Berita Minggu
8/8/2010
ISTILAH Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu daripada keturunan Rao, sebuah kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman di Sumatera Barat. Negeri Rao berjiran dengan Tapanuli (utara) yang didiami Mandailing dan Sumatera Barat (selatan) yang majoriti penduduknya Minangkabau.
8/8/2010
ISTILAH Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu daripada keturunan Rao, sebuah kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman di Sumatera Barat. Negeri Rao berjiran dengan Tapanuli (utara) yang didiami Mandailing dan Sumatera Barat (selatan) yang majoriti penduduknya Minangkabau.
Di sebelah barat Rao ialah Selat Mentawai dan timur bersempadan dengan Riau. Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia tetapi kurang dikenali di Rao.
Pengkaji sejarah masyarakat Rao, Zabidin Hj Ismail (Jari Basurek) merujuk kepada catatan penulis, Wan Mohd Shaghir Abdullah yang mengatakan, istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbitan, Persama Press di Lebuh Aceh, Pulau Pinang (1921).
Pada asalnya, di sebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada ‘Rao;’ tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan seseorang itu berasal dari Negeri Rao. Penggunaannya bermula awal abad ke-19 khususnya ketika pengajian Islam berkembang di Makkah.
Berdasarkan kajian Zabidin melalui bukunya, Sekondakhati (2009) beliau memberikan pendapat dan analisis bahawa wujud tanggapan bahawa asal usul orang Rao adalah dari Pagar Ruyung.
Bagaimanapun, katanya jika merujuk kepada penelitian Dr Mukhtar Naim dan pendapat daripada MO Parlindungan yang menyatakan orang Rao adalah dari Champa iaitu suku bangsa Lubu, bukannya orang Pagar Ruyung.
Hal ini sesuai dengan situasi pendapat orang tua di Rao yang menerima fakta sejarah bahawa mereka adalah orang Lubu dan sesuai dengan peninggalan sejarah klasik Rao yang menganut Hindu dan Budha yang dibawa dari Champa.
Penghijrahan beramai ramai ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Paderi (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan kolonial Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, ulama, cendikiawan, panglima dan tentera.
Mereka kini bertuah kerana wujudnya pertubuhan Jalinan Anak Rao Malaysia (JARO) yang didaftar pada 6 Disember 2007 bagi menguruskan, mengumpul, mengembangkan serta menghidupkan semula budaya Rao.
Setiausaha JARO, Tahiruddin Ahmad berkata, berdasarkan kajian tidak rasmi, ada kira-kira 250,000 keturunan Rao di Malaysia dan 700 daripadanya sudah mendaftar dengan JARO.
“Masih ada kira-kira 150,000 Rao di Sumatera Barat atau di penempatan asal. Kami pernah adakan seminar Melayu Rao buat pertama kali pada UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) yang dihadiri 1,500 orang, itu suatu yang di luar jangkaan,” katanya.
Orang Rao sebenarnya cukup terkenal dengan adat Berjojak (Pantang Tanah), kemahiran tobek (membela ikan air tawar), masakan tradisional gulai lemak dan kelamai (lemang).
INFO: Proses penghijrahan:
• Negeri Sembilan
Ke Seri Menanti sekitar 1773 dan Sungai Ujong 1848
• Pahang
Melalui Sungai Hulu Pahang (Bera, Hulu Pahang, Kuala Lipis, Raub, Bentong) sekitar 1857-1863), antaranya Tengku Khairul Alam, Pakeh Khalifah Saka dan Tujuan Saka.
• Selangor Melalui Sungai Klang (Hulu Langat), Sungai Selangor (Kalumpang, Ampang, Kuala Lumpur, Gombak) sekitar 1867 - 1873.
• Perak Melalui Sungai Perak, Sungai Bidor, Sungai Bernam (Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Temoh, Tapah, Kampar) sekitar 1875-1876. Antara tokoh - Datuk Sakti Putih.
• Kelantan
Melalui Pahang ke jajahan Pasir Mas melalui Sutan Amir Kaharuddin Budiman.
Aktiviti JARO:
• Lawatan 'Balik Kampung' ke Rao, Sumatera Barat.
• Majlis Silaturahim sempena Hari Raya Aidiladha.
• Lawatan ke negeri dan daerah yang mempunyai orang Rao.
• Tabung dan majlis makan malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan