Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Ahad, 5 Julai 2009

PUIGRAFI TUANKU RAO



Ku selak kisahmu Tuanku Rao
menjadi pandir aku;
antara cerita Pak Lang dan fakta buku
antara dakwa Onggang dan sanggah Hamka
antara bukti Asrul Sani dan teori Sanusi Pane
bacalah banyak buku
kisahmu tetap misteri

Kata Asrul Sani dia lahir di Padang Matinggi
nama kecilnya Shamsu Tabri
dewasa menerima gelar Imam Besar
menjadi suami anakanda Yang DiPertuan
lalu dipanggil Tuanku Rao
lalu berkuasa seantero Pasaman
lalu berdakwah sepanjang zaman
era yang dikenali Perang Paderi
lantas aku kenangi cerita Pak Lang;

“Kato urang...Tuanku Rao tu wali Allah. Satu pagi, ketiko Tuanku Rao membasuh kulah mosojid, tibo-tibo nyonyo berkato; Mokah terbakar!. Sekolip mato Tuanku Rao hilang dari pandangen. Nak jadi cerito…urang baliek haji pun menyobut nyonyo ternampak Tuanku Rao memadam api ketiko Mokah terbakar,

MasyaAllah buraqkah tunggangannya
seperti kenderaan Nabi ke mikraj
ah! terlalu payah untuk ditelan mitos ini
namun Kun Fa Ya Kun, kata Allah
jadi maka jadilah ia

tapi Hamka sanggah dia tidak pernah ke Makkah
benar pada zahir, batinnya siapa tahu
sepertilah aku enggan percaya cerita Pak Lang;

“Apabilo askar Belando menyorang. Ramainyo macom kalkatu bertebangen. Urang Rao terkopung. Saat itulah Tuanku Rao meminto ayer sekole langsung menyimbahnya ke askar Belando. Apo laie, terkapai-kapai, lomeh seolah-olah askar Belando tu macom tenggolom timbul di lautan.”

Kalau disimpulkan dua cerita tadi
Tuanku Rao bukan sembarangan, dia wali
kehebatan dia adalah kehebatan Rao sebenarnya
kehebatan dia adalah kehebatan Melayu sebenarnya
sebab itu Tuanku Rao kepunyaan Batak, dakwa Onnggang
sebab itu Tuanku Rao keturunan Minang, kata Hamka
sebab itu Tuanku Rao leluhurnya Aceh, kata buku
sebab itu Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai adalah sama, ujar Sanusi Pane
hanya Asrul Sani percaya dia urang Padang Matinggi
tetapi kenapa kita sampai kini tiada langsung mencari bukti
membiarkan orang lain merebut hak kita
kemudian kita bergaduh sesama sendiri
hanya yang kita tahu masjidnya di Padang Matinggi
hanya yang kita tahu bekas sujudnya di lantai masjid itu
sedangkan kemenakannya Bagindo Suman lagi banyak bukti
pergilah ke rumah Uci Sumi Salleh
di kaki benteng Rao @ Amerongen
dhaif Uci itu tetapi semangatnya tinggi

bertandanglah kalian ke rumahnya
dia tidak menghidang makanan tetapi bukti kepahlawanan
jubah berdarah, pedang dan rangka payung akan dihampar di depan mata, milik Bagindo Suman mamakandanya

Uci Sumi generasi keenam Tuanku Rao
petah berbahasa Rao, bergetar jabat tersembunyi hakikat
aku mengamati getar bibirnya berbisik
seolah-olah dia mengulangi cerita Pak Lang; “Tuanku Rao mengombang agamo Islam di tanah Batak, menjadi Imam Bosar menantu Yang DiPertuan Rao, sesudah Porang Paderi muncul pulo Belando berporanglah nyonyo dengan si Bagindo .

aku merenungi wajah tua Uci
redup dan minta disayangi
luluh jiwaku menahan sebak
tiba-tiba dan bukan pula kepalang
wajahnya saling tak tumpah arwah Pak Lang
berat kaki untuk pulang

melihat tetes air jernih
membasahi pipi yang dimamah usia

Uci Sumi,
sejarah tidak pernah mati
kebatilan akan lenyap ditelan kebenaran
keraguan akan lenyap ditelan kenyataan
kebimbangan akan lenyap ditelan kepastian
dan ketahuilah
Tuanku Rao
antara dakwa dan fakta
Tuanku Rao
antara mitos dan lagenda
Tuanku Rao
kisahmu tulus dan misteri
dan aku tetap percaya
kau urang Padang Matinggi.



oleh ZABIDIN HJ ISMAIL
Ipoh-Bukit Jelutung, Shah Alam

_____
Puigrafi= puisi+biografi

Sajak ini tercetus dalam kereta sewaktu perjalanan panjang mulai jam 6.30- 9.30pg pada pagi Ahad, 28 Jun 2009 antara Ipoh-Bukit Jelutung, Shah Alam, Selangor hendak menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa JARO di rumah Pn Hjh Ailin Ton Dato’ Isahak (selaku tuan rumah mesyuarat). Ia dituju khas kepada warga terpelajar Rao supaya mengambil daya usaha aktif “menyelamat” bukti sejarah yang banyak tersimpan dan tersembunyi di ranah Rao, Pasaman, Sumatera Barat, Indonesia agar tidak lenyap ditelan zaman.

2 ulasan:

  1. Saya bukanlah warga terpelajar. Namun, berminat mencari lagi bahan bacaan berkenaan Hamba Allah yang mulia ini.. Terima kasih tuan penyajak

    BalasPadam
  2. cer kelen cerito asal usul pantang tanah..dari mano datang pantang tanah ko...urang awak

    BalasPadam

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao