Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Isnin, 27 Julai 2009

RUMUSAN SEMINAR

DATO’ MOHAMED BIN HAMZAH

PENGERUSI SEMINAR MELAYU RAO MALAYSIA


  • 1. Orang Rao tidaklah berasal dari Pagaruyung atau Luhak Nan Tigo dengan beberapa alasan yang masih dianggap kukuh, belum dikira bahan dari ‘cerita rakyat’ Rao.
  • 2. Orang Rao (Pasaman) berasal daripada suku bangsa Lubuk yang akhirnya berkembang menjadi orang Melayu.
  • 3. Sejak dahulu hingga sekarang bahasa Rao tidak mengalami perubahan walaupun Daerah Rao selalu didatangi oleh pendatang dari negeri tetangga.
  • 4. Berdasarkan budaya Rao, dapat pula dibezakan orang Rao daripada orang Minang ataupun orang Batak/Mandailing. Maka hal ini mengukuhkan lagi pandangan bahawa orang Rao adalah suku bangsa tersendiri sebagai cekal bakal suku bangsa Melayu termasuklah orang Minang.
  • 5. Dalam sejarah perkembangan masyarakat Rao di Sumatera, ternyata eratnya hubungan antara guru dengan murid dalam tradisi Islam. Kukuh jaringan antara surau dengan dimensi intelektual yang diperkenalkan. Antara lain senario ini memberi kesan dalam pemikiran dan perubahan baik dalam sistem sosial dan ekonomi.
  • 6. Komunikasi puisi tradisional Rao yang menekankan bahasa yang menarik dan mengagumkan itu dapat menyelamatkan manusia dan membawa kepada suasana hidup yang harmonis. Komunikasi ini ada yang cenderung kepada unsur-unsur pengajaran, maksudnya mengajar dan mengingatkan anggota masyarakat tentang beberapa aspek penting dalam kehidupan. Malah ia boleh dijadikan pegangan dan amalan.
  • 7. Tak kenal tak cinta. Begitulah yang berlaku kepada keturunan Rao yang menjadi tokoh penting dan tersohor dalam membangun tamadun Melayu di Malaysia. Rupa-rupanya banyak tokoh Rao yang menabur jasa dalam pembangunan Malaysia. Ketokohan ini dapat dikelompokkan dalam dimensi-dimesnsi berikuat: politik, agama, kedoktoran/perubatan, pentadbiran, penerbitan, keusahawanan, pertahanan, seni dan hiburan, kesusasteraan, dan pendidikan.
  • 8. Ternyata sehingga Seminar ini dianjurkan, terlalu sedikit kajian dan bahan bacaan yang membicarakan kehebatan tokoh-tokoh dari masyarakat Rao di Malaysia. Maka Seminar yang bersejarah ini digesa agar menjadi pencetus gerak dan usaha ke arah menerbitkan buku yang memperkenalkan sumbangan dan jasa tokoh-tokoh Rao yang ada. Dengan kata-kata lain, kita menunggu buku atau ensiklopedia yang kira-kira tajuknya begini: Apa dan Siapa Orang Rawa. Dalam konteks ini, sumbangan tokoh Rao yang berjaya dalam sektor korporat dan keusahawanan, malah siapa sahaja yang berkemampuan, agar tampil menghulurkan derma bagi menjayakan gagasan ini. Jika tiada Rao yang mendahulukan, siapa lagi? Biarkan kain rawa yang dipakai orang Rawa itu menjadi kegemaran orang awam.
  • 9. Kejayaan Melayu Rao dalam pelbagai bidang patut dikongsi bersama dan wajib diketahui oleh seluruh bangsa Melayu sebagai sebahagian tamadun mereka yang sah dan besar.
  • 10. Sebahagian budaya masyarakat Rao di Semenanjung Malaysia masih bertahan dan diamalkan oleh warga keturunan Rao sehingga hari ini. Diharapkan adat, budaya, dan jati diri Rao lainnya itu, selagi tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islami, sebaik-baiknya dipertahan dan dibudayakan, kerana itu akan menjadi identiti yang akan mendekatkan silaturahim antara sesama keturunan Rao.
  • 11. Di Malaysia amalan pendidikan surau turut diamalkan oleh generasi awal keturunan Rao. Bagaimanapun, kerana perkembangan zaman, amalan ini berubah dan sedikit-sedikit ditinggalkan. Ada baiknya kita memikirkan semula, memartabatkan kembali fungsi surau dalam masyarakat Rao.
  • 12. Masyarakat Rao Sumatera amat meminati Negeri Perak, selain Pahang sedikit, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Kelantan. Saksikanlah, sepanjang dari utara hingga ke selatan Negeri Perak, dari Selama membawa hingga ke Tanjong Malim, ada sahaja keturunan Rao.
  • 13. Hal ini berlaku kerana kegemaran orang Rao mencari saudara mara. Akhirnya terdorong untuk tinggal bersama-sama sehingga membentuk sesebuah komuniti yang jitu.
  • 14. Sehubungan dengan masyarakat Rao di Negeri Sembilan, jika dibandingkan dengan orang Minangkabau di negeri yang sama, orang Rao lebih mementingkan bidang perdagangan dan perkhidmatan sebagai tentera upahan. Barangkali ini disebabkan oleh sikap orang Rao yang berusaha mencari sumber, untuk dihantar ke Sumatera bagi digunakan untuk menentang orang kafir, iaitu penjajah Belanda.
  • 15. Orang Rao sudah lama menghuni di Negeri Sembilan, sehingga dapat dirasakan loghat Negeri Sembilan itu lebih hampir dan mirip dengan loghat masyarakat Rao. Loghat Minangkabau dituturkan hanyalah di Lenggeng dan Broga sahaja.
  • 16. Walaupun sesekali bertelagah, tiga etnik utama ini: Rao, Mandailing, dan Minangkabau telah pun serasi bergabung dalam menentang penjajah Belanda di Indonesia. Maka sikap dan hubungan yang baik ini haruslah diteruskan; yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan, sama ada melalui perkahwinan dan sebagainya.

7 ulasan:

  1. Membaca ini, pilu rasanya.Menitik air mata ini dengan tidak sengaja. Betapa tinggi jatidiri yang tidak kita sedar membentuk diri kita hari ini. Semoga usaha besar saudara saudari ini menemukan the "the missing link" dan bermujahadahlah kita memupuk nilai dan budaya Rawa supaya tidak dilupai oleh generasi yang akan datang.

    BalasPadam
  2. bangga sekali menjadi kerabat Rawa. namun orang Rawa sebenarnya penuh dengan sifat merendah diri.

    BalasPadam
  3. RazakRao

    Tahniah atas usaha dan kepimpinan JARO atas kejayaan ini . Harap ditahun mendatang dapat di adakan lagi pembentangan kertas2 kerja yang dapat melibatkan lebih interaksi serta perbincangan yang lebih panjang supaya diakhirnya ,rumusan seminar akan bersifat kolektif serta menyeluruh ...

    BalasPadam
  4. Terima kasih semua,
    untuk masa akan datang pihak JARO bercadang mengadakan seminar untuk tajuk spesifik e.g Perjuangan Tuanku Rao atau Sejarah Asal Usul Rao atau sebagainya. Seminar kali ini kita pelbagaikan tajuk sebagai pengenalan mengenai Rao itu sendiri. Akan datang tajuk yang khusus membolehkan sesi interaksi / perbincangan dapat dijalankan dengan lebih panjang dan mendalam. Apapun terima kasih atas cadangan tuan.

    BalasPadam
  5. Saya keturunan ughang Minangkabau yang dilahirkan di Lenggeng tapi dibesarkan di Seremban dan Kuala Lumpur...
    Menarik dan kagum dengan usaha tuan menghidupkan semanagat Rao.

    BalasPadam
  6. RazakRao
    Sekadar pandangan Pak Jari ..
    dari apa yg kita dengar , kisah latar belakang Tuanku Rao menentang belanda adalah isu yg sangat sensitif walaupun di kalangan orang Rao asli di Sumatera Barat .. ramai yg takut atau tak sanggup utk membukanya ! .. tak tahu apa hal sebenarnya . Jadi minta pihak sekretariat seminar akan datang , menyelidikinya dulu sebelum meneruskan tajuk berkaitan Tuanku Rao .
    Tajuk Sejarah Asal Usul Rao dan adat serta kebudayaan Rao memang sesuai , cuma kerajaan lama Rao berkaitan rapat dengan sejarah Sriwijiya ... minta elakkan dari memanggil mereka yang mengkaji dari Teromba Alam Minangkabau , takut bercanggah nanti Pak ...

    Kalau boleh , buat satu sessi untuk belajar asas bahasa Rao yang asli .. bagi generasi seperti kami ...

    BalasPadam
  7. Sdr Razak Rao..
    Memang hasrat JARO dah buat seminar lagi khusus mengenai sesuatu topik tertentu di masa akan datang. Kegiatan berseminar amat perlu kerana maklumat mengenai masyarakat amat kurang sekali berbanding etnik Melayu lainnya. Buku mengenai Rao perlu diperbanyakkan. e.g Sekondakhati mungkin diterbit secara berjilid. Bentuk dan format yang sama tetapi kandungan yang berbeza dan dijual cera tempahan sahaja. Maksudnya tiada di pasaran bagi mengelakkan pembaziran dan kerugian.
    Cadangan tentang belajar asas bahasa Rao amat baik sekali boleh dibawa ke mesyuarat JARO untuk tindakan selanjut.

    BalasPadam

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao