali sebagai bertatih tetapi di Kg Sg Itek, Gopeng; berjojak. Walaupun nama adat ini berbeza tetapi hakikatnya sama dan serupa.




2 ulasan:

  1. sALAM,

    Sebak hati mendengar cerita Rao nih ! Dulu semasa saya tinggal bersama serumah dengan Uci Fatimah dan Uci Aminah selalu juga bercakap rawa ni, apabila sudah berpisah dengan keluarga ni perasaan lain pulak jadinya apabila mendengar loghat Rao, Hmmm! entah lah, kadangkala keluar juga air mata di buatnya

    Saya berketurunan mandailing Nasution Hmmm! entah lah, sedih saya mendengar lagu rao sekondak hati nih ! Aduuuyai !

    BalasPadam
  2. PakKaramu
    cerita benar tu Pak.....sebenarnya antara Mandailing dan Rao ada banyak persamaan. Ada satu tiori mengatakan bahawa di mana ada Rao di situ ada Mandailing dan sebaliknya. Mereka hidup umpama aur dengan tebing-aur tidak tumbang, tebing tidak rebak! tkasih pak.

    BalasPadam

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao