Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Memaparkan catatan dengan label Esei Ilmiah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Esei Ilmiah. Papar semua catatan

Ahad, 25 November 2012

Orang Rao Pahang dan Perak: cerita di sebalik jendela














 


Foto:
Pembentang Kertas, Pemimpin JARO, Pegawai-pegawai 
UPSI, DBP Wilayah Timur  dan JKKN Pahang
 
 

Oleh
Zabidin Hj Ismail


Pengenalan

Asal-usul orang Rao ialah dari Champa. Mereka adalah suku bangsa Lubu atau ras Mongolite yang menyeberang ke Sumatera dalam dua  gelombang iaitu;

i.      Pada abad ke-2Masihi yang mendarat di muara Sungai Batang Toru terus bergerak ke pedalaman Sumatera seperti Sipirok, Padang Lawas dan Tapsel[1].

ii.    Pada abad ke-6 Masihi yang datang melalui Selat Melaka masuk ke muara Sungai Rokan atau Sumpu, kemudian mudik dan mendarat suatu tempat yang dinamakan Lubuk Godang.

 
        Di Lubuk Godang atau Ranjau Batu (Kecamatan Mapat Tunggul pecahan dari kecamatan Rao),  suku Lubu membuka kampung dan ladang. Ketika meneroka belantara, mereka bertemu dengan orang asli yang tinggal di pedalaman Sumatera yang disebut sebagai suku Leco. Suku primitif  ini belum mengenal pakaian dan makanan bermasak. Bentuk tubuhnya rendah; tidak lebih dari satu meter tetapi mengikut keterangan masyarakat setempat,  mereka sangat kuat dan dapat membalik-balikkan batu-batu yang besar melebihi saiz tubuhnya. Suku Leco hidup berkelompok dan berpindah-randah di serata Pasaman Barat, Madina, Pasir Pongoraian, Rokan,  Jambi dan tempat lain di pedalaman Sumatera.

         Ada juga pendapat mengatakan bahawa Mandailing di Sumatera Utara pun berasal dari  suku Lubu. Hal ini bersandarkan teori yang mengatakan suku Lubu sampai ke Sipirok dan Padang Lawas dan mereka menamakan daerah tersebut dengan nama Mandailing dan Koto  Pungkut yang akhirnya berubah menjadi Huta  Pungkut.

         Ini bererti orang Mandailing, Sipirok, Padang Lawas dan sekitarnya bukanlah berasal dari Batak seperti dakwaan umum sebaliknya adalah suku Lubu. Hal ini berpadanan dengan sejarah Kerajaan Haru dan Panai bahawa kedua kerajaan ini disebut kerajaan Melayu bukan kerajaan Batak. Apatah lagi kerajaan ini menggunakan bahasa Melayu yang seakan-akan bahasa Rao.

            Kenyataan ini diperkukuhkan dengan penghijrahan sebahagian suku Lubu di Rao ke Sumatera Utara mencari tanah subur melewati Mandailing, Sipirok dan Padang Lawas bertujuan untuk bertani. Justeru suku Lubu yang sampai ke situ pada abad ke- 2 bergabung dengan suku Lubu yang datang dari Rao dan akhirnya mereka bergerak ke Aceh melalui pantai timur Sumatera kecuali daerah Tapanuli Utara yang telah sedia didiami oleh orang Batak dan daerah Aceh  Gayo yang didiami oleh orang Batak Gayo.

Pergerakan suku Lubu ke arah selatan pula melalui Agam, Tanah Datar, Painan, Jambi, Bengkulu kecuali daerah Danau Rangau yang terlebih dahulu didiami oleh bangsa Batak Rangau. Manakala ke arah timur mereka sampai ke Rokan, Dalu-dalu, Pasir Pongoraian, Pantai Timur dan Kepulauan Riau serta ke arah barat pula, mereka sampai ke pesisir pantai barat seperti Air Bangis, Natal, Sibolga, Barus dan Singkil.

Demikianlah bentuk pergerakan suku Lubu di Sumatera. Di Rao keberadaan mereka lebih dominan dan menyerlah dengan terbukti banyak nama tempat berasal daripada perkataan “lubu” seperti Lubuk Godang, Lubuk Layang, Lubuk Sikaping dan sebagainya di samping kewujudan candi atau artifak  di Padang Nunang, Tanjong Medan dan di Koto Rao.

Lokasi strategik

            Rao terletak di jantung Sumatera. Ia dahulu kala dikenali sebagai daerah yang menghasilkan emas[2], beras, kerbau, kopi dan rempah menyebabkan para pedagang dari India, Arab, China dan Indo China  datang ke Rao melalui Sungai Rokan atau Sungai Sumpu untuk berniaga dan bertukar-tukar barangan.

            Melalui perdagangan ini, Islam masuk ke bumi Rao pada awal abad ke-15 oleh pedagang dari Melaka dan Aceh. Saudagar-saudagar ini datang ke Rao untuk berniaga kain, permaidani, porselen, minyak wangi dan lain-lain, sedangkan dari Rao mereka membeli emas, beras, kerbau, kopi dan rempah untuk dibawa pulang. 

            Pedagang dari Melaka masuk ke Rao melalui Bagan Siapi-api (Riau) mudik Sungai Rokan lalu ke Choronting,  manakala pedagang dari Aceh masuk ke Rao melalui pelabuhan Katiagan di pantai barat Sumatera. Dari Katiagan mereka ke Kinali, Ladang Panjang, Kumpulan, Bonjol, Lubuk Sikaping, Panti terus ke Rao.

            Menurut orang tua-tua, dahulu kala Kota Rao bernama Kota Tinggi terletak di empat persimpangan jalan iaitu  ke Sumatera Utara, ke Air Bangis, ke Riau dan ke Agam. Manakala Lembah Rao pula mempunyai penduduk ramai sekali kerana ia merupakan pusat perdagangan dan perkembangan agama Islam[3].

            Apabila Melaka ditewaskan oleh Portugis di bawah pimpinan Alfonso De Albuquerque pada tahun 1511, para pedagang Islam mengalih perdagangan ke Teluk Banten kerana enggan berniaga dengan orang Eropah.  Namun demikian, kapal-kapal dagang mereka selalu dihalang dan dipaksa ke Melaka tetapi secara bersembunyi mereka berdagang pula di pantai barat Sumatera.

Bagi menjaga keamanan di pantai barat Sumatera, Kerajaan Aceh meletakkan armadanya berkawal dan mengawasi kawasan perdagangan itu. Akhirnya pada awal abad ke-19 sebahagian Pasaman dikuasai oleh Kerajaan Aceh. Serentak dengan itu, Islam berkembang pesat di Rao termasuk dengan kemunculan ulama-ulama tariqat dengan berbagai aliran seperti satari,  zamani dan Naqsyabandiah. Semenjak itu, kegiatan bersuluk atau berkhalwat kian berkembang sehingga ke hari ini.

Asal Nama Rao

          Letnan H. Bahar, Pengkaji Sejarah Rao yang berasal dari Ton-Toruang berpendapat bahawa nama Rao berasal daripada bahasa Lubu iaitu  manggarao yang bererti bertelanjang. Mitos kemunculan perkataan manggarao ini dikatakan sewaktu  suku Lubu mendarat di Lubuk Godang mereka ternampak orang asal kepulauan Sumatera yang dikenali sebagai  suku Leco bertelanjang bulat sedang menangkap (mengalah) ikan di Sungai Sumpu. Lantas orang Lubu menamakan suku Leco itu sebagai orang Manggarao dan kawasan yang mereka terokai digelar pula sebagai daerah Manggarao. Perkataan Manggarao ini lama kelamaan berubah akibat peredaran zaman dan akhirnya dipendekkan menjadi Rao.

Rao atau Rawa

            Istilah Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu yang berasal dari daerah  Rao di Sumatera.  Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia. Ia kurang dikenali di Rao. Wan Mohd Shaghir Abdullah (Utusan Malaysia: 19.3.2007) berpendapat bahawa istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin ar-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbit Persama Press tahun 1921 di Lebuh Aceh, Pulau Pinang. Anak beliau bernama Haji Yusuf bin Abdullah tersohor dengan gelaran Yusuf Rawa (1922-2000) yang pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebagai duta ke Iran, Iraq, Afghanistan dan Turki.

Pada asalnya disebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada ”Rao” tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan asal seseorang itu iaitu dari Negeri Rao di Sumatera Barat. Namun demikian, tidak terdapat dalam sejarah yang menceritakan orang-orang Rawa yang menuntut atau menetap di lain-lain negeri atau negara menggunakan perkataan Rawa atau Rawi dicantumkan pada akhiran nama mereka.

Penggunaannya juga dianggarkan bermula di sekitar awal abad ke-19 khususnya sewaktu aktiviti pengajian Islam sedang berkembang pesat di Makkah. Juga tidak dapat dipastikan penggunaan ar-Rawa pada akhir nama seseorang itu bermula di Tanah Melayu atau Makkah.  Walau bagaimanapun, mengikut catatan sejarah terdapat seorang syeikh terakhir di Makkah di kalangan orang Rawa bernama Syeikh Jamal Rawa yang menggunakan perkataan tersebut.

Hubungan Rao dengan Pagarruyung

Kerajaan Pagarruyung mula didirikan pada 1347 Masihi. Ia diasaskan oleh pembesar-pembesar adat bekas Kerajaan Sriwijaya yang terletak di Batu Sangkar dengan menamakan kerajaan tersebut “Pagarruyung” sebagai satu kawasan autonomi menandakan had kuasa hanya    lingkungan dalam pagar istana.

Ekoran sokongan kerajaan ini kepada Belanda, Raja Alam Pagarruyung terakhir bernama Bagagar Shah telah dilantik sebagai wakil Belanda bergelar Regent  Tanah Datar.  Asalnya sebelum Belanda menjajah, tuan Pagarruyung tidak ada kuasa politik sebaliknya selepas Belanda berkuasa di Sumatera,  baharulah berbagai anugerah diberi kepada kerabat  Pagarruyung termasuk perluasan wilayah.

            Justeru itu, di antara Rao dengan Pagarruyung tiada perhubungan langsung kecuali Padang Nunang.  Pada suatu ketika semua daerah di Rao memiliki raja masing-masing kecuali Padang Nunang. Akhirnya disepakati oleh pembesar-pembesar adat di Padang Nunang dengan  mengambil putera raja Pagarruyung  untuk ditabalkan sebagai raja Padang Nunang.

Ditakdirkan Allah S.W.T berjayalah mereka membawa pulang seorang putera raja dengan menaiki gajah dan sebaik tiba di Padang Nunang, putera itu pun ditabalkan sebagai Raja Padang Nunang dan bersemayam di singgahsana yang dibina khas.  Adat hamba mengangkat sembah; adat raja menerima sembah. Tetapi putera itu tidak tahan daulat lalu muntah-muntah dan tercirit-birit.

Maka berkatalah pawang bahawa putera raja itu bukanlah anak raja tulen sebaliknya orang biasa. Telahan pawang itu lagi, anak raja yang sebenarnya masih berada di istana Pagarruyung menyamar sebagai hamba raja bagi mengelakkan dirinya “diambil” oleh orang-orang Rao.
Setelah mendapat penjelasan pawang, orang-orang Rao  sekali lagi berangkat ke Pagarruyung dan kali ini berjaya dalam misi mereka untuk mendapatkan seorang putera raja yang tulen dan lantas digelar Yam  Dipertuan Padang Nunang. Setiba di Padang Nunang terus dirajakan mengikut adat Rao lalu baginda bersemayam di istana   dan kemudiannya dikahwinkan dengan puteri Padang Nunang.  Setelah memperoleh puteri, baginda pun pulang ke Pagarruyung seorang diri.

Beberapa tahun selepas kepulangan Yam Dipertuan Padang Nunang ke Pagarruyung, puterinya pun berkahwinlah dengan beberapa orang lelaki termasuk dengan kenamaan Rao. Pertama kali berkahwin, suaminya sakit lalu meninggal dunia. Kemudian puteri itu berkahwin lagi; mati juga kesudahan suaminya sehinggalah dia telah menikah dengan  tujuh orang; kesemuanya meninggal dunia.
Dan ditakdirkan Allah S.W.T puteri itu berkahwin pula untuk kali ke lapan dengan seorang ulama yang berasal dari Choroting, Rao. Namun begitu, ulama ini hanya sempat mengandungkan puteri tersebut. Apabila genap tiga bulan mengandung, ulama itu menceraikan isterinya seraya berkata; “Aku yang kuat beramal kepada Allah S.W.T  pun alah kepada mu, inikan pula orang biasa.” 
Sebenarnya, ulama itu telah menyedari bahawa dirinya sudah dihinggapi tulah dan matanya mula beransur menjadi hijau. Sebaik sahaja dia menceraikan isterinya tiba-tiba penyakitnya sembuh seperti sedia kala dan berkatalah ulama itu; “inilah kuasa Allah Taala.”
Enam bulan kemudian janda ulama itu melahirkan anak lelaki dan diberi nama Marah Sani. Anak ini dikatakan memiliki daulat.  Barang siapa yang melintas di hadapannya tanpa meminta izin akan muntah taik. Untuk kembali sedia kala; penawarnya ialah terpaksa minum air tapak kaki Marah Sani.
Adalah dipercayai kelahiran Marah Sani disambut dengan “adat pantang tanah” justeru itu keturunan Marah Sani sehingga sekarang masih lagi mengamalkan adat tersebut kerana dengan kehendak Allah jua, jika ditinggalkan akan mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak yang dalam tempoh berpantang iaitu kira-kira 13 purnama atau sehingga kanak-kanak itu  pandai berjalan dan pantang tersebut terbatal apabila kanak-kanak sudah berjojak atau bertatih[4].
            Oleh yang demikian hubungan Rao dengan Pagarruyung adalah berpunca daripada kisah klasik ini. Justeru keturunan Padang Nunang di Rao memang ada pertalian darah dengan kerabat Pagarruyung di Batu Sangkar. Misalnya, kebanyakan masyarakat Rao di Raub Pahang mempunyai tali keturunan dengan Pagarruyung sebaliknya masyarakat Rao Gopeng, Tapah dan sebagainya tiada kaitan langsung kerana mereka bukan berasal dari Padang Nunang melainkan dari Langgung, Sungai Ronyah, Padang Matinggi, Langsat Kadap, Lubuk Hijau, Lubuk Layang dan sebagainya.

Hubungan simbiosis Tokoh Rao Raub dan Perak

Hubungan simbiosis dalam kalangan masyarakat Rao berlaku melalui satu konsep yang dinamakan “merapatkan saudara”. Kata kunci “urang awak” yang ditujukan kepada seseorang kenalan itu, menjadikan masyarakat Rao mencipta persahabatan dengan mudah serta mesra sehinggakan ada kalanya begitu erat dan intim bagaikan sebuah keluarga.

            Konsep merapatkan saudara acap kali berlaku apabila bertembung sesama mereka walaupun pada peringkat awal perkenalan, saling tidak mengenali di antara satu dengan yang lain. Namun apabila mereka bertegur sapa, lebih-lebih lagi menggunakan dialek Rao, proses merapatkan saudara akan bermula dan secara tidak langsung “persahabatan” akan bertambah erat atau intim ketika “borandai” (berbual/bercakap-cakap) tentang perkara-perkara seperti keturunan, teromba atau asal usul kampung di Rao. Setelah wujud keintiman lahirlah sebutan “urang awak” bermaksud saudara kita atau seketurunan.
            Hakikatnya apabila proses “merapatkan saudara” itu menjadi mantap, beberapa gelaran kehormatan dalam masyarakat Rao akan digunakan terhadap kenalan baru itu. Misalnya, kalau lelaki agak berumur akan dipanggil “mamak” bererti bapa saudara. Jika anak dara dipanggil “upik” manakala lelaki bujang dipanggil “buyung”. 
Begitulah cara masyarakat Rao merapatkan saudara. Walau bagaimanapun nilai-nilai kemasyarakatan Rao kini kian luntur akibat sebahagian besar orang-orang Rao tidak lagi mampu bertutur dialek asli mereka.
            Demikian juga dengan masyarakat Rao Pahang didapati menjalin perhubungan dengan masyarakat Rao Perak berasaskan enam faktor utama iaitu melalui perkahwinan, kekeluargaan, kepahlawanan, politik, keagamaan dan penerokaan penempatan baru. Hal ini dapat dijelaskan seperti berikut;

1.   Perkahwinan
Perkahwinan dalam kalangan masyarakat Rao Pahang dengan Perak lumrah berlaku kerana untuk memanjangkan pertalian keluarga. Perkahwinan di antara Rao Pahang dengan Perak bukan hanya membabitkan tokoh malahan golongan marhaen. Misalnya, Raja Ahmad@ Tok Prak antara tokoh penting dalam penerokaan beberapa buah kampung di Raub menikah dengan orang Rao Sungkai, Perak bernama Nuriah (1728 Masihi)[5].

2.   Kekeluargaan

Pertalian keluarga antara masyarakat Rao Pahang dengan Perak merupakan bukti konsep merapatkan saudara menjadi kelaziman dalam kehidupan orang-orang Rao. Walaupun mereka tinggal berjauhan tetapi tali kekeluargaan tersimpul rapi. Mereka sering berkunjung atau bertandang di antara satu dengan lain terutama ketika mengadakan kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Ini bermakna keluarga berjauhan tidak semestinya hilang perhubungan, sebaliknya dieratkan dengan kunjung-berkunjung dalam kalangan mereka. Tokoh Rao Pahang iaitu Mohd Taib bin Santan @ Pawang Nong , Pembuka Ulu Cheka, Jerantut, Pahang yang juga seorang pawang diraja,  walaupun dilahirkan di Pahang pada 1874  tetapi ibunya, Bon berasal dari Kg Gunung Mesah, Gopeng, Perak.
Begitu juga Tan Sri Sallehudin Mohamed, mantan Ketua Setiausaha Negara (1984-1990) meskipun dilahirkan di Raub, Pahang tetapi mempunyai seorang abang bernama Zakaria yang menetap di Gopeng, Perak, malahan beliau pernah mendapat pendidikan awal di Gopeng sebelum ke Universiti Malaya, Singapura.
Dua contoh di atas membuktikan bahawa pertalian keluarga merupakan antara faktor penting dalam hubungan masyarakat Rao di antara kedua-dua negeri itu berkekalan sehingga ke hari ini.

3.   Kepahlawanan
Menuntut ilmu persilatan dan perubatan tradisional Melayu khususnya, menyebabkan seseorang itu merantau dan berhijrah. Dalam masyarakat Rao hal ini juga lazim berlaku terutama dalam kalangan tokoh mereka. Mat Kilau, pahlawan Rao Pahang umpamanya, dikatakan pernah menyeberangi Banjaran Titiwangsa dari Raub ke Hulu Slim, Perak terus ke Sungkai untuk menimba ilmu persilatan.
Begitu juga Kulup Mat Diah @ Long Mat Piah watak utama dalam Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis[6] dari Beruas, Perak pernah berguru dengan Pawang Nong di Jerantut, Pahang mempelajari ilmu menundukkan jin. Dalam SBDJ siri ke-20 bertajuk Memburu Raja Pukau diceritakan bagaimana Kulup Mat Diah ke rumah Pawang Nong dengan meredah belantara dari Lanchang, Cameron Highlands ke Jerantut dan dia bermalam seminggu di rumah Pawang Nong. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1960-an sewaktu empangan Jor di Batu 16 Jalan Pahang-Tapah sedang dalam pembinaan[7].

4.   Politik
Arena politik tanah air turut dimeriahkan oleh tokoh-tokoh Rao. Misalnya, pertandingan   merebut jawatan Ketua  Wanita UMNO  Malaysia di antara  Dato’ Dr Siti Zaharah Sulaiman (Rao Pahang) bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (2008) dengan Tan Sri Rafidah Aziz  (Rao Perak) bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa (1987) pada tahun 1996 menyaksikan kekalahan tokoh Rao Perak (penyandang 1984-1996) di tangan tokoh Rao Pahang dengan majoriti 27 undi. Walau bagaimanapun pada tahun 2000 Tan Sri Rafidah Aziz pula menang menewaskan Dato’ Siti Zaharah Sulaiman dengan majoriti 12 undi.
Nyata sekali kehebatan kedua-dua tokoh Rao tersebut telah mewarnai persada politik negara yang memperlihatkan bahawa kewibawaan mereka dalam kepimpinan serta mempengaruhi perwakilan cukup meyakinkan serta mempertingkatkan imej Rao itu sendiri.

5.   Keagamaan
Tokoh agama Rao iaitu Imam Ishak Muhamad Arif, Kadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah dan Perintis Teromba Rao yang dilahirkan di Chemor, Perak  pada tahun 1908 berpindah ke Kg. Temau, Raub, Pahang pada tahun 1915. Penghijrahan beliau ke Pahang telah melebarkan pengajian agama dengan beberapa orang ulama sehingga Imam Ishak ditauliahkan sebagai imam Masjid Kariah  Lechar, Raub oleh Sultan Abu Bakar.

6.   Penerokaan  penempatan baru           

Penerokaan penempatan baru turut melibatkan tokoh Rao. Penerokaan ini telah memantapkan lagi hubungan masyarakat Rao di antara Pahang dan Perak. Hal ini terbukti apabila  Ketua orang Rao Kg. Gali, Raub, Pahang iaitu Dato’ Haji Mustapha bin Raja Kamala telah berhijrah dan membuka Tanjong Malim sekitar tahun 1870-1871. Kemudian tokoh ini dilantik sebagai Penghulu Tanjong Malim sekali gus menjadi ketua masyarakat Rao di sekitar Ulu Bernam dan Kalumpang di Selangor.

Penentangan Tok Gajah[8], Dato’ Bahaman dan Mat Kilau terhadap campur tangan Inggeris ke atas hal ehwal politik Pahang sekitar tahun 1891-1895 telah mencetuskan peperangan hebat. Kekalahan di pihak pribumi menyebabkan  beberapa orang keluarga Mat Kilau melarikan diri ke Perak. Sampai di Perak mereka meneroka hutan belantara untuk dijadikan kampung dan ladang.

Hal ini terjadi kepada Monik dan adik-beradiknya yang lari dari Pahang terus menerusi Raub-Hulu Slim ke Tapah. Beliau seorang wanita dikatakan membuka hutan di Tapah dari pasar hingga ke balai polis sekarang walaupun ketika itu Tapah telah dibuka oleh Tok Tua Sakti yang juga tokoh Rao dari Sumatera Barat. Monik dikatakan pernah berkahwin dengan Ngah Ibrahim dan telah mendirikan sebuah rumah berhampiran masjid jamek Tapah. Rumah itu masih ada lagi tetapi kini telah dimiliki oleh orang lain[9].

Penutup

Sesuatu peristiwa itu berlaku ekoran daripada sebab dan akibat. Demikianlah apa yang terjadi tentang hubungan simbiosis masyarakat Rao Pahang dengan orang Rao Perak adalah disebabkan beberapa faktor yang dinyatakan seperti di atas. Inilah antara contoh bahawa hubungan orang-orang Rao Pahang dan Perak cukup intim dan di sebalik sesuatu peristiwa itu, hadir pula pelbagai kisah yang tersendiri yang seharusnya dikaji dengan mendalam untuk rujukan generasi Rao akan datang.

Bibliografi

Abdullah Zakaria Ghazali, “Perak 1651-1955: Satu Tinjauan Mengenai Perjuangan Orang Melayu” dlm. Adnan Haji Nawang (Peny.) 1988. Perak Dahulu dan Sekarang. Kuala Lumpur: Muzium Negara

A Samad Ahmad (Peny.)1979. Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan                   Pustaka
Buyung Adil 1972. Sejarah Pahang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ibrahim Shah, “Bongai atau Rentak Kuda” dlm. Norazit Selat (Editor) 1990. Negeri Sembilan Dahulu dan Sekarang. Kuala Lumpur: Muzium Negara

Iskandar Kemal 2009. Pemerintahan Nagari Minangkabau dan Perkembangannya; Tinjuan Tentang Kerapatan Adat. Yogyakarta: Graha Ilmu

Jari Basurek 2009. Sekondakhati. Jitra, Kedah: Altacom Sdn Bhd.

Marsden, W 2008. Sejarah Sumatra. Yogyakarta: Komunitas Bambu Depok

Muhamad Bukhari Lubis, Mohd Rosli Saludin dan Talib Samat 2009. Rao di sana sini. Kuala Lumpur: Persatuan Jalinan Jaro Malaysia (JARO

Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi  2012. “Raja Ahmad Anak Datuk Bendahara Putih: Nenek Moyang Keturunan Rao Persemendaan di Raub Abad ke-17” (Kertas Kerja) Seminar Memperkasakan Tokoh Rao anjuran UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang  di Sekolah Menengah Gali, Raub, Pahang  pada 25 November 2012.

Tamar Jalis 1984. Buku 1: Siri Bercakap Dengan Jin 1984. Kuala Lumpur:  Variapop Grop

Zabidin Haji Ismail 2012. Biografi Tokoh Rao: Sumbangan dan Jasa Terhadap Pembangunan Negara. Ipoh: Persatuan Karyawan Perak

Zaffuan Haji Manaf 2007. Bingkisan Sejarah Raub: Rao dan Pagarruyung dengan Raub dan Pahang. Kuala Lumpur: Anjung Media Resources


__________
23 November 2012
Putrajaya


Kertas ini dibentangkan di Seminar Memperkasakan Tokoh-tokoh Rao Pahang anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang serta kerjasama Biro Pendidikan dan Sejarah Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gali, Raub, Pahang pada 25 November 2012



 
[1]Parlindungan  Mangaraja  Onggang 1965. Sipingki Nangol-Ngolan  Sinambela. Gelar Tuanku Rao. Tanjung Harapan
 
[2]Rao merupakan daerah pertambangan emas yang paling penting di Sumatera sesudah Alahan Panjang. Perdagangan emas di Rao sudah diketahui oleh pedagang-pedagang India sejak awal abad ke-2 Masihi. Sebab itu mereka telah mendirikan permukiman, baik di lembah mahu pun di bahagian atas sungai Kampar, kemudian berkembang menjadi pangkalan yang dikhaskan untuk perdagangan emas dari Rao.
 
Ketika itu Rao adalah pengeksport emas. Misalnya pada tahun 1826  Singapore Choronicle menetapkan nilai emas Rao antara 13.000 dan 14.000 dollar Sepanyol per tahun. Di samping mengeksport, pedagang-pedagang   Rao juga berdagang di pantai barat dengan membawa emasnya ke Natal, Air   Bangis, Pasaman, bahkan hingga ke Padang.
 
[3]  Pada tahun 1830-an  Lembah Rao mempunyai penduduk sekitar 25.000 orang. Kawasannya terbahagi kira-kira dua puluh desa besar dengan di kelilingi sawah padi yang luas. Kopi juga ditanam di situ.
[4]  Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Sutan Seri Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid, Temoh, Perak.  Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumatera Barat.Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera Barat.
 
 
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera Barat.
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera Barat.[5] Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi 2012. “Raja Ahmad Anak Datuk Bendahara Putih: Nenek Moyang Keturunan Rao Persemendaan di Raub Abad ke-17” (Kertas Kerja) Seminar Memperkasakan Tokoh Rao anjuran UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang di Sekolah Menengah Gali, Raub, Pahang pada 25 November 2012.[5] Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi 2012. “Raja Ahmad Anak Datuk Bendahara Putih: Nenek Moyang Keturunan Rao Persemendaan di Raub Abad ke-17” (Kertas Kerja) Seminar Memperkasakan Tokoh Rao anjuran UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang di Sekolah Menengah Gali, Raub, Pahang pada 25 November 2012.[5] Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi 2012. “Raja Ahmad Anak Datuk Bendahara Putih: Nenek Moyang Keturunan Rao Persemendaan di Raub Abad ke-17” (Kertas Kerja) Seminar Memperkasakan Tokoh Rao anjuran UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang di Sekolah Menengah Gali, Raub, Pahang pada 25 November 2012.
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera Bara
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera Bar
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera Barat.
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera B
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumeter
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sum
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumetera
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung, Rao, S
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid. Beliau berasal dari Langgung
Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah beliau di Kampong Pasir,      [5]  Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi  2012. “Raja Ahmad Anak Datuk Bendahara Putih: Nenek Moyang Keturunan Rao Persemendaan di Raub Abad ke-17” (Kertas Kerja) Seminar Memperkasakan Tokoh Rao anjuran UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang  di Sekolah Menengah Gali, Raub, Pahang  pada 25 November 2012.
[6]   Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan.  Sebanyak 284 siri disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005. Ini adalah rekod Malaysia bahkan  merupakan satu rekod dalam arena persuratan dunia.
 
[8]   Tok Gajah dikenali sebagai Imam Perang  Pahang  dan nama sebenarnya,  Imam Rasu bin Shahrum iaitu ayah kepada Mat Kilau. Lihat  J.M Gullick 1958.  Indigenour Political System of Western Malaya  hlm. 79 ada mencatatkan bahawa ayah Tok Gajah  itu orang Melayu Rao dari Sumatera. Lihat juga keterangan gambar Tok Gajah dan orang besar Pahang lain yang tersiar dalam surat khabar Utusan Melayu bertarikh 10 Januari 1970 yang menyebut bahawa ayah Tok Gajah itu bernama Shahrum.
 
[9]  Seperti yang diceritakan oleh Puan Azizah Abdul Karim (Ahli JARO)  yang  berasal dari Tapah, Perak kini menetap di Shah Alam kepada penulis pada 19 November 2012.  Arwah Monik adalah moyang beliau.





Jumaat, 8 Januari 2010

Peranan Ulama Silam Dalam Mempererat Hubungan Masyarakat di Kepulauan Nusantara: Tinjauan Indonesia dan Malaysia


Peranan Ulama Silam Dalam Mempererat Hubungan Masyarakat di Kepulauan Nusantara: Tinjauan Indonesia dan Malaysia [i]
Afriadi Sanusi [ii]

Abstrak
Hubungan benci-benci tapi rindu antara Indonesia-Malaysia kebanyakannya disebabkan oleh kepentingan dan keadaan politik semasa. Walaupun hubungan Indonesia-Malaysia mengalami masa “masam-masam manis”, namun hubungan kekeluargaan dan se-Islam nampaknya tidak begitu tercabar oleh pasang surutnya hubungan kedua-dua negara. Ukhuwah Islamiah yang dibawa dan disebarkan oleh para ulama Nusantara, memiliki ikatan yang kukuh dan terjalin dengan baik hingga saat ini. Waktu itu Ulama memiliki status dan kedudukan yang tinggi, terpandang dan dihormati. Sejarah mencatatkan beberapa nama besar tokoh-tokoh ulama melayu silam yang “dimiliki secara bersama” oleh umat Islam di kepulauan Nusantara ini. Mereka berdakwah tanpa mengenal batas sempadan wilayah, sosial, budaya, politik dan ekonomi ketika itu. Kertas kerja ini akan membahaskan tentang; apa dan bagaimana peranan ulama silam dalam mempererat tali persaudaraan di Nusantara, Siapa saja ulama itu dan apa kesannya hingga saat ini.

Kepulauan Melayu Sebelum Kemerdekaan

Orang Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya Kerajaan Melayu sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Sriwijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Brunei, Filipina, Indonesia, Madagaskar, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

Kepulauan Melayu, Nusantara dan Asia Tenggara adalah istilah yang biasa digunakan oleh para ilmuan yang merujuk kepada tempat yang sama. Penulis kurang suka menggunakan istilah Indonesia dan Malaysia dalam kertas kerja ini, kerana ia berkonotasi politik. Sementara makalah ini banyak membicarakan perkara sebelum adanya istilah nama kedua-dua negara tersebut. Di sisi lain, terbentuknya negara Indonesia-Malaysia menjadi faktor penyebab yang membuat hubungan persaudaraan dan se-Islam antara kedua negara menjadi semakin renggang yang disebabkan oleh kepentingan politik dan fahaman nasionalisme yang sempit.

Sejarah pernah mengenal kerajaan Iskandar Muda (1607-1936) yang kekuasaannya meliputi Deli, Johor, Bintan, Pahang, Kedah sampai ke Semenanjung Melaka. Sejarah pula pernah mencatatkan sebuah kerajaan Melayu yang bernama Riau Lingga yang kekuasaanya meliputi Riau, Johor dan Pahang (abad ke 19). Dan sampai sekarang terdapat ikatan kekeluargaan yang kuat antara keluarga di Raja Riau, Bugis, Betawi, Johor, Pahang, Selangor, Jambi, Minangkabau, Negeri Sembilan dan sebagainya
Hijrah bererti Pindah. Hijrah merupakan satu cara yang dilakukan oleh para nabi untuk melepaskan diri dari alam kebatilan dan kerusakan menuju kebaikan dan kehidupan yang lebih baik. Hijrah pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebanyak dua kali, pertama ke Tha`if dan kedua ke Madinah. Hijrah tidak berarti lari dari masalah, tetapi menyusun strategi baru untuk menuju ke langkah selanjutnya yang lebih baik. Hijrah adalah sunnah yang harus ditempuh oleh setiap umat Islam disaat mereka menemukan hambatan spritual, ekonomi, sosial di tempat asalnya dan melihat ada peluang yang lebih baik ditempat lain. Hijrah dilakukan kerana dorongan iman atau percaya bahawa bumi Allah itu sangat luas. Maka dari itu konsekwensi dari berhijrah adalah iman dan berjihad, yakni memperjuangkan apa yang dipercayai itu.

Menurut Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, penghijrahan orang Sumatera ke tanah Melayu telah berlaku zaman berzaman dan jauh sebelum kedatangan Barat menjajah tanah Melayu. Ini bererti berbeda dengan kedatangan kaum China dan India ke tanah Melayu yang dilakukan atas keinginan dan keperluan penjajah. Penghijrahan masyarakat dari satu tempat ke tempat lain di Alam Melayu adalah perkara yang biasa berlaku jauh sebelum kemerdekaan lagi.

Di waktu itu Nusantara tidak dibatasi oleh sempadan dan batasan. Bahkan penghijrahan dari satu tempat ke tempat lain dalam wilayah Nusantara biasanya di alu-alukan dan disambut bagaikan menyambut sang pahlawan. Ini kerana setiap negeri memerlukan orang ramai untuk membuka tapak-tapak pertanian yang baru untuk menukar hutan belantara menjadi perkebunan, morodah segala macam bahaya untuk mencari sumber kehidupan. Setiap negeri memerlukan ramai penduduk untuk meramaikan negeri dan menjaga keselamatan negeri. Ini juga kerana yang hijrah dan yang menerima penghijrahan itu memiliki identiti yang sama. Kesamaan dari segi alam, ekonomi, politik, sejarah masa lalu, bentuk tubuh, warna kulit, budaya, bahasa, agama dan berbagai-bagai kesamaan lainnya membuat mereka merasa bersaudara antara satu dengan lainnya. Belum ada sistem pasport, visa dan fiskal ketika itu. Asia Tenggara pula pernah menjadi sebuah kesatuan disaat permukaan air laut turun.

Konflik Indonesia-Malaysia Pasca Kemerdekaan

Penulis melihat ada empat penyebab utama merenggangnya hubungan antara Indonesia-Malaysia pasca kemerdekaan. Iaitu disebabkan oleh rasa nasionalisme yang sempit dan kepentingan politik sesaat. Antara lain adalah; 1. Konfrontasi, 2. Gerakan Reformasi mahasiswa 1998, 3. Isu tenaga kerja Indonesia di Malaysia dan 4. Pertindihan tuntutan. Secara ringkas akan penulis kemukakan satu persatu iaitu;

1. Konfrontasi
2.
Konfrontasi antara Indonesia-Malaysia tahun 1963-1966 adalah idea yang dicetuskan oleh Soekarno. Disamping ada alasan lainnya, menurut penulis, ide itu bertujuan untuk mengembalikan populeriti Soekarno dimata rakyat. Ketika itu beliau tidak lagi mendapatkan sokongan padu dari tentera dan Masyumi sebagai parti yang sangat berpengaruh ketika itu. Gerakan ganyang Malaysia akan membangkitkan rasa nasionalisme yang akhirnya meningkatkan lagi populeriti dan sokongan rakyat kepada Soekarno. Ini terbukti kerana kebanyakan yang terlibat dalam konfrontasi itu adalah rakyat banyak dan bukannya tentera. Strategi ini juga nampaknya dipakai oleh Abdullah Ghul di Turki dengan menyerang puak Kurdis dan Perdana Menteri Thailand dengan membunuh tentera Kemboja yang menjaga perbatasan. Waktu itu media Indonesia dan Malaysia berperang habis-habisan dan terkadang sampai ke tahap yang tidak masuk akal sama sekali.

3. Gerakan reformasi
4.
Reformasi mahasiswa tahun 1998 di Indonesia telah berjaya menjatuhkan kepimpinan rejim diktator Soeharto bersama Orde Barunya. Rejim ini telah berkuasa selama 32 tahun dengan menyalahgunakan kekuatan tentera, fasiliti negara dan swasta lainnya untuk kepentingan status quo. Peristiwa ini dalam pengamatan penulis telah membuat kerajaan Malaysia mengambil kebijakan melakukan “perang dingin” secara besar-besaran kepada Indonesia melalui senjata media. Adanya penyaringan ketat atas setiap berita yang datangnya dari Indonesia, berlakunya larangan-larangan tidak rasmi terhadap aktivis gerakan reformasi untuk mengunjungi Malaysia seperti yang dialami oleh Amin Rais sebagai bapa reformasi Indonesia dan Adnan Buyung Nasution. Hubungan kedua negara kembali agak renggang, berlakunya serangan media secara besar-besaran dari pihak Malaysia terhadap negara dan warganegara Indonesia. matlamatnya adalah kerajaan Malaysia takut gerakan reformasi 1998 di Indonesia akan memberi ilham kepada rakyat Malaysia khasnya mahasiswa untuk melakukan demonstrasi menggulingkan kerajaan BN.

3. Tenaga kerja Indonesia (TKI)

Warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia saat ini berjumlah lebih 2 juta orang, baik yang legal mahupun yang illegal. Seperti yang dilaporkan oleh Nasrullah Ali Fauzi dari Kedutaan Republik Indonesia, Kuala Lumpur. Berlaku pemberitaan secara besar-besaran terhadap setiap kesalahan yang dilakukan oleh rakyat Indonesia di Malaysia. Kalau pelaku kejahatan adalah WNI, maka akan diberitakan di muka hadapan akhbar harian dengan menyebutkan RAKYAT INDONESIA dengan menggunakan huruf besar. Tetapi kalau warga negara lain yang melakukan kejahatan di Malaysia, maka dibahagian dalam akhbar dengan tajuk yang kecil disebut “rakyat asing.” tanpa menyebut nama negara asalnya. Padahal hasil pengamatan Persatuan Pelajar Indonesia, di ibu pejabat polis Bukit Aman tahun 2004, kadar jenayah yang dilakukan oleh warganegara Indonesia sangat sedikit bila dibandingkan dengan kadar peratusan jenayah yang dilakukan oleh rakyat malaysia dari bangsa lain seperti India, China, Melayu dan sebagainya.

Nasib pemberitaan yang kurang adil dan tidak seimbang oleh media Malaysia ini juga nampaknya dialami oleh negeri yang diperintah oleh parti oposisi seperti Kelantan. Setiap kejahatan, kemiskinan, pengangguran, penagihan dadah, gejala sosial dan perkara negatif lainnya akan dibesar-besarkan oleh media. Penulis telah berkunjung ke beberapa buah negeri di Malaysia seperti WP, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Johor dan sebagainya. Tujuannya untuk melihat secara langsung keadaan sosial, ekonomi dan budaya masyarakat tempatan untuk mengimbangi pemberitaan media semasa yang ada.

Dalam pengamatan penulis Isu ini sengaja diperbesar oleh media, dan dijadikan sebagai kambing hitam politik oleh penguasa. Pemberitaan media secara besar-besaran terhadap tenaga kerja Indonesia di Malaysia biasanya akan berlaku setiap kali menjelangnya pilihan raya umum di Malaysia. Gerakan itu juga nampak ketara semenjak berkurangnya pengaruh Barisan Nasional yang mula di cabar oleh parti oposisi. Dalam hal ini kerajaan menjadikan isu tenaga kerja Indonesia di Malaysia sebagai kambing hitam politik. Dalam berbagai media ahli politik Malaysia sering mengungkapkan kata-kata “Marilah kita terus mendukung kerajaan di bawah kepimpinan parti kerajaan (BN) sekarang ini yang telah berjaya memakmurkan rakyat Malaysia. Lihatlah rakyat negara lain, mereka terpaksa datang bersusah payah untuk bekerja dan mencari makan dinegara kita...”.
Ibarat gayung bersambut media pula menjadi kepanjangan tangan dalam memberitakan tentang TKI secara besar-besaran dalam berbagai kesempatan seperti acara 999, Siasat, Tiada sempadan, siaran berita dan sebagainya. Kedatangan rakyat Indonesia ke Malaysia bukan sepenuhnya kerana kerja yang tidak ada, tanaman yang tidak berbuah, nelayan yang tidak mendapat ikan di Indonesia. Tetapi lebih kepada kerana tingginya nilai Ringgit bila ditukarkan ke Rupiah. Nilai ringgit Malaysia kalau ditukar dengan rupiah akan menjadi tinggi (Saat ini RM 1 = Rp. 3000). Perbandingan ini hampir sama dengan nilai dolar Singapura bila ditukar dengan ringgit Malaysia. Ini juga membuat ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

5. Sengketa Sipadan, Ligitan, dan Ambalat
6.
Sengketa Sipadan, Ligitan, Ambalat dan sebagainya menurut penulis sengaja dibesar-besarkan oleh media Indonesia dan ia adalah isu politik dalam rangka meningkatkan populeriti pemerintah menjelang pilihan raya Indonesia dan untuk menaikkan kembali nama tentera Indonesia yang tercalar di mata rakyat semenjak dijatuhkannya orde baru pada 1998. Rakyat dibuat marah karena dipanaskan oleh media massa, mereka melakukan demonstrasi di kedutaan Malaysia dan sebagainya sehingga rakyat lupa bekerja untuk menghidupi keluarga mereka. Padahal apa yang mereka lakukan adalah kewajiban dan tugas pemerintah (Departemen Luar negeri) yang setiap tahun menghabiskan anggaran belanja Negara yang banyak dan mereka digaji dari wang rakyat.
Rakyat yang sudah menderita disuruh pula memikirkan pekerjaan pemerintah yang memang sudah ada gaji untuk melakukan pekerjaan itu. Pemberitaan secara besar-besaran mengenai sengketa pulau Ambalat di Indonesia jelas menguntungkan Presiden SBY sebagai calon Presiden yang berasal dari tentera. Seolah-olah media ingin memberi pengertian kepada rakyat Indonesia, agar terus memilih tentera sebagai Presiden agar batas wilayah NKRI tidak hilang seperti yang berlaku pada masa kepemimpinan sivil Habibi dan Megawati. Dalam kasus ini nampaknya media Indonesia melakukan serangan sepihak tanpa dilawan oleh media Malaysia.




Hubungan Kekeluargaan dan Ukhuwah Islamiyah

Hubungan non politik yang telah berjalanan ribuan tahun lamanya di kepulauan Nusantara dan jauh sebelum lahirnya negara Indonesia-Malaysia dapat digolongkan kepada dua bagian iaitu; 1. Hubungan kekeluargaan dan 2. Hubungan se-Islam.

A. Masyarakat Rao Malaysia Sebuah Perbandingan

Hubungan kekeluargaan dapat dilihat dari hubungan darah, persemendaan, hubungan suku kaum, dan adat budaya. Hubungan kekeluargaan yang baik antara Malaysia-Indonesia saat ini dapat dilihat dari lahirnya berbagai-bagai organisasi berdasarkan suku kaum yang ada di Malaysia, seperti Persatuan masyarakat Banjar, Boyan, Bugis, Jawa, Kampar, Kerinci, Mandailing, Minangkabau, Rao, Johor, Riau dan sebagainya. Cukup ramai yang penulis jumpai, orang Malaysia datang ke Indonesia dan orang Indonesia datang ke Malaysia semata-mata bertujuan untuk mengunjungi sanak saudaranya. Penulis sendiri memilih belajar di Malaysia kerana ayah penulis lahir di Malaysia dan mempunyai ramai sanak saudara di sini. Sebagai perbandingan penulis akan menceritakan tentang keturunan keluarga Rao di Malaysia secara ringkas;

Berbicara tentang penghijrahan masyarakat Rao ke tanah melayu, jangan dibayangkan dengan keadaan Malaysia yang sekarang ini. Ini karena menurut Jaringan Anak Rao Malaysia (JARO) yang bertugas mengumpulkan salasilah masyarakat Rao Malaysia, orang Rao telah datang ke tanah Melayu bermula semenjak abad ke 5 Masehi lagi. Penghijrahan secara besar-besaran bermula semenjak abad ke 16, 17 dan abad 18. Data itu juga didukung oleh Tengku Lukman Sinar, seorang sejarawan yang berasal dari Rao yang sekarang berada di Medan. Menurutnya Orang Rao dan Kampar dulunya menetap di Sungai Itek Gopeng Perak, Mantin Negeri Sembilan dan Raub Pahang pada abad ke 16.

Ini bermakna bahawa keadaan Malaysia sekarang sangat berbeda dengan keadaan dizaman dulu. Belum ada jalan raya, KLCC, KLIA, Sepang dan bangunan tinggi lainnya. Belum ada Malaysia dan Indonesia ketika itu, sebab Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945 dan Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957. Belum ada negara yang namanya Indonesia dan belum lahir kerajaan yang bernama Malaysia ketika masyarakat Rao datang ke Tanah Melayu waktu itu. Keadaan dizaman itu sangat berbeda dengan keadaan Malaysia saat ini.

Orang Rao pula tidak tinggal diperkampungan orang-orang tempatan, tetapi menetap dan membuka penempatan baru yang belum diterokai dan belum berpenghuni lagi. Membuka hutan, meredah denai, menyuluh arah, jalan beliku menurut lagu sekondakhati. Sejarah juga mengatakan bahawa masyarakat Rao menjadi pengasas perkampungan baru dan sebagai peneroka awal di beberapa tempat tanah Melayu. Ia tidak sama dengan masyarakat Felda yang diberi berbagai-bagai kemudahan untuk meneroka perkampungan dan lahan pertanian. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelang sahaja memakan masa 10 sampai lima belas hari lamanya.
Rao yang dimaksudkan dalam tulisan ini adalah daerah rawa-rawa yang meliputi berbagai-bagai daerah yang luas seperti Panti, Padang Gelugor, Sungai Ronyah, dan sebagainya yang terletak di pulau Sumatera. Di sebelah Utara, Rao bersempadan dengan Sumatera Utara, di sebelah Timur bersempadan dengan Riau Daratan, di Selatan, bersempadan Minangkabau manakala di sebelah Barat, terbuka dengan Selat Mentawai yang secara geografi membentuk permukaan bumi di daratan pulau Sumatera.
Menurut Arisal, salah seorang keturunan dan pengkaji Rao Pahang mengatakan; orang Rao telah datang ke Tanah Malayu bermula abad ke 5 Masehi lagi, terdiri daripada golongan petani dan pemburu emas. Tanah Melayu ketika itu terkenal dengan

Semenanjung emas. Mengikut sejarah, suku kaum Rao yang mula-mula sekali berhijrah ke Tanah Melayu ialah golongan petani. Ini berlaku sekitar abad ke 5 Masehi. Faktor perdagangan bebas semasa zaman Kesultanan Melaka di abad ke 15 Masehi telah menggalakkan Iebih ramai kaum Rao merantau, berdagang dan bermastautin di Tanah Melayu. Penghijrahan masyarakat Rao pula adalah penghijrahan melalui proses hijrah semula jadi kerana adanya persamaan sejarah, antropologi, linguistik dan budaya antara masyarakat Rao dengan masyarakat tempatan. Masyarakat rumpun Melayu pula memiliki adat kebiasaan merantau untuk mempertingkatkan imeg, status, taraf sosial dan ekonomi individu dan masyarakat.

Penghijrahan beramai-ramai suku kaum Rao ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Padri (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan penjajah Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, para ulama, cendekiawan, pendekar, panglima dan sebagainya.

Masyarakat suku kaum Melayu Rao (Rawa) telah berhijrah ke Malaya mulai abad ke lima lagi. Perkampungan Rao banyak terdapat di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Kelantan. Nama-nama kampong mereka dibawa dari nama kampong yang terdapat di Rao sendiri. Dalam kehidupan keseharian mereka, suku kaum ini masih mempertahankan bahasa, adat istiadat, budaya dan hubungan kekerabatan dengan kampong asal nenek moyang mereka di Rao

Faktor penghijrahan besar-besaran adalah disebabkan Rao ditakluk oleh Belanda pada tahun 1833. Faktor penghijrahan lainya adalah disebabkan meletusnya perang saudara antara Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI) dengan tentera pusat di Sumatera Barat pada 15 Februari 1958, dan Rao adalah kubu terakhir PRRI ketika itu.
Usaha menyatukan kembali keluarga masyarakat Rao yang terpisah-pisah diserata dunia ini telah dilakukan dengan mendirikan Ikatan Keluarga Besar Rao (IKBR) di Medan, Jakarta dan berbagai-bagai tempat di Indonesia. Usaha serupa juga dilakukan di Malaysia dengan mendirikan persatuan Jaringan anak Rao Malaysia (JARO) yang dimulai di Pahang dan dilanjutkan di Perak. Bentuk aplikasi hubungan baik masyarakat Rao Malaysia dapat dilihat dari kunjungan Pada 26 februari 2002. Seramai 42 orang keturunan Rao Pahang telah berkunjung ke Rao dalam rangka mencari susur galur silsilah keturunan dan sanak saudara mereka disana.

Pada 27 November 2008 seramai 45 ahli Jaringan Anak Rao (JARO) telah berkunjung pula ke sana. Acara ini telah disambut secara besar-besaran di Rao tanah asal mereka dengan tangisan bahagia dan rindu kerana hanya dapat berjumpa setelah terputus bergenerasi lebih 200 tahun lamanya. Kunjungan individu, keluarga, penyelidik dan berbagai-bagai kunjungan lainnya juga banyak dilakukan selain kunjungan rombongan yang diungkapkan di atas. Pada bulan November 2009 nanti pula seramai 45 orang Rao akan berkunjung ke Rao dalam rangka tujuan yang sama. Walaupun yang dapat berjumpa itu ada yang 3 pupu dan 4 pupu, namun tali persaudaraan ibarat menebas air yang tak akan putus oleh perbedaan negara, aliran politik dan fahaman nasionalisme sempit.

B. Peranan Ulama dalam Mempereratkan Hubungan Masyarakat di Nusantara

Dalam sejarah kita mengenal beberapa ulama yang menyebarkan ajaran Islam di Semenanjung Malaysia yang berasal dari suku Melayu Banjar, Bugis, Mandailing, Minangkabau, Rao/Rawa, Johor, Riau dan sebagainya. Sebagai tokoh, mereka ini tentu sahaja memiliki pengaruh yang tiada terhingga di Malaysia hingga saat ini. Mereka melahirkan keturunan yang ramai dan berpengaruh, mereka meninggalkan ajaran, karya tulis dan murid-murid yang setia dan mereka meninggalkan jasa yang tidak terhingga nilainya. Wan Muhammad Shagir menuliskan beberapa orang ulama yang berasal dari suku kaum Melayu yang ikut aktif dalam penyebaran Islam di dunia Melayu, sebahagian dari mereka ialah:

1. Peranan Ulama Rao

Syeikh Muhammad Murid Rawa. Beliau ialah datuk nenek beberapa orang tokoh terkemuka di Malaysia, antaranya Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, bekas Yang Dipertua Pulau Pinang.

Abdullah Nordin Ar-Rawa. Syarikat percetakan yang beliau dirikan bernama Mathba'ah Persama telah banyak berjasa kepada dunia keilmuan di tanah Melayu. Syarikat ini kemudiannya diuruskan oleh anaknya iaitu Haji Yusuf Rawa. Hingga kini syarikat tersebut masih beroperasi di Jalan Kampung Jawa, Bayan Baru dikenali sebagai Safir Ilmu Enterprise diurus oleh cucu Haji Abdullah Nordin sendiri iaitu Mujahid bin Yusuf ar-Rawa. Daripada percetakan tersebutlah bermula penggunaan istilah Rawa khususnya terhadap aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan percetakan serta penerbitan kitab. Dari mathba'ah tersebut melibatkan sumbangan masyarakat berketurunan Rao atau Rawa yang menetap di Semenanjung Tanah Melayu didokumen dalam bentuk cetakan nama pada kitab-kitab.

Haji Yusuf Rawa. (1922- 2000 M). Beliau pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi duta Iran, Iraq, Afghanistan dan Turki.
Syeikh Muhammad Murid Rawa. Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Muhammad Shalih Rawa memperoleh dua anak iaitu Ahmad dan Muhammad. Ada pun Ahmad itu anaknya ramai, mereka melibatkan diri dalam pengurusan jemaah haji. Salah seorang Syeikh Haji pada beberapa waktu yang lalu bernama Syeikh Jamal Rawa dipercayai adalah keturunan Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang diriwayatkan ini. Tahun wafat Syeikh Muhammad Shalih Rawa dalam lingkungan tahun 1272 H/1856 M. Beliau meninggal dunia di Mekah dan dikebumikan di perkuburan Ma’la, Mekah.

Tuanku Tambusai (1784-1882 M). Walaupun Tuanku Tambusai berasal dari Melayu Riau, namun penulis memasukkan namanya di sini kerana beliau adalah murid dan teman seperjuangan Tuanku Rao melawan Belanda. Banyak pengikut Tuanku Tambusai adalah orang Rao. Tuanku Tambusai adalah seorang ulama dan pahlawan yang telah menyemaikan benih anti penjajah di tanah melayu. Beliau terkenal dengan tiga serangkai pejuang bersama Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Rao di Sumatera Barat. Kerana tidak mahu tunduk kepada kehendak penjajah, akhirnya beliau terpaksa hijrah ke Negeri Sembilan dan meninggal dunia di sana. Muhammad Shalih mendapat pendidikan awal dan asas daripada ayahnya sendiri. Ketika Muhammad Shalih meningkat dewasa beliau dihantar ke Rao yang lokasinya berdekatan dengan Tambusai. Setelah mendapat pendidikan Islam di Rao dan Bonjol beliau lebih dikenali dengan nama “Faqih Shalih”. Setelah itu Tuanku Rao dan Tuanku Imam Bonjol menasihatkan supaya Faqih Shalih pergi haji ke Mekah untuk mendalami ilmu di sana. Setelah kembali dari Mekah, Faqih Shalih lebih dikenali "Haji Muhammad Shalih". Dan selanjutnya dalam Perang Imam Bonjol atau Perang Paderi, beliau lebih dikenali sebagai "Tuanku Tambusai". Tuanku Tambusai dan kawan-kawan bersamanya bergabung dalam satu wadah yang dinamakan "Kaum Paderi" yang dipimpin oleh Peto Syarif yang kemudian terkenal dengan sebutan Tuanku Imam Bonjol. Tuanku Tambusai beliau telah diberi gelaran, ‘Pahlawan Nasional Republik Indonesia’ dengan SK. No. 071/TK/Tahun 1995, Tanggal 7 Ogos 1995.

Mat kilau (1865-1970M). Mat Kilau adalah pahlawan terkenal Malaysia. Nama sebenarnya adalah Mat Kilau Bin Imam Perang Rasu Indera Gajah Pahang. Menurut Zaffuan Haji Manaf, Mat Kilau adalah cucu kepada Tengku Ali atau Tok Shaharom yang dikatakan berasal dari daerah Rao Tanjung Durian Sumatera Barat.

Imam Ishak Rawa (1908-1992). Nama lengkap beliau mengikut salasilah ayahnya ialah Tuan Guru Imam Tengku Haji Ishak bin Tengku Muhammad Arif bin Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas bin Tengku Merah Laut Silingkar Alam @ Limbang Laut keluarga Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Mapat Tunggul, Rao, Sumatera Barat. Keluarga tersebut ada pertalian dengan Syeikh Muhammad Murid Rawa. Pada 1932 Tuan Imam Haji Ishak telah diberi tauliah imam oleh Sultan Pahang Abu Bakar. Dalam usia 24 tahun, Tuan Imam Haji Ishak telah diberi kepercayaan menjadi imam di Masjid Lechar, Raub, Pahang Darul Makmur. Berbekalkan ilmu-ilmu keislaman yang dipelajarinya dari para ulama yang dipercayai, Tuan Imam Haji Ishak berjaya menyatupadukan penduduk di kampungnya. Seorang pengasas dan cikgu sekolah di Pahang yang berasal dari Rao pula namanya di abadikan menjadi nama sekolah hingga ke hari ini bernama Sekolah Kebangsaan Muhamad Jabar Dong Raub.




2. Peranan Ulama Riau

Tengku Ali Tengku Selat. (1869- 1955 M) lahir di Pulau Penyengat [iii] (Riau). Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau. Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu' oleh pemerintah Belanda ketika itu. Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam.

Raja Ali Kelana. (w. 1927) Beliau ialah Yamtuan Muda ke-10, 1858 Masihi - 1899 Masihi). Bernama Kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya. Mulai tahun 1844 Masihi sampai tahun 1911 Masihi bernama Kerajaan Riau-Lingga dan takluknya. Raja Ali Kelana wafat di Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi. Pendidikan asas Raja Ali Kelana dalam bidang Islam, bahasa Melayu, bahasa Arab, adat istiadat kebangsawanan Melayu dan undang-undang kepemerintahan adalah diperoleh di Riau dan dilanjutkan di Mesir. Kejatuhan perniagaan dan termasuk tekanan pihak penjajah Belanda terhadap Raja Ali Kelana merupakan sebab beliau pindah ke Johor. Di Johor beliau dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor.

Raja Ali Haji. (1808-1873M.) Dilahirkan di Pulau Penyengat Indera Sakti yang ketika itu menjadi pusat pemerintahan Riau-Lingga-Johor dan Pahang. Ibunya, Hamidah binti Panglima Malik, Selangor. Namanya sangat terkenal dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Indonesia dan Malaysia. Nama kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang bertambah masyhur dengan kemunculan Raja Ali Haji dengan pelbagai karangannya yang bercorak sejarah yang banyak dibicarakan oleh ahli bahasa dan sastera di Nusantara, bahkan menjadi perhatian yang serius oleh orientalis Barat”. Riau adalah pusat kebudayaan Melayu dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan keislaman yang tiada tolok bandingnya di kala itu. Kitab karangannya “Gurindam Dua Belasnya” dan Kitab Salasilah Melayu dan Bugis banyak dibicarakan. Kandungan Salasilah Melayu dan Bugis ialah menceritakan asal usul keturunan Bugis di Luwu’ Sulawesi. Kemudian kejayaan di dalam pengembaraannya di bahagian Barat Nusantara setelah menghadapi pelbagai tentangan dan peperangan yang sangat hebat dan secara berentetan. Mereka dapat berkuasa di Riau, Selangor, Mempawah, dan tempat-tempat lainnya. Salasilah Melayu dan Bugis adalah sangat penting untuk menyusun sejarah Riau, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan Malaysia. Pengaruh Raja Ali Haji di alam melayu dapat dilihat dari karya-karyanya, pemikiran dan ahli keluarganya yang menyebar di alam melayu.

Raja Haji Ahmad (1874-1963). Lahir di Pulau Penyengat Indera Sakti, bekas pusat Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang. Dan wafat di Pulau Midai dekat Laut Cina Selatan. Susur galur Raja Haji Ahmad dari pihak sebelah ayahnya adalah kaum raja-raja Riau-Lingga, Johor atau pun Selangor. Beliau adalah seorang ulama yang hijrah bersama Sultan Melaka ke Batu Sawar, Johor, selanjutnya ke Bintan, selanjutnya ke Minangkabau, selanjutnya ke Kampar. Beberapa orang keturunannya berpatah balik ke Johor, Pahang dan lainnya, ramai yang menjadi pembesar. Keturunan beliau juga menjadi pembesar-pembesar dalam beberapa kerajaan Melayu, termasuk Pontianak dan Cam yang menyatu dengan keturunan yang berasal dari Patani.
Raja Haji (1725-1784M). Raja Haji berperang melawan Belanda bermula di Riau melalui Lingga, Rembau dan lain-lain di beberapa tempat dalam Negeri Sembilan akhirnya tewas di Melaka sebagai seorang syahid fi sabilillah. Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat yang memiliki daerah operasi di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M. Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997. Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak. Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain.

3. Peranan Ulama Minangkabau

Ilyas Ya’kub. (L. 1903M) lahir di Sumatera Barat, 1903. Beliau seorang ulama alumni Mesir. Diangkat menjadi pahlawan kemerdekaan Republik Indonesia, serta dianugerahi tanda kehormat Bintang Mahaputra Adipradana atas jasanya mempertahankan prinsip-perinsip kemerdekaan dari ancaman kolonialisme Belanda sekaligus menggerakkan kemerdekaan RI. Beliau dibuang Belanda ke Digul serta beberapa tempat di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Australia. Pernah memimpin mahasiswa Malaysia-Indonesia di Mesir, juga pendiri Partai Politik PERMI (Persatuan Muslimin Indonesia, 1932). Haji Ilyas Ya’kub di Mesir juga aktif menulis artikel dan dipublikasi pada berbagai Surat Kabar Harian di Kairo. Bersama temannya Muchtar Luthfi ia mendirikan dan memimpin Majalah Seruan Al-Azhar dan majalah Pilihan Timur. Majalah Seruan Al-Azhar adalah majalah bulanan mahasiswa sedangkan majalah Pilihan Timur adalah majalah politik. Kedua produk jusnalistik ini banyak dibaca mahasiswa Indonesia – Malaysia di Mesir ketika itu.

Haji Utsman bin Abdullah (1850-1919). Ulama yang berasal dari Minangkabau ini di antara orang yang pertama tinggal di Kuala Lumpur awal-awal Bandar Kuala Lumpur diterokai. Beliau adalah Imam, Khatib dan Kadi Kuala Lumpur yang pertama. Dilahirkan di Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera Barat tahun 1267 H/1850 M. Wafat di Kuala Lumpur, 1337 H/Januari 1919 M. Dimakamkan di Perkuburan Islam Ampang, bersebelahan dengan saudaranya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-

Minankabawi. Pendidikan asas diperoleh di Batu Sangkar dan seterusnya dilanjutkan di Mekah. Haji Abdullah Hukum murid beliau mencatatkan orang-orang kaya yang berasal dari Minangkabau yang sezaman dengan Haji Utsman bin Abdullah di Kuala Lumpur peringkat awal ialah Haji Abdus Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdus Samad Panjang, Haji Abdus Samad Kecil, Haji Muhammad Ali, Haji Utsman, Haji Zainal Abidin, Hajah Fatimah, Haji Abdullah Panjang, Hasyim, Banginda Kaya Haji Arsyad dan Datuk Maharaja. Dari kalangan orang Mandailing pula ialah Sutan Puasa. Orang Kerinci ialah Haji Arsyad. Orang Melaka ialah Datuk Abdullah dan mentua Haji Abdullah

Hukum. Orang Pulau Pinang ialah Che' Din, Encik Baki. Orang Aceh ialah Haji Saleh dan ada seorang orang Linggi. Orang Terengganu ialah Che' Soh. Selain sebagai seorang Imam dan Khatib Kuala Lumpur, kadi, serta terlibat sebagai seorang pengusaha, beliau juga giat mengajar. Di antara muridnya ialah Sultan Abdus Shamad Selangor, Raja Mahmud, Sutan Puasa, Haji Abdullah Hukum, dan ramai lagi. Sutan Puasa yang tersebut diriwayatkan berasal dari Mandailing, Sumatera Timur, beliau adalah Ketua Melayu (Dato' Dagang) yang pertama di Kuala Lumpur. Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi memperoleh 7 orang anak iaitu;

1. Saodah binti Haji Utsman kahwin dengan Haji Abdur Rauf bin Syeikh Yusuf al-Minankabawi. Syeikh Yusuf al-Minankabawi adalah seorang ulama besar Minangkabau yang tinggal di Semenanjung. Salah seorang muridnya ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang sangat terkenal.

2. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman, salah seorang guru bahasa Melayu. Beliau mendapat pendidikan bahasa Melayu di Penyengat, Riau. Tahun 1903 menjadi Pengawas Sekolah-Sekolah Melayu di Singapura. Salah seorang muridnya ialah Tan Sri Mubin Sheppard. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman meninggal dunia pada 6 Februari 1975 M.

Dari maklumat anak-anak beliau yang tersebut di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ramai keturunan Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi tersebar di pelbagai negeri.
Haji Muhammad Nur (1879-1943 M). Lahir di Sumatera Barat dalam tahun 1296 H/1879 M. Beliau meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada

1362H/1943M, dalam usia 65 tahun. Dikebumikan di Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur. Haji Muhammad Nur mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri Ismail al-Minankabawi. Ayahnya termasuk salah seorang pembesar di Kerajaan Langkat. Setelah banyak memperoleh ilmu dari ayah dan ulama-ulama di Langkat, Haji Muhammad Nur dihantar ke Mekah untuk lebih mendalami pelbagai bidang ilmu. Haji Muhammad Nur belajar di Mekah sekitar 10 tahun dengan Ulama-ulama seperti Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan Syeikh Usman Sarawak. Selain mengajar di Langkat, setelah beliau pindah ke Kuala Lumpur,

sahabatnya Tengku Mahmud Zuhdi yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor, memberi tugas kepada beliau mengajar di beberapa tempat di Kuala Lumpur di antaranya di Masjid Jamik, di Kampung Baru, dan tempat-tempat lainnya. Di antara sekian ramai muridnya yang sangat terkenal termasuk tokoh besar Indonesia dan Malaya. Diantara keturunannya ialah; 1. Haji Zainal Ariffin Abbas, 2. Al-Ustaz Haji Abdul Halim Hasan 3. Haji Abdul Rahim Haitami 4. Syeikh Abdullah Afifuddi. 5. Tengku Amir Hamzah 6. Tengku Fakhruddin, 7. Ulama-ulama di Sumatera Timur. Haji Muhammad Nur juga menghasilkan beberapa buah karangan yang ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. antaranya; 1. Ilmoe Tashauwoef, 2. Puasa. Perkawinan Haji Muhammad Nur dengan Hajah Nafiah binti Haji Abdur Rauf bin Tok Engku Syeikh Haji Muhammad Yusuf Minangkabau dikurniakan seramai 8 orang anak:

• Muhammad Kamil, salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia dan Malaya. Beliau pernah menjadi Ketua Umum Persatuan Indonesia Merdeka di Malaya (1946 - 1948). Meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, 1396 H/1976 M.

• Hajah Halimah Nur, Pengasas Sekolah Taman Pendidikan Islam (TAPIS) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Tokoh ini terkenal sekitar tahun 1950 an hingga 1960 an. Meninggal dunia di Jakarta pada 1424H/2003M.

• Abdullah Kamil, beliau ini juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau bersama-sama dengan Ibrahim Ya'qub, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam dan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pernah mengasaskan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Selain itu, Abdullah Kamil juga melibatkan diri dalam kewartawanan. Di antara akhbar yang pernah ditanganinya ialah Pengarang Akhbar Perwata Deli, Majlis Berita Malaya dan Semangat Asia. Beliau juga pernah menjadi Duta Republik Indonesia ke PBB. Meninggal dunia di Jakarta pada tahun 1991.

• Abdul Hadi Nur, juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Indonesia Merdeka (1945 - 1949), wartawan Mimbar Umum (1947 - 1948) dan Times of Indoensia (1953-1959). Meninggal dunia di Jakarta. Dan lain-lain.
Keturunan daripada lapan orang anaknya itu dipercayai bahawa Haji Muhammad Nur mempunyai keturunan yang ramai dan bertebaran sekurang-kurangnya di Indonesia dan Malaysia.

Syeikh Muhammad Zain Simabur (w. 1957 M). Beliau dilantik oleh Sultan Iskandar menjadi Syeikh al-Islam Perak. Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi memegang jawatan itu pada 6 Jamadilakhir 1343 H/1 Januari 1925 M. Beliau meninggal dunia di Pariaman, Sumatera Barat, tahun 1376 H/1957 M.

Syeikh Abdul Rahman Minangkabau (1777- 1899M). Dilahirkan pada tahun 1192 H/1777 M di Batuhampar, Payakumbuh, Sumatera Barat. Beliau mengajar di rumahnya di Mekah dan Masjid al-Haram Mekah, sedang Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau hanya mengajar di negerinya sendiri. Selanjutnya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau membuka tempat suluk di Semabok, Melaka, Pondok Upih di Pulau Pinang dan juga membina tempat suluk di Kedah dan Perak.

Hamka. (1908-1981M) Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir di desa kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat dan meninggal di Jakarta. Beliau adalah seorang sastrawan Indonesia, sekaligus tokoh ulama dan aktivis politik. Hamka adalah seorang tokoh dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik politik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tahayul dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia. Jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura. Pengaruh Hamka di Nusantara dapat dilihat dari tulisannya yang berjumlah sekitar 300 judul, menyebarkan dakwah Islamiyah ke berbagai kepulauan Melayu dan memiliki ahli keluarga di Nusantara termasuk Malaysia.

Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari. (1869-1956M) lahir di Cangking, Minangkabau 1286 H/1869 M. Meninggal dunia di Kuala Kangsar, Perak, 1376H/1956M. Syeikh Tahir juga mencatat siri pengembaraan dan pengalaman nya di beberapa kerajaan Nusantara, seperti di Singapura 1305H/1888M. Kehadirannya di Singapura memberi inspirasi kelahiran Muhammadiyah disana [iv]. Pada 1310H/1892M pergi ke Riau, Pulau Penyengat. Di sana beliau berjumpa dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Raja Muhammad Tahir Hakim bin al-Marhum Mursyid, Hakim Riau, menyarankan supaya Syeikh Tahir tidak meneruskan perjalanan kerana cerdik pandai Riau bermaksud bermuzakarah kitab falak berjudul ``At-Thal'us Said'', maka beliau tinggal di Pulau Penyengat itu hingga bulan Rabiulakhir. Pada 1321H/1903M., Syeikh Tahir ke Surabaya dan singgah di Bali, Boleleng dan Ampenan. Pada 9 Ramadan 1321 Hijrah/28 November 1903 Masihi, beliau sampai di Pulau Sumbawa. dari Sumbawa menuju ke Bima. Dari Bima menuju ke Makasar dan kemudian ke Goa. Pengaruh Syeikh Tahir di Nusantara dapat dilihat dari ajaran, anak murid dan keturunannya yang menyebar di tanah melayu seperti Muar, Perlis, perak dan sebagainya

Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minangkabawi (1871-1970M). Lahir di Candung, Sumatera Barat, 1287H/1871M, wafat pada 1390 H/1970M. Pendidikan terakhir Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi di Mekah. Ulama Malaysia yang seangkatan dengan beliau dan sama-sama belajar di Mekah di antaranya ialah Syeikh Utsman Sarawak, Tok Kenali dan ramai lagi. Yang berasal dari Indonesia pula di antaranya ialah KH. Ahmad Dahlan, KH. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur, Syeikh Hasan Maksum, Sumatera Utara, Syeikh Khathib Ali al-Minankabawi, Syeikh Muhammad Zain Simabur al-Minankabawi, Syeikh Muhammad Jamil Jaho al-Minankabawi, Syeikh Abbas Ladang Lawas al-Minankabawi dan ramai lagi. Pengaruhnya dapat dilihat dari karya tulis, ahli keluarga dan murid-muridnya yang berasal dari berbagai tempat, termasuk dari Malaysia.

Syeikh Ismail al-Minangkabawi. (1125-1260H) Kedatangan Syeikh Ismail al-Minankabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, Tuhfatun Nafis. Menurut Ensiklopedi Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah. Murid Syeikh Ismail al-Minankabawi daripada golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahu pun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain. Kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Upih di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya

Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi. (1860-1916M) Lahir di Bukit Tinggi Sumatera Barat tahun 1860 M [v]. Seorang ulama besar Minangkabau, ahli fiqih dan hukum Islam. Banyak menulis buku tentang agama Islam dan masalah kemasyarakatan. Ayahnya bernama Abdul Latif, dari pihak ayahnya, Ahmad Khatib masih sepupu dengan KH. Agus Salim, bapak cendekiawan muslim Indonesia dan pemimpin Islam yang cukup berpengaruh. Sedangkan Ibunya bernama Limbak Urai, anak Tuanku Nan Renceh, seorang ulama Paderi terkemuka. Dari pihak ibunya ini, Ahmad Khatib masih saudara sepupu dengan Syeikh Taher Jalaluddin, seorang ulama besar Minangkabau lainnya. Dari keturunan dan lingkungan keluarganya. Ahmad Khatib berasal dari keluarga terpandang. Dalam kehidupannya, Ahmad Khatib, lebih banyak mukim dan mengabdikan hidupnya di Mekah sebagai guru agama. Namun demikian ia selalu mengikuti perkembangan daerahnya melalui orang-orang yang menunaikan ibadah haji dan yang menjadi muridnya. Sebagai seorang guru, di Masjidil Haram, Ahmad Khatib banyak memiliki murid. Di antara muridnya yang kemudian berhasil menjadi orang terkemuka, antara lain: KH. Ahmad Dahlan (pendiri Muhammadiyah), KH Hasyim Asy’ari (pendiri NU), Syeikh Muhammad Nur (Mufti kerajaan Langkat), Syeikh Hasan Maksum (Mufti kerajaan Deli), Syeikh Muhammad Saleh (Mufti kerajaan Selangor), Syeikh Muhammad Zain (Mufti kerajaan Perak), HM. Nur Ismail (Kadi kerajaan Langkat). Syeikh Jamil Jaho (Pemimpin Perti), Syeikh Muhammad Jamil Jambek, Syeikh Ibrahim Musa. Dr. Abdullah Ahmad, Dr. H. Abdul Karim Amrullah dan Syeikh Sulaiman Ar-Rasuli.

4. Peranan Ulama Tanah Melayu

Haji Abdurrahman Limbong (1868-1929M). beliau ialah seorang pahlawan bangsa Melayu di Terengganu. Lahir tahun 1285H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Beliau adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain. Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.

Ismail Al-Kalantani (l. 1882-1951). Lahir di Kampung Labok, Macang, Kelantan pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Setelah memperoleh pendidikan asas di Kelantan, dihantar belajar ke Mekah. Haji Ismail Kelantan mengikut gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi itu berhijrah dari Mekah ke Riau dan selanjutnya ke Pontianak. Sewaktu Saiyid Abdullah az-Zawawi menjadi Mufti Pontianak, Ismail Kelantan terus bersama gurunya itu. Ismail Kelantan pulang ke Kelantan lebih awal (1325H/1908M), dan selanjutnya pergi ke Kemboja. Ismail Kelantan adalah orang pertama yang menyebarluaskan ilmu falak di Pontianak, khususnya atau Kalimantan Barat umumnya. Selain bersama gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi di Pontianak, Ismail Kelantan pernah menziarahi Syeikh Muhammad Yasin, seorang ulama yang berasal dari Kedah, yang tinggal di Kuala Secapah, Mempawah. Pada tahun kedatangan Ismail Kelantan ke Kuala Secapah,

Mempawah itulah Syeikh Muhammad Yasin Kedah meninggal dunia. Ismail Kelantan juga menziarahi Wan Nik, seorang ulama sufi yang berasal dari Patani. Beliau tinggal dalam bandar Mempawah. Dalam waktu yang relatif singkat, kealiman Ismail Kelantan tersebar di sekitar Mempawah dan Pontianak. Oleh sebab itu Adam, seorang hartawan Bugis di Sungai Itik, Pontianak, menjemput Ismail Kelantan mengajar di rumahnya. Mula-mula beliau dilantik sebagai Naib Hakim di Rad Agama Pontianak mulai tarikh 12 Ogos 1920 Masihi. Pada tarikh penulisan surat 28 Februari 1924, kedudukan Ismail Kelantan adalah sebagai Mufti di Kerajaan Pontianak. Karya Tulis beliau antara lain’; 1. Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah Ibnu Almarhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. 2. Risalah Pada Bicara Jum'at dan Sembahyang Zhuhur Mu'adah. 3. Pedoman Kemuliaan Manusia.

Haji Abu Bakar Al-Funtiani. Datuk neneknya berasal dari Melaka yang terpaksa berpindah ke Bentan, seterusnya ke Kampar dan Minangkabau dalam peristiwa kedatangan Portugis. Haji Muhammad Nur Putih setelah mengembara ke pelbagai tempat di dunia Melayu akhirnya membuka kampung yang dinamakan Kampung Kemboja di Pontianak. Seluruh kampung itu adalah milik beliau. Berdampingan dengan Kampung Kemboja dinamakan Kampung Saigon dimiliki oleh Haji Yusuf Saigon adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Haji Muhammad Nur Putih berkahwin banyak kali dan dikatakan mempunyai anak 27 orang. Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah, Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat, Singapura, Tembilahan dan tempat-tempat lain di Riau Daratan, juga Kepulauan Riau di antaranya pernah tinggal di Pulau Midai dan Pulau Bunguran/Natuna. Karya; 1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi Tahshil Tajwidil Quran, 2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, 3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim.

Abdul Rahman Al-Kalantani. (w. 1971M) beliau adalah ulama yang berasal dari Kelantan, Malaysia dan menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, Indonesia. Beliau meninggal dunia pada tahun 1391H/1971 M dalam usia melebihi 80 tahun. Kuburnya terletak di Kampung Pulau Pedalaman, Mempawah. Terdapat beberapa ulama yang berasal dari Malaysia dan datang ke Kalimantan Barat sebelum Abdur Rahman, antara mereka ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah. Makamnya terletak di Kuala Secapah, Mempawah. Haji Ismail bin Abdul Majid berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti di Kerajaan Pontianak. Beliau meninggal di Kelantan. Abdur Rahman belajar sambil merantau di Mekah dan sekitarnya, sehingga ketika pulang ke Kelantan beliau tidak begitu mesra tinggal di Kelantan, negerinya sendiri. Menurutnya, pada mulanya beliau akan merantau ke Banjar, kerana di sana sangat terdapat ramai ulama. Perancangan awalnya, dari Banjar beliau akan ke pulau Jawa kerana sewaktu berada di Mekah beliau sempat belajar kepada beberapa orang ulama yang berasal dari Jawa, antaranya, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor. Dari Kelantan Abdur Rahman menuju ke Singapura dan selanjutnya belayar menuju Sambas. Pada zaman itu Sambas juga terkenal dengan ulamanya yang ramai. Karya yang sempat dihasilkannya iaitu Qawaninul Mubtadi fil Fiqh.

Syeikh Abdul Wahid al-Juhuri (abad ke-16). Beliau berhasil mengislamkan Raja Buton yang ke-6 sekitar tahun 948H/1538M. Syeikh Abdul Wahid merantau dari Patani, Johor ke Buton pada tahun 1564 M. Sultan Halu Oleo dianggap sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama, bergelar Sultan atau Ulil Amri dan menggunakan gelar yang khusus iaitu Sultan Qaimuddin. Maksud perkataan ini ialah Kuasa Pendiri Agama Islam. Dalam pengembaraanya bermula dari Patani singgah di Kepulauan Siantan, menetap di Johor dan selanjutnya ke Pulau Buton.

Sulthan sulaiman (1865-1938 M). lahir pada 1282 H/1865M dan meninggal pada 1357H/1938M. Sultan Sulaiman merupakan Sultan Selangor ke-5, yang bertahta pada tahun 1898 Masihi - 1938 Masihi, memerintah dalam masa lebih kurang 40 tahun. Memperhatikan jalur keturunan di atas dapat dipastikan bahawa dari sebelah ayah baginda, Sultan Sulaiman adalah keturunan anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi dan dari sebelah ibu baginda adalah keturunan puteri Kerajaan Riau. Datuk neneknya, Raja Lumu adalah adik beradik dengan pahlawan Melayu yang terkenal, iaitu Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah yang meninggal dunia dalam peperangan melawan Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada 18 Jun 1784 Masihi. Karya-karya beliau; 1. Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman. 2. Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan.

5. Peranan Ulama Kalimantan dan Sulawesi

Mufti Jamaluddin al-Banjari. (1710-1812M) Sewaktu kembali daripada menunaikan haji, berkahwin di Kedah dan memperoleh seorang putera, Mas`ud. Zuriatnya Tuan Husein Kedah, ulama yang terkenal di Malaysia. Tahun 1258 H./1842M. raja-raja Riau di Pulau Penyengat Indera Sakti meminta kesediaannya menjadi guru di Kerajaan Riau. Karya Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari yang paling terkenal di seluruh dunia Melayu ialah `Perukunan Jamaluddin.

Muhammad Thaiyib al-Banjari. Beliau sama pegangannya dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi (Minangkabau) yang kedua-duanya hidup sezaman yang menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah yang tersebut dalam kerajaan Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Datuknya bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah. Peristiwa yang sama berlaku pula kepada saudara kandung Syeikh Qadhi Haji Abu Su'ud yang bernama Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari diminta oleh Sultan Riau-Lingga supaya menjadi Mufti, mengajar di istana dan rakyat Riau-Lingga dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam. Ayah beliau berasal dari Banjar sedang sebelah ibunya berasal dari Kedah. Ada tiga risalah karya ulama yang berasal dari Banjar ini yang telah dijumpai, ialah: 1. Miftah al-Jannah fi Bayan al-'Aqidah, 2. Fat-hul Hadi, 3. Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman, 4. Bidayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam. Risalah yang kedua, Fat-hul Hadi. Risalah yang ketiga (Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman).

Gusti Muhammad Taufiq Agamuddin. Beliau adalah raja terakhir yang memerintah Mempawah. Raja Ali Haji dan penulis-penulis lain pada masa dulu, selalu menyebut hubungan kekeluargaan antara Mempawah dan negeri-negeri Melayu di Riau, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan lain-lain. Ulama yang datang dari Semenanjung ke Mempawah ketika baginda memerintah antaranya ialah Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah, Haji Abdur Rahman bin Husein berasal dari Kelantan dan Haji Muhammad Saleh Sarawak. Ulama yang datang dari Patani ialah Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Selain itu ada juga dari Arab seperti Syeikh Yusuf al-Manshuri. Dari Banjar Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari.

Syeikh Yusuf al-Makatsari. (1626-1699 M) Beliau adalah seorang pejuang dan ulama yang tersohor sampai ke manca negara. lahir di Moncong Loe, Gowa, Sulawesi Selatan, 1626H/1036M. Seorang Ulama besar, mufti, pendiri tariqat, dan juga penulis. Wafat dan dimakamkan di tempat pengasingannya Cape Tawn. Afrika Selatan tahun 1699 dalam usia 73 tahun. Tetapi atas permintaan Sultan Abdul Jalil kepada pemerintah kolonial Belanda, pada tahun 1703 kerangka Syeikh Yusuf dipindahkan ke Lakiung, Goa, Sulawesi Selatan. Kuburannya dikenal oleh masyarakat Sulewesi Selatan dangan nama Kobbang, (kubah). Perjalanan, pengaruh dan perjuangannya meliputi Indonesia, Malaysia, Srilanka, Afrika dan sebagainya.

6. Peranan Ulama Mandailing

Syeikh Abdul Ghani al-Mandaili berasal dari Kampung Cubadak, Mandailing, Sumatera Utara kemudian pindah ke Selangor. Kedatangan Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili ke Selangor kemungkinan serentak dengan kedatangan sekian ramai orang-orang yang berasal dari Minangkabau dan Mandailing terutama sekali, sewaktu bandar Kuala Lumpur mula diteroka. Beliau berhasil membangun sebuah masjid di Kampung Selayang dalam tahun 1917M. Surat sebaran ditandatangani bersama oleh beliau dan Raja Ali, Penghulu Mukim Batu, Kuala Lumpur ketika itu. Masjid yang beliau bangun bersama murid-murid dan masyarakat tersebut masih wujud sampai sekarang. Tulisan beliau antara lain; 1.Aqidatul Iman. 2. Kitab Syair Nashihat. 3. Terjemah Nazam Akidah Awam dan Syair Nasihat. 4. Risalah Nasihat dan Jaga-jaga Hati. 5. Risalah Pohon Peringatan dan Jaga-jaga Hati Bagi Agama. 6. Kaifiyat Thariqatin Naqsyabandiyah.

Syeikh Junid Thala. (l.1897 M) Lahir tahun 1897M di Hutadolok, Kenegerian Maga, Kecamatan Kotanopan. Setelah belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah, Syeikh Haji Junid Thala pindah pula ke Madrasah al-Masriyah asy-Syubbaniyah di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sini, Syeikh Haji Junid Thala belajar daripada pengasas madrasah itu, iaitu Syeikh Mohd. Salleh al-Masri bin Baqi bin Lundang. Syeikh Mohd. Salleh al-Masri sebelum belajar ke tempat lain pernah belajar dengan Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam, Langkat. Syeikh Abdul Wahhab Rokan pula adalah salah seorang guru Syeikh Haji Junid Thala. Setelah belajar di Besilam belajar pula daripada Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Ketika Syeikh Haji Junid Thala pulang dari Mesir beliau dilantik sebagai anggota Majlis Ulama Negeri Perak oleh Sultan Iskandar Syah. Ketika belajar di Mesir, beliau sempat menjadi imam dan kemudian mengajar di Masjid al-Haram di Mekah.

7. Peranan Ulama Aceh dan Sumatera Utara

Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani. (abad ke 16) Beliau berasal dari Pasai. Tarikh wafatnya iaitu 1039 H/1630 M. Menjadi mufti Sulthan Iskandar Muda (1607-1636) Pengaruhnya dapat dilihat dari murid, ajaran dan Karya tulis beliau yang sangat banyak dan memiliki pengaruh yang besar di dunia melayu.

Syeikh Abdul Wahab Rokan (1826-1926 M). Babussalam, Langkat, Sumatera Utara merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang terbesar di Sumatera sesudah aktiviti Syeikh Ismail bin Abdullah al- Minankabawi. Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Babussalam tersebut pada satu ketika sangat terkenal hingga ke Semenanjung Tanah Melayu terutama Johor dan Singapura. Syeikh Abdul Wahab Lahir pada 1242H/1826M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada 1345H/1926M. Moyangnya Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai adalah seorang ulama besar dan golongan raja-raja yang sangat berpengaruh pada zamannya. Selain pendidikan dari lingkungan keluarga sendiri Abdul Wahab belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim di Tembusai. Dalam 1846 M - 1848 M Abdul Wahhab merantau ke Semenanjung, pernah tinggal di Johor dan Melaka. Dalam tempoh lebih kurang dua tahun itu digunakannya kesempatan mengajar dan belajar. Di antara gurunya ketika berada di Malaya ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Yusuf seorang ulama yang berasal dari Minangkabau. Masih dalam tahun 1848 itu juga Abdul Wahhab meneruskan pengembaraannya menuju ke Mekah dan belajar di sana hingga tahun 1854M. Di antara gurunya sewaktu di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yunus bin Syeikh Abdur Rahman Batu Bara, Asahan, dan lain-lain. Syeikh Abdul Wahhab Rokan pulang ke tanah air dalam tahun 1854M dan dalam tahun itu juga mengajar di Tanjung Mesjid, daerah Kubu Bagan Siapi-api, Riau. Dalam tahun 1856 M beliau juga mengajar di Sungai Mesjid, daerah Dumai, Riau. Selanjutnya mengajar di Kualuh, wilayah Labuhan Batu tahun 1860 M. Mengajar di Tanjung Pura, Langkat tahun 1865 M. Mengajar di Gebang tahun 1882 M, dan dalam tahun itu juga berpindah ke Babussalam, Padang Tualang, Langkat. Babussalam dijadikan sebagai pusat seluruh aktiviti, sebagai pusat tarbiyah zhahiriyah, ruhaniyah dan dakwah membina umat semata-mata mengabdi kepada Allah s.w.t. Murid Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat ramai: Di antara muridnya yang dianggap mursyid dan khalifah dan yang sangat giat menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Batu Pahat, Johor ialah Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi. Muridnya yang lain ialah Syeikh Muhammad Nur Sumatera. Murid Syeikh Muhammad Nur Sumatera ialah Haji Yahya Laksamana al-Khalidi an-Naqsyabandi, Rambah, Sumatera. Beliau ini adalah penyusun buku berjudul Risalah.
Syeikh Abdul Rauf Fansuri (l.1615M). Lahir di Barus Sumatera. Ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu yang menjadi muridnya. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Patani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani. Murid Syeikh Abdur Rauf bin Alial-Fansuri di Semenanjung Tanah Melayu yang paling terkenal ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis. Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu.

Abd Al-Ra`uf Al-Sinkili` (1024-1615 M). Beliau adalah seorang melayu berasal dari Singkel Aceh. Beliau adalah seorang ulama mujaddid terpenting di Nusantara yang meninggalkan banyak karya tulis. Sinkili banyak meninggalkan murid di Nusantara antaranya Burhanuddin Ulakan di Sumatera Barat dan Tok Pulau Manis di Tanah melayu.

Syeikh Hamzah al-Fanzuri. (1592-1607 M) Lahir di Aceh tahun 1001H/1592M, wafat 1016H/1607M. Selain belajar di Aceh sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di antaranya ke Banten, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab. Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.

Syeikh Nuruddin ar Raniri (w. 1658 M). Beliau lama tinggal di Aceh, Pahang dan Kedah dalam rangka menyebarkan ajaran Islam disana dan beliau banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar itu diantaranya Syeikh Yusuf al-Makatsari. Menurut Hamka, diawal kemasukan Islam lagi bahasa Melayu telah mulai menjadi bahasa untuk ilmu pengetahuan agama yang mendalam.

Analisa dan Kesimpulan
Kesamaan dari segi alam, ekonomi, politik, sejarah silam. bentuk tubuh, warna kulit, budaya, bahasa, agama dan berbagai-bagai kesamaan lainnya membuat manusia di kepulauan Nusantara merasa bersaudara antara satu dengan lainnya. Belum ada mengenal sistem pasport, visa dan fiskal ketika itu. Asia Tenggara pula pernah menjadi sebuah kesatuan disaat permukaan air laut turun.

Berbagai-bagai kesamaan ini dimanfaatkan oleh para Ulama melayu silam dalam memainkan peranan untuk menjalin ukhuwah Islamiyah. Mereka menyatukan hubungan persaudaraan di kepualauan Melayu melalui hubungan perkahwinan, tali persaudaraan, ukhuwah Islamiyah, dan melalui karya-karya mereka baik berupa karya tulis mahupun ajaran buah pemikiran mereka. Ulama memiliki kedudukan yang tinggi dalam struktur masyarakat Melayu Silam dan masyaraka pula sangat menghormati ulama tanpa mengira asal dan batas geografi.

Nusantara adalah sebuah kesatuan yang tidak dapat dipisahkan bagi para ulama silam, sehingga mereka dengan selesa dan bebas melakukan dakwah islamiyah, berjuang mencerdaskan umat Islam dimanapun mereka berada. Bahkan didapati ramai para ulama tersebut tidak meninggal dunia dikampung halamannya, tetapi di tempat mana mereka berjuang dan berdakwah.

Hampir semua penyebab merenggangnya hubungan Indonesia-Malaysia adalah disebabkan oleh kepentingan politik penguasa yang berkuasa pada zaman setelah kemerdekaan. Media pula memiliki peranan yang kuat dalam mempererat atau merenggangkan hubungan persaudaraan di kepulauan Melayu. Keadaan ini diperburukan lagi dengan tidak merdekanya media dalam menyampaikan berita yang selalu menerima titipan-titipan dan bisikan-bisikan daripada ahli politik yang sedang berkuasa.
Bangsa melayu adalah bangsa besar seramai 300 juta melayu didunia. Jumlah yang besar itu hanya akan menjadi laksana buih di lautan yang selalu mengikuti kemana arah angin bertiup kalau persatuan dan kesatuan tidak dijaga dan kalau kepentingan-kepentingan sesaat mengalahkan kepentingan jangka panjang lainnya.

Umat Islam itu adalah bersaudara dan setiap orang Islam diwajibkan mendamaikan saudara mereka yang bertikai, bukan malah memecah belah antara satu dengan lainnya. Diharapkan hubungan kekeluargaan, suku kaum dan seagama yang telah terjalin ribuan tahun lalu di kepulauan Nusantara ini, tidak dicabikkan oleh kepentingan politik sesaat dan nasionalisme sempit yang baru lahir beberapa puluh tahun ini sahaja.

[i]Disampaikan dalam Persidangan Hubungan Indonesia dan Malaysia 2009 Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, 6-8 Ogos 09. Email: adirao76@gmail.com
[ii] PhD Student, Bahagian Sains Politik Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia. (Untuk Kegunaan Blog ini, footnote sengaja Penulis hilangkan)
[iii] Pulau Penyengat adalah pusat kerajaan melayu Riau Lingga, Johor dan Pahang ketika dulu. Saat ini Pulau tersebut bagai museum hidup. Di sana masih tersimpan dan dijaga dengan baik berbagai peninggalan lama seperti masjid, istana, kuburan tokoh, kitab-kitab lama. Kunjungan dan wawancara penulis pada 17 June 2009 di Pulau Penyengat.
[iv] Wawancara dengan Presiden Muhammadiyah Singapura Shaik Hussain Shaik Yacob di Singapura pada 16/06/09 di Singapura.
[v] Tepatnya di Koto Tuo, tempat itu juga di lahirkan H. Agus Salim yang juga sepupu Ahmad Khatib. Hasil kunjungan penulis pada 23 Mei 2008 mendapati tempat itu sangat asri, tenang dan cantik yang berada diantara gunung merapi dan sunung singgalang. Ketenangan dan kecantikan tempat seperti Danau Maninjau dan Koto Tuo, Pulau Penyengat dan sebagainya mungkin mempengaruhi dalam pembentukan dan melahirkan tokoh.



Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao