Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Khamis, 30 Disember 2010

Mencari bako


Nama saya Hasbullah bin Yahaya dari Seberang Jaya Pulau Pinang. Saya ingin mencari salur galur keturunan saya. Saya orang rao berasal dari Kg.Keliang Kalumpang, Selangor. Nama ibu saya Arbaiah dan datuk saya Darin. Saya ingin tahu asal moyang saya yang bernama Bilal Mahbud. Beliau pernah menjadi imam di masjid Kalumpang dan masjid Tanjong Malim, Perak Menurut ibu, Bilal Mahbud juga seorang dukun dan sering dipanggil untuk mengubat orang sakit di Kalumpang. Beliau juga agak disegani orang di sana. Saya ingin mencari sesiapa yang mengenali beliau dengan lebih lanjut dan ingin mencari waris saya di tanah rao Sumatera Barat.

Nota: Kepada sesiapa yang berkenaan bolehlah menghubungi sdr Hasbullah via e-mel: hasbullah_yahaya@yahoo.com

Ahad, 19 Disember 2010

Teromba Rao Tanjong Pura, Langkat





Teromba ini adalah jurai keturunan Rao di Tanjong Pura, Langkat, Sumatera Utara (SUMUT) dan ada jalinan di Malaysia serta tanah Rao Pasaman, Sumatera Barat (SUMBAR). Terombo ini diberikan oleh Pak Sofian bin Yahya kepada Jari Basurek ketika beliau dan Pak Tahirruddin Ahmad, Setiauasaha Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) berkunjung ke Kg Paya Prupuk, Tanjong Pura pada 6 Disember 2010.

Rabu, 24 November 2010

Buku Sekondakhati di pasaran antarabangsa


Sekondakhati Padang Today Minangkabau Di Dunia Maya

Satusatunya Buku Berbentuk Journal Khas Mengenai RaoTiada Di Pasaran Terbuka Hanya Boleh Diperolehi Melalui Pesan Kepada En Zabidin Hj Ismail 0125070513 Harga Termasuk Belanja Pos RM40 Pembayaran CIMB 08021261220523 from : http://sekondakhati.blogspot.com/2010/11/padang-today-minangkabau-di-dunia-maya.html

Nota: petikan PadangToday. tkasih.

Selasa, 23 November 2010

Program JARO balik ke Rao







PROGRAM BALIK KAMPUNG URANG RAO MALAYSIA ANJURAN JARO MALAYSIA

Jika tiada aral melintang, pada 25 – 30 November 2010, sebanyak 40 urang Rao dari Gopeng, Perak, Kuala Lumpur dan Shah Alam termasuk dari Raub, Pahang akan mudik ke Rao-Mapattunggul, Pasaman, Sumatera Barat dalam acara BALIK KAMPUNG. Pastinya semangat SEKONDAKHATI dan lagu Ayam Den Lapeh akan mengiringi lawatan ini. Antara tujuan lawatan ini untuk mengeratkan tali silaturahim antara kulawarga Rao yang terpisah akibat penjajahan Belanda pada abad ke 16 dan 17. Disamping itu akan berlaku interpretasi dan tranformasi leluhur Urang Rao dalam mempertahan Islam, ranah Rao dan wasiat keturunan, walau terpisah berjarak melebihi antara 5, 7 dan 14 jangka masa keturunan, imbauan leluhur Rao itu tetap mewangi.

Selasa, 2 November 2010

Pameran Pawang Ana dan Karyanya




LAKARAN wajah Tokoh Penglipur Lara Negara, Pawang Ana yang menuturkan lima hikayat iaitu Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda, pertama kali dipertontonkan dipertontonkan kepada masyarakat selama dua minggu bermula 25 Oktober lalu.

Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk), Zabidin Hj Ismail, berkata lakaran yang menjadi aset penting sejarah negara kini ditempatkan di Perpustakaan Awam Perak di Ipoh memberi peluang kepada masyarakat untuk melihatnya selepas puluhan tahun sejarah mengenainya disimpan di luar negara.

"Lakaran wajah Pawang Ana sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada umum dan kita bernasib baik lakaran itu ditemui mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya (UM), Mohd Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R O Winstedt (bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu) di London.

"Hasil penyelidikan itu menemukan lakaran wajah, biografi dan karya Pawang Ana yang ditulis RO Winstedt dan diterbitkan Malayan Memories, pada 1916 di London," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup seminar Pemikiran Pawang Ana di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Sejarah ketokohan Pawang Ana tenggelam sekitar 1914 dibangkitkan kembali bagi memastikan sejarah itu terus dipelihara untuk pengetahuan generasi akan datang dan majlis penutup seminar berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Zabidin berkata, pameran khusus Pawang Ana dan karyanya diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat mengenali ketokohan Pawang Ana sehingga kelima-lima bukunya dibukukan bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu, RO Winstedt. "Karya Pawang Ana bukan saja mempunyai nilai sejarah tinggi di negara ini, tetapi mendapat pengiktirafan masyarakat dunia, selain kelima-lima cerita berkenaan sudah dikategorikan sebagai Karya Agung Melayu oleh Yayasan Karyawan," katanya.

Khidmat Pawang Ana turut dikenali sebagai dukun dan pendekar, pernah digunakan bagi menemukan mayat Presiden British, J WW Birch yang hanyut di Sungai Perak selepas akibat dibunuh pahlawan Melayu Pasir Salak, selepas Inggeris gagal menemui Birch sejak tiga hari kematiannya.

Seminar dan pameran itu dianjurkan Karyawan Pk dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Yayasan Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO), membabitkan pembentangan 7 kertas kerja oleh sarjana dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan UPSI.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Pawang Ana tokoh penglipur lara?



SIAPA Pawang Ana? Satu kajian mengenai ketokohan penglipur lara, Allahyarham Pawang Ana perlu dijalankan bagi memastikan generasi muda mengenali tokoh tersohor di Perak.

Ia bertujuan mengenang kembali Pawang Ana yang suatu masa dulu juga dikenali sebagai seorang dukun dan pendekar.

Generasi muda masa kini sudah tentu tidak mengetahui kebolehan penutur cerita rakyat yang dulu dituturkan dari mulut ke mulut.

Menurut catatan bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu, R.O. Winstedt, Pawang Ana telah menuturkan lima cerita penglipur lara yang menjadi karya agung di negara ini.

Antara karya itu ialah Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Kelima-lima cerita Pawang Ana itu telah menjadi karya agung telah dibukukan oleh Winstedt.

Menurut Hj Zabidin Hj Ismail, Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dalam kertas kerjanya bertajuk "Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional", Pawang Ana berasal dari Rao, Sumatera Barat. Dia berhijrah ke Kampung Pulai, Gopeng Perak dan menetap di Temoh sekitar tahun 1850-an.

Pawang Ana pernah menamakan Kampung Batu Masjid, Temoh setelah kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada 1895.

Justeru, bagi mengenang kembali Pawang Ana, Karyawan Pk, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) telah mengadakan Seminar Pawang Ana di Auditorium JKKN di Ipoh baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika menutup seminar itu meminta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat kajian mengenai Pawang Ana bagi memastikan generasi muda mengetahui tokoh-tokoh sejarah sastera lisan dan sastera rakyat yang berjuang dalam pelbagai bidang yang menjadi aset warisan negeri.

Beliau berkata, kerajaan memberi sokongan jika ada pihak yang sanggup meneruskan kajian termasuk kajian terhadap ketokohan pawang dan kepahlawanan Pawang Ana.

"Banyak maklumat mengenai Pawang Ana diperoleh dari manuskrip yang tersimpan di London setelah penjajah menjajah negara ini.

"Pawang Ana terkenal sebagai penglipur lara yang menuturkan karya-karya agung sebagai sastera rakyat tinggi mutunya dan hidup sepanjang zaman," katanya.

Zainol Fadzi berkata, itu bertepatan dengan langkah kerajaan negeri yang bercadang membina sebuah Muzium Budaya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya seni.

Sementara itu, satu pameran bertajuk 'Pawang Ana dan Karyanya' turut dipamerkan di ruang legar Perbadanan Perpustakaan Awam di Ipoh sebagai bahan penting dalam membuktikan ketokohan Pawang Ana sebagai anak Perak yang berjasa.

Pameran tersebut juga mempamerkan biografi ringkas dan lakaran ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 di London.

Lakaran wajah Pawang Ana (foto) pernah ditemui oleh mantan Karyawan Tamu Universiti Malaya (UM), Mohd. Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.

Pengarah JKKN Perak, Abdul Mutalib Abdul Rahman berkata, seminar itu merupakan usaha untuk mengetengahkan ketokohan Pawang Ana yang terkenal di Perak.

"Kita sedia membantu memastikan usaha memartabatkan tokoh-tokoh seni dikenali oleh generasi akan datang," katanya.

Rabu, 20 Oktober 2010

Siapa Pawang Ana?


Siaran Akhbar


SEMINAR PEMIKIRAN PAWANG ANA

Sejarah ketokohan Penglipur Lara Negara, Pawang Ana yang telah tenggelam semenjak tahun 1914 akan dibangkitkan kembali dalam seminar Pemikiran Pawang Ana pada 25 Oktober 2010 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh mulai 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Sempena seminar, satu pameran bertajuk “Pawang Ana dan Karyanya” akan diadakan di ruang pameran Perpustakaan Awam Perak (bersebelahan lokasi seminar) yang akan mempamerkan biografi ringkas Pawang Ana serta karyanya termasuk ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt (bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu) yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 London. Lakaran wajah Allahyarham dijumpai oleh mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya Mohd Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.

Di samping beberapa fakta tempatan, lakaran wajah Pawang Ana akan menarik ramai pengunjung ke pameran itu. Sebelum ini beliau hanya dikenali sebagai tokoh penutur sastera rakyat atau cerita-cerita lipur lara tetapi tiada pernah mana-mana pihak yang menerbitkan gambarnya.

Program ini mendapat sokongan kuat daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan akan merasmi penutup seminar tersebut. Penganjur utama ialah Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] dengan sokongan dan dokongan erat daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Yayasan Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).

Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa sarjana USM, UPSI dan Nanyang Universiti, Singapura termasuk dari Presiden Karyawan Pk, Zabidin Hj Ismail bertajuk “Biografi dan Sumbangan karya Pawang Ana”

Siapa Pawang Ana?

Pawang Ana juga seorang dukun dan pendekar. Dia berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kg. Pulai Gopeng, Perak sekitar tahun 1850-an iaitu ketika arus kedatangan orang-orang Rao (Rawa) ke Perak. Menurut R.O Winstedt, Pawang Ana menggunakan kepakarannya berjaya menemui mayat Residen British di Perak, J.W.W Birch yang hanyut di Sungai perak setelah dibunuh pahlawan Melayu Pasir Salak. Selama tiga hari tiga malam Inggeris gagal menjumpai mayat tersebut.

Pawang Ana juga pernah menamakan Kg Batu Masjid, Temoh apabila kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada tahun 1895.

Selaku tokoh Penglipur Lara tersohor, Pawang Ana telah menuturkan sebanyak lima cerita lipur lara dan telah dibukukan oleh R.O Winstedt iaitu Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Kelima-lima cerita tuturan Pawang Ana telah dikategorikan sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan.

Seminar terbuka kepada awam serta terhad seramai 200 orang sahaja dan dikenakan bayaran RM10 untuk mengisi tabung Karyawan Pk. Keterangan lanjut hubungi Pn. Saliza 0125332170; Onn Abdullah 0165360864 ; Dr Talib Samat 0122269740.

Salam hormat

(HJ ZABIDIN HJ ISMAIL)

Presiden

Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Hp: 012-5070513

Faks 05.2544294

Lampiran:

Judul Kertas Kerja dan Penulis

o Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional” - Zabidin Hj lsmail, (Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o Unsur-unsur Budaya Rao dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal” - Prof Madya Dr.Talib Samat, (Universiti Pendidikan Sultan Idris / Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o Pemikiran dan Gaya Bahasa Puitis dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda - Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o Unsur Interteks dalam Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Deman” - Dr.Bazrul Bahaman (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o Pawang Ana dan Patriotisme Maritim Melayu- Prof. Madya Dr. Jelani Harun (Universiti Sains Malaysia)

o Penerapan Teori-teori Terpilih dalam Mengkaji Hikayat-hikayat Tuturan Pawang Ana.” - Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah, (Universiti Teknologi Nanyang, Singapura).

o “Peranan dan Sumbangan R.O Winstedt dan A.J Sturrock dalam Mendokumentasikan Cerita-cerita Penglipur Lara Tuturan Pawang Ana.” - Mohd. Zamberi Malik, (Mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya).

o Perbandingan Ketokohan Pawang Ana (Perak) dan Awang Batil (Perlis) - Mohamad Shahidan (Dewan Bahasa dan Pustaka).

ATUR CARA PROGRAM

8.30 pagi : Pendaftaran Peserta / Sarapan

8.45 pagi : Ketibaan para tetamu / pembentang

8.55 pagi : Bacaan Doa

9.00 – 11.00 pg : Sesi 1

Zabidin Hj. Ismail (Karyawan Pk)

Mohd.Zamberi Malik

Prof.Madya Dr.Talib Samat (UPSI /Karyawan Pk)

Prof. Madya Dr Jelani Harun (USM)

Moderator:

Mohd Paris Arshad (IPG Kampus Ipoh/Karyawan Pk)

11.00 – 1.00 th: Sesi 2

Dr Shaharudin bin Shaari (IPG Kampus Ipoh)

Dr.Bazrul Bahaman (UPSI)

Prof.Madya Datuk Paduka Dr.Mohd.Rosli Saludin (UPSI)

Mohammad Shahidan (DBP)

Moderator:

Dr Rosli Sahat (IPG Kampus Ipoh)

1.00 ptg Majlis Perasmian /Penutupan

Ucapan Aluan;

Yang Berusaha Tuan Abdul Mutalib bin Abdul Rahman

(Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak) .

Ucapan Perasmian / Penutupan

YB Dato’ Zainol Fadzi bin Haji Paharudin, DPCM.,PMP.,DSM.,ASDK.,

(Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak)

Pelancaran buku “Timoh Tasik kenangan”

Persembahan Multimedia

Penyampaian Cenderamata

Lawatan ke pameran: “Pawang Ana dan Karyanya”

Jamuan Makan Tengah Hari

Bersurai

Ahad, 10 Oktober 2010

Deklamasi Puisi Rao Berandai oleh Puan Agnes




Puan Agnes a/p Suppiah, 53 tahun lebih mesra dipanggil sebagai Cikgu Jimah dalam kalangan masyarakat Rao Gopeng. Pada 25 September 2010 sempena Majlis Mesra Aidilfitri JARO di Dewan Bandaran, Gopeng, Cikgu Jimah telah mendeklamasikan puisi "Rao Berandai" karya Jari Basurek dalam loghat Rao yang mendapat sambutan hangat daripada tetamu majlis tersebut. Cikgu Jimah fasih dan petah berbaso Rao dengan mampu menghidupkan suasana majlis dengan persembahan "Koling Rao"nyo!

Rabu, 29 September 2010

Urang Rao Bidor berandai




Dato' Adnan Ibrahim Di Bidor (bunyi: Biduor) Negori Perak; setau ku Urang Rao lah yang awal-awal tibo membuko kampung di Bidor tu. Seurang Urang Dagang dari Rao dengan kawen-kawen dan sedaro maronyo, bernamo Abdul Ghani (di panggil juo Tuan Sheikh Abdul Ghani ) membuko kampung den kobun disinun, dan dilantik menjadi Penghulu pertamo di kawasen Bidor. Mulo belaya dari Sumtera melaui Solet Melako, masuk melalui Kualo Sungei Perak, mudiek ke poken Toluk Mak Inten (skrg: Teluk Intan), mudiek laie ke Duriyen Sebatang, masuk ke Sungei Bidour mudiek torouis ke Simpang Tigo. Dikatokan urang, banyak beroto dan tanah kobun; dan alim warak urang nyo. Banyak kodei di poken Bidor, konon, dio yang punyo. Namo Sekolah Menongah Sheikh Abdul Ghani di Jalan Sungkei tu, aha...sempono namo inyo lah tu.Mungkin kok ada anak cucunyo yang tercolo iko, bulieh menambah cerito ko.
Sumber coretan: petikan drp FB Rao Malaysia
Nota: Masjid Bidor (foto di atas - sebelum diubah suai) ada unsur-unsur reka bentuk kesenian Rao-blogger

Khamis, 23 September 2010

Sajak Rao Berandai karya Jari Basurek meneteskan air mata




Sewaktu latihan pagi tadi (23 September 2010) Puan Agnes a/p Suppiah, 53 tahun atau lebih mesra dipanggil Jimah dalam masyarakat Rao Gopeng, Perak berjaya memukau dan menarik hati pendengar sehingga ada yang meneteskan air mata ketika membaca sajak Rao Berandai karya Jari Basurek dengan penuh yakin dan lancar berbahasa Rao.

Jimah petah dan fasih berbaso Rao mengalahkan urang Rao sendiri telah mempamerkan kepakarannya melontarkan bait-bait puisi dengan intonansi, ragam bahasa serta sebutan Rao asli yang sekaligus memukau pendengar.

Kemudian Jimah meneruskan persembahan dengan berbual dalam baso Rao dengan Encik Leong Ten Foong, 73 @Ah Sang Alin dan Encik Chong Nyek Phon, 57 @Ah Sang Rao Gopeng. (Foto: berbaju merah) Mendengar perbualan mereka, kita agak "terpegun" betapa bangsa bukan Melayu boleh berbaso Rao dengan baik. Jauh di sudut, hati kita juga rasa terkilan kerana ramai urang Rao yang sudah mula "menyimpan" baso itu dalam muzium almari. Malahan ada pula yang suka dikenali sebagai urang Rawer daripada Rao!!

Anda jangan lepaskan peluang datanglah ke Dewan Bandaran, Gopeng, Perak pada 25.9.2010 jam 10.00 pagi sempena Majlis mesra Aidilfitri JARO 2010M/1431H bagi menyaksikan Jimah, Ah Sang Rao dan Chong berandai dalom baso Rao. Mengakai kito tergolak godang!!

Rabu, 22 September 2010

Orang Rao Pahang kurang jadi ahli Persatuan JARO Malaysia. Kenapa ?


Seorang rakan dalam AJK Persatuan JARO (Jalinan Rao) Malaysia ada merungut kepada saya minta bantu dapatkan ahli-ahli baru dari kalangan orang-orang rao di Pahang terutama di Raub. Katanya bilangan ahli dari Pahang sangatlah sedikit berbanding keahlian orang-orang rao dari negeri lain terutamanya Perak yang lebih mendominasi persatuan ini.

Mengikut maklumat taburan daerah-daerah permukiman suku rao di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu, majoriti suku rao ini terdapat di daerah Kampar, Perak iaitu di Pekan Gopeng, Kampung Pulai,Kampung Rao, Jelintoh, Sungai Itek, Pintu Padang, Lawan Kuda, Gunung Mesah Hulu, Gunung Mesah Hilir, Gunung Panjang, Chulek, Kampung Jahang, Jeram, Bandar Kampar dan Air Kuning. Selain itu di daerah Batang Padang, Perak seperti Kg. Batu Masjid, Pekan Temoh, Batu Melintang, Lubok Katak, Tapah Road, Kg. Rayo Tapah, Kampong Ampang Tapah, Kampong Dusun Mudo Tapah, Kampong Datok Tapah, Bandar Tapah, Batu Tiga, Jalan Paku Bidor, Bandar Tanjung Malim, Slim River dan Ulu Bernam.

Suku rao ini juga di kenalpasti ada terdapat di sekitar daerah Kinta iaitu di Kuang, Batu 9 Chemor, Bandaraya Ipoh, Gunung Rapat, Sengat, Sindu, Tekah dan Batu Gajah. Di kawasan Hilir Perak pula ada di Chikus, Bandar Teluk Intan dan Sungai Sumun, di Selama dan juga Semanggol, Perak.

Di negeri Selangor pula , penduduk yang ramai dari suku rawa ini bertaburan di serata tempat di Lembah Kelang, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Bandar Petaling Jaya, Bandar Shah Alam, Kalumpang, Gombak, Subang, Bangi dan Semenyih..

Di Negeri Sembilan, suku rawa/rao ini terdapat di Kampung Dacing, Kuala Pilah, Lenggeng dan Kampung Rao, Mantin.

Di utara semenanjung, suku rao boleh di dapati di Sungai Petani dalam daerah Kuala Muda, di Serdang dan Padang Serai di daerah Kulim, Kedah.

Di Negeri Pulau Pinang pula di sekitar Kampung Rao Tanjung, Lebuh Acheh Tanjung, Gelugor, Bayan Baru, Butterworth dan serata tempat di negeri tersebut.

Di Negeri Kelantan suku rao banyak mendiami beberapa kampong di Pekan Pasir Mas dan di Negeri Terengganu pula suku ra0 boleh di dapati di Kampung Pasir Raja, Dungun. Terdapat juga minoriti suku rao di Kota Tinggi Johor.

Di Negeri Pahang, suku rao di kenalpasti ramai berada di daerah Raub terutamanya di Kampung Hulu Gali, Pintu Padang, Kampung Tanah Bercangkul, Kampung Gali Tengah, Kampung Gali dan Kampung Gali Hilir. Selain dari itu ada juga tinggal di kampung sekitarnya seperti Dong, Temau, Ajai, Sega, Sengkela, Gesing, Kampung Melayu Sempalit dan lain-lain.

Pada 31hb. Julai 2010 yang lalu, satu lawatan ke Raub, Pahang telah di anjurkan oleh JARO kelumpok Gopeng, kelumpuk Kalumpang dan kelumpok Ipoh bersama-sama Persatuan Jalinan Rao Malaysia. Rombongan seramai 40 orang ( 1 bas persiaran ) tersebut singgah ke Raub dalam perjalanan melawat keKuala Terengganu dan Kelantan. Lawatan selama 3 jam setengah itu bertujuan untuk merapatkan silaturrahim dan menguatkan semangat kekeluargaan antara ahli-ahli dari kalangan Melayu berketurunan rao, menambah keahlian Persatuan di samping bertukar-tukar pandangan dan menjual buku-buku dan lain-lain penerbitan Persatuan.

Cuma dalam majlis itu, pihak tuan rumah dapat mengumpulkan seramai 20 orang sahaja dari kalangan penduduk rao setempat. Ramai yang tidak dapat menghadirinya kerana sibuk dengan program-program hujung minggu di kampung masing-masing.

Di sini inginlah saya mengajak kepada sekelian orang rao terutamanya di daerah saya sendiri di Raub dan di mana-mana juga di Pahang ini, jadilah ahli Persatuan JARO ini dengan mendapatkan borang keahlian daripada Setiausahanya, Encik Tahiruddin Ahmad (h/p : 016 5200550 - Ipoh ) Yuran ahli adalah sebanyak RM50 (seumur hidup); bayaran pendaftaran sebanyak RM5 atau email kepada chttsb@yahoo.com

sumber: http://marisma.multiply.com/journal/item/197/Orang_Rawa_Pahang_kurang_jadi_ahli_Persatuan_JARO_Malaysia._Kenapa
(cucu stialam's site)

Selasa, 14 September 2010

Solihati urang Rao 100 tahun masih sihat

Oleh AZMI ABDUL MALEK (Utusan Malaysia, 14 Sept. 2010)


Siti Zainon (kanan) sentiasa akrab dengan ibunya.

KEDATANGAN bulan Syawal kerap mengingatkan detik-detik manis warga emas berusia lebih 100 tahun, Solihati Wahab terhadap suaminya, Jamaludin Sudin yang meninggal dunia di Mekah kira-kira 53 tahun lalu.

Dia yang berasal dari Pasar Rao berdekatan Kg Padang Matinggi, Rao, Pasaman, Sumatera Barat, Indonesia, berkata, suaminya meninggal dunia di Mekah pada tahun 1957 ketika mengiringi ibunya menunaikan fardu haji.

Seterusnya, dalam keadaan sedih dan kesempitan hidup Solihati terpaksa membesarkan enam anaknya.

Namun tiga anaknya telah meninggal dunia dan kini hanya tiga yang masih hidup iaitu Abdul Rahman Jamaludin, 68, Siti Zainon, 65, dan Abdul Aziz ,58. Solihati cekal membesarkan anak-anaknya dengan menoreh getah di Kampung Batu Tiga, Temoh, Perak.

Ibu saudara bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid itu, terpaksa menoreh getah sendirian bagi menampung perbelanjaan makan minum dan sekolah anak-anaknya.

Hasil kegigihan itu, salah seorang anaknya, Abdul Rahman berjaya menjadi guru dan guru besar sebelum bersara beberapa tahun lalu.

Anak perempuannya Siti Zainon juga seorang guru, manakala anak bongsunya, Abdul Aziz memegang jawatan Pegawai Kebajikan Masyarakat.

"Walaupun mereka tidak memegang jawatan tinggi tetapi nenek bersyukur mereka tidak hidup susah macam dulu ketika masih kecil," katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Kampar, Perak, baru-baru ini.

Solihati berkata, ketika arwah suaminya masih hidup mereka sekeluarga menjalankan ibadah puasa dalam suasana yang agak sederhana.

Namun kematian suaminya mengakibatkan kehidupan semakin sempit dengan mata pencariannya hanya menoreh getah, lima kali seminggu.

Bagaimanapun setelah anaknya bekerja, keadaan ahli keluarganya turut berubah apabila mereka mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.

Solihati yang kini tinggal bersama Siti Zainon di Jalan Merbau, Taman Melayu Jaya, Kampar, Perak berkata, keadaan hidup orang kampung ketika pemerintahan Inggeris dan Jepun amatlah daif kerana mereka terpaksa bergantung kepada hasil pertanian yang diusahakan secara tradisi.

Keadaan hidup mereka katanya, berubah wajah apabila negara ini merdeka dan anak kampung diberi peluang belajar sehingga ke universiti.

Menurutnya, dia datang ke negara ini ketika berumur 10 tahun dan berkahwin dengan Jamaludin ketika berumur belasan tahun.

Beliau yang masih sihat dan kuat kecuali mempunyai masalah pendengaran berkata, sikap mahu menolong orang lain adalah antara amalan mulia yang disukai Allah.

"Allah akan menolong orang yang sentiasa berbuat baik sesama insan yang tidak gemar bersengketa," katanya.

Solihati berkata, generasi muda mestilah rajin bekerja jika mahu mendapat hasil yang tinggi dan sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran.

Katanya, generasi terdahulu hidup menderita kerana tidak mempunyai ilmu yang tinggi dan tidak ada kemahiran sesuai untuk meningkatkan pendapatan.

Selasa, 7 September 2010

Rao Berandai


(Sempena Majlis Jamuan Hari Raya JARO di Dewan Utama Terminal Makanan Negara (TEMAN), Gopeng, Perak pada 25.9.2010 jam 10.00 pg
Kito berkumpul kek siko
pertamo nak jumpo kawen
keduo nak meruduit ayier menjamah makanen
ketigo nak mengiduitken persatuen

Bak kato urang tuo-tuo;
bulek ayier kerano pembotoung
bulek kato kerano muafaket
togoh rumah kerano sondi
togoh hati kerano berani

Urang Rao, urang awak
kalau ketogor dijampi semparen
diombuih kunyik disapu kek segalo sondi
mujarob pulo diperkonen Ilahi

ilmu iko udah masuk muzium almari
ngapo dibuang ke topi
itu kan Rao punyo legasi?

Rao ko bangso beradet
pantang pepaja memijak tanah
sebolom dijojak

Rao ko bersopen santun
ninda lelaki disobuit niniek
ninda perempuan disobuit uci
ayah saudaro disobuit mamak
omak saudaro disobuit amai
bak nongko tang panggilen hormet keluargo kito

Urang awak ko pandei pulo memasak
menggulai lomak iken masin bercampo nangko
iken bilih rondang dongen tempuyak
asom iken koli sodop sekali
kelamai dimasak tahen bebulen-bulen
hidangen hari rayo penganen warisan

Rao ko bijak pulo bebaso
kalau memujuk disebuitnyo; alaaa pa’ai
kalau marah ditukiknyo; jangen mencirik
kalau dio tak ingin, dicakopnyo; indo ko podah

baso Rao kayo konsonen “o”
ditutuor beralun ado nada intonasi
kato sondinyo ado duo: tang dan sang
ci kilen donga yor
“bak mano tang kuak”
“jangen berandai sang, buek la korojo tu”
tang dan sang
indo ado dalom baso Melayu
tapi menjadi estiteka baso Rao asli

baso nyonyo ko sikit berbezo dongen baso Minang
ci kilen colo yor
mati, katonyo; moda
diam, dipahomnyo; ontok
urut, disobuitnyo; kusuok
indo mahu, dicakopnyo; sikialah
indo roti baso, dikatonyo; keloloh
mahu, disobuitnyo; omoh
indo pahom-pahom, dicakopnyo; nyinyier


Ontahlah ondeik kandung
ontahlah niniek;
ontahlah bayong
ontahlah upiek;
ontahlah buyong
sado-a-lah nyo udah terlopeh betebangen
indo laie mantop udah ilang jati diri
alaaa pa’ai


Urang awak ko indo omoh berandai
cakop Raonyo macom koling masuk Melayu
indo fasih macom urang Sungai Itiek
indo petah macom urang Gunung Mesah
bak mano tang kuak nak mengiduitken baso ko
sodangken nyonyo sogen pulo nak berandai
sodangken nyonyo tak kuaso nak bertutour
ontahlah,
naksayo tang kito.


Apo diharop urang di seborang;
isuk luso nampak lah nyonyo
apo dikonang baso yang ilang;
isuk luso berkorojo lah JARO

Ako, kawu dan kilen
sado-a-lah nyo kito ko dalom keluargo godang
sobuit di Raub ponoh saudaro maro
di Pasir Mas idak terkiro banyaknyo
di Kg Pasir Raja, Terengganu sekampong pulo
soto di Koto Tinggi
Gombak, Ampang, Bangi,
Kalumpang, Ulu Bernam,
Beranang, Mantin, Kuala Pilah, Semenyih
dan Lenggeng
diaspora Rao ko merato negori
Pulau Pinang termasuk juo selatan Kodah
tapi di Perak paling ramai sekali
Tanjong Malim, Tapah, Temoh, Chemor dan Selama
namun Gopeng digola bumi Rao Malaysia.

Sesungguhnyo
kito ramai di siko melobihi di sinun
tapi tanah Rao Pasaman itu bumi leluhur
totop kito konang.



ZABIDIN HJ ISMAIL
Ipoh, Perak, Malaysia

Isnin, 6 September 2010

Jemputan Golf Rao



Satu pertandingan golf jemputan akan diadakan di Kelab Golf Kinta, Batu Gajah pada 13 September 2010. Pertandingan ini dinamakan Jemputan Golf Rao terbuka kepada golfer khasnya Golfer Rao dari seluruh negara. Aturcara seperti berikut:

7.15 pg Pendaftaran dan sarapan
8.00 pg Sesi bergambar
12.3o tgh Makan Tengah Hari /Penyampaian Hadiah / Cabutan Bertuah
2.00 ptg Bersurai

Sesiapa yang berminat sila hubungi Encik Abu Bakar Ahmad, Pengelola Jemputan Golf Rao di talian 012-5898249

Khamis, 2 September 2010

Senikata Lagu Sekondakhati


Lagu Sekondakhati kian berkumandang di Klasik Nasional saban waktu. Barangkali dalam waktu terdekat ini akan didendang pula di Perak FM. Justeru itu saya perturunkan lirik lagu tersebut untuk rujukan tuan. Senikata lagu ini ditulis oleh Dr Zulkhaini Hj Hussein, Kuala Lumpur dan digubah dan dinyanyikan oleh Redzuan Daud (Uan)dari Ipoh, Perak.










Balada Sekondak Hati (Senikata Lagu)

Sekondak Hati, melinteh tibo dari seborang
membawo hati, dongen tangisan, berbalut luko
Sekondak Hati, jiwonyo gigih lalu merantau
meninggal kampuung, sanak saudaro jauh di mato
Sekondak Hati, membuko tanah, karangen baru
merodah donai, menyuluh arah jalen berliku
merantau laei, mencubo nasib, di tompek lain
dongen harapen, anak cucunyo, hidup bahgio

Kami yang ado, tak melupoken pengorbanenmu
Sekondak Hati, jasomu totop aken dikonang
Sekondak Hati, membuko tanah, karangen baru
merodah donai, menyuluh arah jalen berliku
duhai anakku, ingetlah dikau asal usulmu
mengalir darah di tubuh iko, Sekondak Hati

Isnin, 23 Ogos 2010

Sabtu, 14 Ogos 2010

Misteri Etnik: Rao terkenal adat berjojak, tobek

oleh Mohd Azis Ngah
Berita Minggu
8/8/2010

ISTILAH Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu daripada keturunan Rao, sebuah kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman di Sumatera Barat. Negeri Rao berjiran dengan Tapanuli (utara) yang didiami Mandailing dan Sumatera Barat (selatan) yang majoriti penduduknya Minangkabau.

Di sebelah barat Rao ialah Selat Mentawai dan timur bersempadan dengan Riau. Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia tetapi kurang dikenali di Rao.

Pengkaji sejarah masyarakat Rao, Zabidin Hj Ismail (Jari Basurek) merujuk kepada catatan penulis, Wan Mohd Shaghir Abdullah yang mengatakan, istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbitan, Persama Press di Lebuh Aceh, Pulau Pinang (1921).

Pada asalnya, di sebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada ‘Rao;’ tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan seseorang itu berasal dari Negeri Rao. Penggunaannya bermula awal abad ke-19 khususnya ketika pengajian Islam berkembang di Makkah.

Berdasarkan kajian Zabidin melalui bukunya, Sekondakhati (2009) beliau memberikan pendapat dan analisis bahawa wujud tanggapan bahawa asal usul orang Rao adalah dari Pagar Ruyung.

Bagaimanapun, katanya jika merujuk kepada penelitian Dr Mukhtar Naim dan pendapat daripada MO Parlindungan yang menyatakan orang Rao adalah dari Champa iaitu suku bangsa Lubu, bukannya orang Pagar Ruyung.

Hal ini sesuai dengan situasi pendapat orang tua di Rao yang menerima fakta sejarah bahawa mereka adalah orang Lubu dan sesuai dengan peninggalan sejarah klasik Rao yang menganut Hindu dan Budha yang dibawa dari Champa.

Penghijrahan beramai ramai ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Paderi (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan kolonial Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, ulama, cendikiawan, panglima dan tentera.

Mereka kini bertuah kerana wujudnya pertubuhan Jalinan Anak Rao Malaysia (JARO) yang didaftar pada 6 Disember 2007 bagi menguruskan, mengumpul, mengembangkan serta menghidupkan semula budaya Rao.

Setiausaha JARO, Tahiruddin Ahmad berkata, berdasarkan kajian tidak rasmi, ada kira-kira 250,000 keturunan Rao di Malaysia dan 700 daripadanya sudah mendaftar dengan JARO.

“Masih ada kira-kira 150,000 Rao di Sumatera Barat atau di penempatan asal. Kami pernah adakan seminar Melayu Rao buat pertama kali pada UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) yang dihadiri 1,500 orang, itu suatu yang di luar jangkaan,” katanya.

Orang Rao sebenarnya cukup terkenal dengan adat Berjojak (Pantang Tanah), kemahiran tobek (membela ikan air tawar), masakan tradisional gulai lemak dan kelamai (lemang).

INFO: Proses penghijrahan:
Negeri Sembilan
Ke Seri Menanti sekitar 1773 dan Sungai Ujong 1848

• Pahang
Melalui Sungai Hulu Pahang (Bera, Hulu Pahang, Kuala Lipis, Raub, Bentong) sekitar 1857-1863), antaranya Tengku Khairul Alam, Pakeh Khalifah Saka dan Tujuan Saka.

• Selangor
Melalui Sungai Klang (Hulu Langat), Sungai Selangor (Kalumpang, Ampang, Kuala Lumpur, Gombak) sekitar 1867 - 1873.

• Perak
Melalui Sungai Perak, Sungai Bidor, Sungai Bernam (Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Temoh, Tapah, Kampar) sekitar 1875-1876. Antara tokoh - Datuk Sakti Putih.

• Kelantan
Melalui Pahang ke jajahan Pasir Mas melalui Sutan Amir Kaharuddin Budiman.

Aktiviti JARO:
• Lawatan 'Balik Kampung' ke Rao, Sumatera Barat.
• Majlis Silaturahim sempena Hari Raya Aidiladha.
• Lawatan ke negeri dan daerah yang mempunyai orang Rao.
• Tabung dan majlis makan malam.

Jumaat, 13 Ogos 2010

Misteri Etnik: Harimau jadian awasi pergerakan anak cucu


Oleh Mohd Azis Ngah
Berita Harian
2010/08/14

JIKA diikut orang tua-tua, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu perkara ini dipanjangkan. Tetapi orang muda pula semangat bercerita soal asal usul nenek moyang mereka dari seberang yang katanya mempunyai pelbagai ilmu atau lebih senang mereka sebenarnya ada ‘penjaga’.


Di sekitar Gopeng, Perak sendiri yang majoritinya dihuni orang Rao ilmu itu masih ada, dan masih ada penjaganya. Cuma bukan sembarangan orang yang boleh rapat atau berhubung dengannya.

Menurut cerita lisan turun temurun, lembaga yang dikatakan harimau jadian itu sebenarnya tidak pernah dilihat secara keseluruhan bentuk fizikalnya. Cuma beberapa penduduk pernah terserempak dengannya pada sebelah malam yang dikatakan mempunyai dua mata yang terang. Sekalipun cuma melihat dua mata yang terang dalam gelap, ia sudah cukup menggerunkan seolah-olah berdepan seekor harimau besar.

Saharudin Karim, 80, adalah antara individu yang pernah terserempak dengan ‘penjaga’ kawasan sekitar Gunung Mesah, tidak jauh daripada kediamannya sekarang. Dulu kawasan itu pernah menjadi tempat kediaman tetapi kini sudah lama ditinggalkan.

Beliau cukup keberatan untuk berkongsi pengalaman tetapi daripada penerangan ringkasnya, makhluk itu pernah menjelma sepintas lalu. Sepanjang ingatannya, penduduk kampung pernah terserempak dua kali dengan makhluk itu.

“Kalau musim durian, usahlah ada niat nak mencuri atau sengaja nak masuk ke kebun orang lain. Jika ada ‘rezeki’ mereka akan terserempak dengan penjaga di situ. Siaplah, mesti demam berminggu-minggu. Ini nak bercerita pun meremang bulu roma.

“Bukannya apa, dia cuma menjaga kawasan kerana orang yang berniat jahat saja akan disergah. Kalau anak cucu ternampak, itu cuma nak tunjukkan dia ada di situ jaga kawasan. Ia tak pernah kacau orang atau saja-saja nak takutkan,” katanya.

Difahamkan, ilmu pusaka itu diwarisi daripada sebelah ibu dan diperturunkan kepada warisnya yang layak memegang amanah. Ia tidak boleh diserahkan sembarangan kerana bimbang tidak mampu mengawalnya. Ilmu itu sebenarnya dibawa nenek moyang mereka dari tanah Rao di Sumatera dan setakat ini ditugaskan menjadi pelindung kepada tiga generasi keturunan mereka.

Bahkan, satu daripada petua amalan berdamping dengan ‘penjaga’ mereka ialah mesti ada satu sesi pertemuan. Bak kata orang tua-tua mesti bergomol dulu dengan harimau itu, baru boleh jadi kawan, maknanya ada wujud rasa serasi.

Kalau lulus bahagian itu, petanda seterusnya ialah bakal pewaris atau penerima akan menerima satu bekalan bahan untuk dijadikan air mandian. Mereka akan menerima daun dan akar kayu yang dihantar ke rumah mereka pada sebelah malam.

Jika ada sebarang kematian membabitkan ahli keluarga atau waris terdekat, pewaris ilmu itu akan menerima petanda ada harimau mencakar dinding rumah dan mengetuk pintu menandakan ada kematian orang terdekat.

Sepanjang upacara mengurus dan mengebumikan jenazah juga biasanya akan berlaku perkara luar dugaan. Kebiasaannya, akan ada antara ahli keluarga yang secara automatik akan bersilat ketika jenazah diusung dan dibawa keluar dari rumah. Biasanya, mereka akan beraksi silat harimau dan ahli keluarga akan membiarkan sehingga dia habis bersilat kerana mereka faham mengenai perkara itu yang dianggap kejadian biasa.

Misteri Etnik: Senjata purba warisan dipertahan setiap generasi

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/08/14
PELBAGAI senjata masyarakat Rao masih disimpan dengan elok.
PELBAGAI senjata masyarakat Rao masih disimpan dengan elok.



Hulubalang Rao pernah bantu Mat Kilau lawan Inggeris di Pahang

PERMODENAN adalah hakikat yang harus diterima tetapi soal warisan tetap perlu dijaga dan dipertahankan kerana orang Rao percaya mereka yang tidak mengenal sejarah adalah orang yang tidak mengenang bangsanya. Ia bukan saja sejarah peperangan tetapi warisan senjata dan kemahiran tertentu orang Rao yang kini boleh dikatakan hanya dimiliki individu tertentu.

Khalip Yaacup, 63, daripada keturunan Siti Rawa yang mewarisi senjata itu menganggapnya suatu amanah bangsa dan keturunannya dengan menyimpannya sebaik mungkin.

Diteliti, sundang panjang itu yang dikhaskan untuk panglima perang itu mempunyai 52 titik pada pangkal mata senjata. Setiap titik sebenarnya mewakili satu pewaris atau generasi, ini bermakna sudah ada 52 waris yang pernah menjaganya.

Jika diambil kira cerita Khalip yang mengatakan orang dulu ‘panjang umur’, misalnya Siti Rawa iaitu neneknya meninggal dunia pada usia 152 tahun, sudah tentu usia sundang itu mencecah hampir 600 tahun jika dikira purata setiap waris hidup 100 tahun.

Sudang itu mempunyai dua tanda silang sebagai tanda kebesaran dan jika orang Rao melihatnya, mereka akan tahu tanda berkenaan dengan menghormati keistimewaan, keunikan serta pewarisnya. Ada juga ukiran pada bahagian mata sundang.

Hulunya yang diperbuat daripada gading gajah mempunyai mata berwarna hitam. Senjata itu pernah digunakan dalam Perang Pahang pada 1892 ketika hulubalang Rao membantu Mat Kilau menentang Inggeris di Pahang.

Ketika itu, seramai 50 tentera Rao daripada Perak berkumpul dan bergerak ke Pahang bagi membantu saudara mereka yang terbabit dalam perang menentang penjajah Inggeris.

“Orang Rao ini sukakan ilmu tetapi paling penting mesti mengamalkan ajaran Islam, jangan sesekali tersasar. Orang yang berilmu adalah orang yang sentiasa ingatkan Allah dan jangan kita disukai ramai kerana benda lain.

“Umpama pisang masak setandan, ramai yang datang berkerumun tetapi jika buah dah habis, tandan akan makan tuan. Itulah perumpamaan orang tidak berilmu dan itulah warisan bangsa Rao,” katanya.

Pedang yang dimilikinya mempunyai tanda diperbuat pada 1842. Menurut Khalip, ia senjata yang dirampas daripada tentera Inggeris. Cuma sarung asalnya sudah rosak dan digantikan dengan sarung pedang yang baru.

Badik kecil itu pula mempunyai tulisan ayat al-Quran iaitu tulisan Bismillah di kedua-dua belah yang menggambarkan pemiliknya adalah orang Islam. Sarung dan hulu diperbuat daripada gading berwarna kuning seolah-olah menggambarkan kekuatan serta ketaatan pada pemiliknya.

Difahamkan, badik itu digunakan di sebelah tangan kiri dengan memegangnya secara terbalik kerana boleh digunakan sebagai penahan serangan dan menikam musuh. Mata badik berwarna putih dipercayai warna asal putih besi.

Selain mengamalkan ajaran Islam, menggunakan senjata klasik yang dianggap rapat dan akrab dengan pemiliknya, orang Rao juga sebenarnya mempunyai beberapa amalan lain yang bertujuan menyihatkan diri.

Antaranya ialah amalan mandi embun pada tengah malam hingga awal pagi pada setiap 15 hari bulan mengikut kalendar Islam yang jatuh pada malam Jumaat. Hari berkenaan hanya ada datang sekali dalam tempoh setahun dan sering ditunggu-tunggu pengamalnya.

Bahkan, pahlawan Mat Kilau juga mengamalkan mandi embun pada malam Jumaat yang dikatakan mempunyai kelebihan tersendiri berbanding hari lain.

Khamis, 12 Ogos 2010

Misteri Etnik: Melayu Rao kaya petua tradisional


oleh Mohd Azis Ngah
Berita Harian
2010/08/11

BIARPUN hidup dalam serba moden termasuk menikmati kemudahan perubatan terkini, masih ada dalam kalangan masyarakat Melayu Rao yang terikat atau banyak mengamalkan petua tradisional nenek moyang sehingga ke hari ini.

Kebanyakan perubatan dan petua tradisional itu berasaskan sumber alam semula jadi, terutama tumbuhan untuk dijadikan ubat dan amalan berkenaan diterima pakai sehingga kini oleh generasi pertengahan dan baru.

Satu daripadanya ialah penawar sakit kepala atau demam yang digelar Semparan dengan menggunakan kunyit atau halia dan bawang untuk mengesan jika wujud sebarang petanda keteguran.

Sebagai contoh, sepotong kunyit dibelah dua diletakkan di atas belakang tangan dalam keadaan tertangkup sebelum dilambung dan dibiarkan jatuh ke lantai. Seolah-olah bermain buah guli, cuma kunyit kecil itu tidak disambut dan dibiarkan jatuh.

Ketika ini dibacakan doa tertentu dan jika satu atau kedua-duanya kunyit itu jatuh dalam keadaan tertangkup, ia bermakna terkena keteguran dan mesti dirawat.

Individu yang melakukannya mesti mengambil kunyit tertangkup itu dan mencium di mulut dan hidung serta menyapu ke dahi, dada, hati, pusat, belakang badan diikuti lengan kanan dan kiri hingga ke jati telunjuk.

Sharipah Azizah Raja Sorah, 75, berkata rawatan itu mesti disusuli tindakan sama dengan menyapu pada kedua-dua lutut disudahi kaki kanan dan kaki kiri.
“Selepas habis pusingan pertama, kena ulang lagi sehingga beberapa kali sehingga jika kedua-dua belah potongan kunyit itu jatuh dalam keadaan terlentang. Itu maknanya sudah tidak keteguran,” katanya yang mewarisi amalan itu daripada arwah neneknya, Kaimah Daud.

Katanya, mereka percaya pesakit terkena teguran makhluk halus, roh orang mati atau akibat hujan panas, jadi amalan itu bertujuan membuang benda yang tidak baik di dalam badan pesakit.

Bagaimanapun, rawatan itu mesti dikenakan pengeras yang ditetapkan, iaitu bayaran yang berakhir dengan nilai suku. Misalnya duit sebanyak RM1.25 atau RM10.25 dan 25 sen itu bermaksud suku daripada nilai seringgit.

“Jumlah pengeras tidak boleh lebih atau tak boleh kurang daripada nilai suku di belakangnya, tetapi berapa nilai yang hendak dibayar bergantung kepada pemberi,” katanya.

Satu lagi amalan ialah teknik membuang angin dalam badan dengan menggunakan ibu jari tangan yang disentuh pada lelangit dan kemudian dijampi dengan bacaan tertentu lalu ditekan pada pusat pesakit diikuti jampi seterusnya. Teknik itu mesti dilakukan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Bagi yang menghadapi masalah anak kecil sering muntah, mereka kerap menggunakan tangkal muntah daripada tali kasut yang sudah digunakan.

Seutas tali kasut akan disimpul tiga kali dan diletakkan di tapak tangan untuk dijampi lalu dikalungkan pada leher kanak-kanak berkenaan. Kalung itu mesti dipakai selama tiga hari berturut-turut dan apabila penyakit muntah itu sudah pulih, kalung berkenaan dibuang.

“Jampi itu boleh dibuat melalui telefon, jika pesakitnya berada jauh, saya sendiri boleh buatkan dari sini, tetapi mesti letakkan tali kasut itu di tepi telefon untuk dijampi. Semua jampi itu menggunakan ayat al-Quran dan kita cuma berusaha dengan izin Allah,” katanya.

Sementara itu, wakil generasi pertengahan masyarakat Rao, Normah Mohd Nasir, generasinya juga masih mengamalkan tradisi sama dan turut meluahkan kebimbangan ia pupus jika tidak diwarisi dan diamalkan.

Antara amalannya ialah menggunakan buah terung Belanda yang dikenali sebagai pokok Limbang atau terung liar sebagai ubat beguk akibat bengkak di leher. Kebiasaannya ia dipadankan dengan amalan masyarakat Melayu menggunakan nila cair yang disapu pada tempat bengkak.

Buah terung bulat itu sebesar jari kelingking orang dewasa akan dicucuk dengan benang untuk dijadikan rantai dan akan dikalungkan ke leher pesakit sehinggalah buah itu menjadi kecut yang menandakan penyakitnya sudah sembuh.

Penggunaannya bertujuan mengurangkan suhu badan panas pesakit kerana buah terung itu diakui antara buahan yang dikategorikan sebagai makanan sejuk, bahkan boleh dijadikan ulam dan sesuai untuk merawat usus.

“Semua tumbuhan ini boleh ditemui di kebanyakan tempat, terutama di sekitar Gopeng. Cuma terpulang kepada kita nak gunakan khasiatnya atau tidak. Kami masih amalkan kerana ia terbukti berkesan,” katanya.

Katanya, daun Malai Alam pula banyak digunakan bagi merawat luka kecil berdarah dengan menggosok daun sehingga lembik dan menyapu pada tempat luka. Pesakit yang menggunakannya akan terasa pedih bila disapu pada luka, tetapi sangat berkesan menghentikan pendarahan kecil.

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao