Balik ke Rao sempat menyelongkar sekelumit sejarahnya telah menyedarkan saya bahawa urang Rao yang berjaya di Malaysia harus menyokong leluhur dalam apa bidang sekalipun, apatah lagi pengumpulan dan penyelidikan sejarah keagungan Rao dari penggali emas di Lembah Rao sehinggalah menjadi perantau meneroka tanah di seberang seperti yang dilakukan oleh Sutan Sekondakhati.
Rao suatu bangsa yang cekal dan pintar tetapi pendendam; menyendiri tetapi sanggup mati mempertahankan maruah. Allah swt jadikan bangsa ini dari tetesan darah Leco dan Lubu, perantau dari Champa membentuk rupa bangsa yang tidak pandai berkompromi dengan musuh. Alimnya kadang-kadang sampai ke taraf wali tetapi jahatnya seperti yang kita sama-sama ketahui!
Kalau berkawan ia mesra sekali. Bahasanya lembut menawan hati namun kini anak kandung Rao sendiri sudah tidak pandai berandai! Kalau memanggil sahabat; Abet. Kalau menyapa ipar; Bayong. Kalau menegur anak bujang; Buyung. Kalau mengusik anak dara; Upik. Kalau menghormati orang tua; Niniek dan Uci. Kalau bersua bapa saudara sebelah emak; Mamak. Kalau terjumpa emak saudara sebelah ibu; Amai. Kalau mengagah kanak-kanak; pepaja. Kalau bercinta dengan wanita; dyang. Kalau bermanja dengan suami; Udo. Kalau bermesra dengan isteri; Awak. Kalau bergurau dengan rakan sebaya; mesti ada gelar! Kalau alim digelar Lobai; Kalau tinggi ilmu agamanya; ada yang dipanggil Imam tetapi kalau ketinggian ilmu fikahnya disebut Fakih.
Panggilan hormat ini membuktikan bahawa struktur keluarga dan komuniti Rao cukup lengkap sekaligus menggambarkan betapa bangsa ini mementingkan nilai-nilai hierki dalam komuniti dalam membentuk jaringan kekeluargaan yang hidup umpama aur dengan tebing – aur tidak tumbang; tebing tidak rebak.
Walaupun nilai-nilai kekeluargaan diikat kuat dan disimpul mati tetapi tidak bermakna pula, mereka menolak orang luar. Rao rasi dengan Mandailing. Lihat perkampungan Melayu di Malaysia; di mana ada Rao, di situ ada Mandailing. Ini membawa erti bahawa antara Rao dan Mandailing ada adat yang serupa; ada kata makna yang sama; ada perkahwinan bercampor aduk.
Amat unik dan menarik budaya Rao ini. Semakin dikaji semakin tersentuh di sudut hati. Semakin diselidiki semakin banyak yang wajar digali. Sebagai contoh kebenaran sejarah Tuanku Rao masih belum terjelma. Ir Mangaradja Onggang Parlindungan mendakwa arwah orang Batak; Buya Hamka pula mengatakan dia orang Minang manakala Aceh menganggap Tuanku Rao pahlawannya, bahkan penulis tersohor Indonesia, Sanusi Pane pula menyebut Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai adalah orang yang sama. Namun Sasterawan Rao, Asrul Sani menyatakan Tuanku Rao berasal dari Padang Matinggi tetapi tidak pula bersandarkan sumber primer.
Anehnya, pengkaji sejarah dan penulis Rao senyap seribu bahasa. Bantahan hujah terhadap dakwaan Onggang Parlindungan sehingga sekarang tiada seorangpun yang ambil peduli selain Buya Hamka. Inilah masalah Rao sehingga ia sudah terlalu lama ditinggalkan kereta api sejarah. Aduhai Udo! Kotuklah kerantung tu.
bak kato Uci ku dulu, "ontahlag young!".Mamak ku tingga surang, bapak ramei la lai. Amai do lai pun. Nenek pun tingga surang juo.Uci2 pun dah abih semuonyo. Giliren kito pulo yang aken menanti.
BalasPadam