Rumah Godang Lama di Padang Nunang -Foto Ehsan RazakRao
Kisah ini bukan lah muktamad kerana sebahagiannya saya perolehi dari arwah niniek , Mukti bin Abdullah ( di Sumur Rao , nama asal moyang saya dikenali sebagai Amirullah dan bukan Abdullah - Di Rao beliau berjawatan Dato' Julo Bangso sebelum berpindah ke Tanah Melayu , niniek saya Mukti dilahirkan di Sumur Rao dan di bawa ke Tanah Melayu ketika berusia 12 tahun ) sebagai ' Bed Time Story ' untuk cucu sulongnya ni sekitar tahun 1977 . Sebahagian yang lain pula melalui maklumat di internet , individu yang berasal dari Rao dan juga Pemimpin Adat ( Dato' dan Raja ) di Rao sendiri .
Sejak lama , sebelum penjajahan Belanda , Rao adalah sebuah kerajaan yang besar . Keluasannya meliputi sehingga kaki Bukit Tinggi , satu tempat dipanggil Kumpulan ( sekarang dalam kawasan Pasaman ) , kawasan Riau , Kampar dan Medan di utara . Setelah persempadanan semula , Rao kini hanyalah sebahagian kecil dari Pasaman dan berada di sempadan utara Sumatera Barat ( Rao merupakan pintu ke Medan , Sumatera Utara ) . Rao dahulu diperintah secara autonomi selama berkurun lamanya dimana Dato' dan Rajanya memerintah dengan kapasiti masing -masing . Dato' dan Raja ini juga khabarnya memiliki daulat dan istananya dan pergerakan mereka kemana jua menaiki tandu dengan diiringi oleh panglima serta pengawal . Pada kurun ke 5 - 6 Rao juga mempunyai pemerintah tertinggi dengan gelaran Yang DiPertuan Rao , bersemayam di Koto Rajo , Mapat Tunggul , Rao . Tetapi atas sebab yang belum diketahui istana asal tersebut telah tertimbus dan tahta tersebut juga tidak ditabalkan semula . Kawasan tapak istana tersebut boleh dilihat dari jambatan sungai Asik , yang merupakan sempadan antara Nagari Lubuak Layang , Mapat Cancang dan Lubuak Godang , Mapat Tunggul .
Setelah pengembangan pengaruh Hindu pada abad ke 13 dan penjajahan pihak Belanda kemudiannya , Kerajaan Rao ini telah menjadi kecil dan semakin terhimpit . Ini dapat dilihat dari jumlah Raja - Rajanya yang berkurangan dari asalnya seramai 21 kepada hanya 15 . Pergeseran dan perbalahan diantara pemimpin-pemimpin ini berlarutan sehingga saat meletus nya Perang Padri pada awal abad ke 18 dan untuk mengelakkan persengketaan yang lebih buruk maka Raja - Raja Rao telah bermesyuarat untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik . Memandangkan mereka mempunyai kawasan autonomi sendiri dan kuasa diantara mereka juga agak seimbang , keputusan dari mesyuarat itu ialah perlu untuk melantik / mengangkat seorang Raja dengan gelaran Yang DiPertuan untuk menjadi pemutus kata sekiranya berlaku salah faham atau perbalahan dan Raja tersebut hendaklah dipilih dan dijemput dari istana Pagaruyung . ( Kuasa yang di persetujui untuk Yang DiPertuan bukan lah kuasa memerintah tetapi kuasa sebagai pemutus kata sekiranya ada masaalah yang dibangkitkan antara Raja - Raja di Rao . Sekarang ni di kira macam peranan PBB .. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu )
Tiga orang Raja telah dipilih sebagai wakil Raja-Raja Rao untuk mengadap Raja Pagaruyung dengan membawa hadiah - hadiah berharga sebagai persembahan . Mereka adalah 1. Sutan Komalo dari Pdg Briang . 2. Sutan Nadil dari Koto Panjang . 3. Sutan Rajo Lelo dari Tjg Boda . ( Nama2 ini bercanggah antara banyak individu dan ada juga yang berpendapat Dato' Rajo Malintang , Pdg Nunang adalah salah seorang dari wakil bertiga ) telah bergerak merentasi hutan dan gunung menuju ke istana Pagaruyung untuk membawa hajat Raja-Raja Rao . Setelah diterima mengadap maka Raja Pagaruyung telah memperkenan kan hajat itu dengan syarat ketiga wakil Raja Rao hendaklah memilih sendiri dari kalangan kerabat raja yang ada di balai mengadap itu . memandangkan kebanyakan kerabat di balai mengadap tu adalah perempuan maka wakil Raja Rao tersebut telah memilih salah seorang dari mereka... dan tentulah yang paling cantik dipandang .
Kerabat Raja Pagaruyung itu terus di bawa pulang ke Rao dan disambut sebagaimana yang sepatutnya untuk ditabalkan sebagai Yang DiPertuan , pada upacara penabalan itu kesemua Raja Rao lalu mengangkat sembah tanda taat dan hormat lalu dengan tidak semena - mena Yang DiPertuan yang baru ditabalkan rebah dari singgahsananya dan menggemparkan semua yang ada . Setelah diperiksa oleh tabib , disahkan kematiannya berkemungkinan disebabkan oleh ' ketulahan ' atau dengan maksud lain , yang menerima sembah darjatnya lebih rendah dari yang mengangkat sembah ... Lalu wakil Raja Rao yang bertiga itu telah dihantar semula keistana Pagaruyung untuk mengkabarkan berita malang tersebut dan meminta ganti kerabat yang lain . Raja Pagaruyung menerima mengadap wakil Raja Rao buat kali ke dua dan sekali lagi diminta membuat perkara yang sama . Sebagaimana sebelumnya wakil Raja Rao telah memilih seorang kerabat perempuan yang cantik paras rupanya . Setelah dibawa pulang ke Rao dan ditabalkan , Yang DiPertuan tersebut juga jatuh gering dan menemui ajal . Hal ini telah benar-benar menggemparkan semua .
Raja-Raja Rao kemudian telah duduk bermesyuarat lagi membincangkan langkah seterusnya kerana untuk berulang-alik dari Rao ke istana Pagaruyung bukanlah mudah dan jaraknya juga jauh . Tambah lagi untuk mengadap Raja Pagaruyung memerlukan barang berharga untuk di jadikan persembahan dan modal yang banyak telah dikeluarkan pada dua kali lawatan yang sebelumnya . Akhirnya ketiga wakil Raja Rao ini diminta untuk pergi lagi ke istana Pagaruyung dengan tujuan bukan sahaja menjemput kerabat istana , tetapi juga untuk menyiasat siapakah dikalangan kerabat istana yang tinggi daulatnya supaya dapat dia menanggung daulat dari Raja-Raja Rao ketika mengangkat sembah . Jadinya ketiga wakil Raja Rao telah membuat perancangan iaitu sebelum mengadap Raja Pagaruyung , mereka secara diam - diam telah berjumpa dengan ketua pengawal istana untuk mendapatkan sedikit maklumat . Ketua pengawal istana tanpa syak apa-apa telah mendedahkan akan peristiwa yang aneh berlaku didalam kawasan istana ... khabarnya ada seorang pekerja perempuan dibahagian dapur istana , apabila diherdik , dimarahi atau tidak dihormati maka sipelakunya akan serta merta jatuh sakit dan cara menawarkan sakit tersebut adalah dengan menggunakan air basuhan kakinya untuk di mandi atau diminum .
Setelah mendapat maklumat yang sangat berharga itu ketiga Wakil Raja Rao terus menuju balai mengadap istana Pagaruyung dan mempersembahkan akan apa yang telah berlaku di Kerajaan Rao , lantas meminta salah seorang pembantu dapur istana untuk di tabal kan menjadi Yang DiPertuan di Rao . Raja Pagaruyung memperkenankan lalu pembantu dapur tersebut dipanggil mengadap dan diarahkan mengikut wakil Raja Rao untuk pulang ke Rao . ( sumber yang saya dapati di Rao , pembantu dapur istana itu sebenarnya adalah salah seorang anak Raja Pagaruyung dari salah seorang gundiknya . Disebabkan ketika lahir , paras rupa nya tidak cantik dan berkulit hitam maka dia disisih dari istana dan diletakkan di bahagian dapur istana ) . Wakil Raja Rao tersebut sudah tidak dapat menolak bilamana mendapati orang yang mereka minta tidak cantik dan berkulit hitam , lalu terus membawanya kembali ke Kerajaan Rao .
Kerabat Pagaruyung yang di bawa kali ini telah selamat ditabalkan sebagai Yang DiPertuan di Rao yang pertama . Selanjutnya , Dato' Rajo Malintang yang menguasai Lubuak Layang pada masa itu telah berkenan memberikan sebidang tanah di Padang Nunang dan dibina sebuah istana diatasnya , Raja - Raja Rao sekeliannya kemudian duduk berbincang untuk menentukan pula siapakah diantara mereka yang sudi untuk memperisterikan Yang Di Pertuan Padang Nunang malang nya kesemua mereka menolak lalu seorang berketurunan bangsawan Mandailing yang sering dilihat oleh mereka dikawasan itu dipanggil dan bersetuju untuk dijodohkan dengan Yang DiPertuan Padang Nunang . Begitulah cerita Yang DiPertuan Padang Nunang yang saya ketahui . Kisah perkahwinannya dengan seorang bangsawan / anak Raja Mandailing saya perolehi dari sumber ayahanda saya sendiri .
( Sehingga sekarang ini masih ada salasilah keturunan Yang DiPertuan Padang Nunang yang mempunyai paras rupa yang tidak menarik dan nampaknya sejarah lama masih berulang kerana keluarga ini walau pun pada hakikatnya adalah waris tahta yang sah tetapi seolah-olah di sisihkan dari menerima hak mereka hanya kerana paras rupanya ) oleh RazakRao
WALLAHUALAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan