Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Khamis, 12 Ogos 2010

Misteri Etnik: ‘Rontak kudo’ penyeri majlis semakin dilupai


oleh Mohd Azis Ngah
Berita Harian
2010/08/11

TRADISINYA menarik dan menghiburkan, tetapi kini hampir pupus ditelan zaman. Jika dulu, setiap kali musim kenduri kahwin, musim menuai padi pasti meriah dengan pesta berbalas pantun yang dinamakan ‘rontak kudo’.

Irama tradisional ini boleh diibaratkan sebagai satu luahan rasa, luahan hati yang menggambarkan kegembiraan, kesedihan, keseronokan, suatu pencarian, perasaan orang berkasih yang diluahkan secara terbuka di tempat keramaian.

Lebih menarik, ia bukan hanya membabitkan dua pasangan yang berbalas pantun, tetapi turut membabitkan hadirin yang hadir, sekali gus memeriahkan lagi suasana.

Bak kata Sabariah Tansali, 77, dari Kampung Tekah Baru, Gopeng, adat itu kadang kala berlarutan hingga tiga jam sehinggalah tiba ke acara kemuncak sama ada majlis persandingan atau pun pesta menuai padi yang sering dilakukan secara gotong-royong.

“Orang dulu dulu, suka mengusik untuk berseronok. Kadang kala pengantin pun kena usik, biasalah pengantin baru, ramai yang nak mengusik. Itu sebenarnya akan merapatkan hubungan kerana yang datang kenduri pun orang kampung itu juga.

“Zaman dulu, setiap kali musim menuai atau pesta kenduri kahwin, mesti meriah dengan acara berpantun. Itu sebenarnya satu tarikan membuatkan ramai orang kampung hadir. Selepas penat membantu kenduri, sebelah malamnya pasti meriah dengan pesta pantun,” katanya.

Bidan kampung ini turut mendendangkan pantun pengantin yang sering digunakan ketika adat bertandang ke rumah pengantin perempuan selepas nikah. Biasanya ia digunakan untuk mengusik pengantin lelaki.

Nak dulang, dulangnya padi,
pucuk semali, semali muda,
nak pulang kami lagi,
besok lagi ke mari pula.

Jangan terdulang dulang saja,
boreka di mana dihentakkan,
jangan terpulang-pulang saja,
adik di mana diletakkan.


Pantun ini menceritakan pengantin lelaki akan pulang ke rumahnya selepas majlis pernikahan dan akan datang semula keesokannya harinya, tetapi risau di mana pengantin wanita berada.

Bahkan, kanak-kanak juga pandai berpantun bagi menggambarkan perasaan mereka, misalnya pantun ibu garang yang risau dimarahi ibu mereka.

Idak kami nak mandi lagi,
karang batu tertangkup,
idak kami ke mari lagi,
emak garang kami takut.


Bagi pasangan yang sedang bercinta atau pun yang sudah berkahwin, mereka pula lebih menjurus kepada pantun kasih yang menggambarkan perasaan mereka kepada pasangan masing-masing:

Dulu loyang sekarang besi,
tukang di mana tuan tampalkan,
dulu sayang sekarang dah bonci,
sayang ke mana tuan ubahkan’.

Mangkuk tetap berisi dadih,
anak lembu dua sekandang,
dulu tak cukup sekarang tak abis,
sudah jemu mata memandang.


Waris Hulubalang Ali, Khalip Yaacup, 63, pula memberikan pandangan berbeza dengan mengatakan rentak kudo hanya dimainkan ketika musim menuai pada masa malam terang.

“Iramanya seumpama bunyi tapak kuda berjalan, sebab itulah dinamakan ‘rontak kudo’. Kebiasaannya apabila habis saja serangkap pantun, orang ramai yang hadir akan menyambutnya dengan selawat ke atas junjungan Nabi beramai-ramai.

“Pesta itu akan diiringi dengan pukulan gendang dan diulang banyak kali dengan pantun yang berlainan. Maksud dan pembayang pantun tidak terikat, boleh gunakan apa saja yang sesuai, asalkan mesej yang disampaikan mudah difahami.

“Ia menceritakan mengenai kisah rakyat, luahan hati orang kampung yang hidup dalam kesusahan. Dengan cara itu, ia akan meringankan beban pemikiran yang lebih banyak tertumpu kepada cara bagaimana nak tambah rezeki,” katanya.

Khalip sempat mendendangkan dua rangkap pantun dengan penuh bersemangat bagi menggambarkan bagaimana keturunannya dulu meluahkan rasa hati melalui berpantun.

Tak tuntung kelamai jagung,
gundak gundak tabong bosi,
mengapo uci duduk termenong,
uncang kaduk tidak berisi.

Rusilan pergi ke nasa,
tercicir pulak umpih nasinya,
setahun padang terbakar,
tidak nampak sayang asap apinya.


Walaupun wujud perbezaan, ia terlalu kecil kerana paling penting tradisi itu sebenarnya menggambarkan budaya orang Rao yang gemar berhibur dengan cara berpantun untuk meluahkan rasa hati dan kegembiraan mereka meraikan sesuatu.

Namun, agak menyedihkan kerana tidak ramai generasi muda ketika ini yang tahu bagaimana untuk memainkan tradisi ‘rentak kudo’ bagi memastikan pusaka moyang mereka ini dapat diteruskan dan tidak pupus ditelan zaman.

1 ulasan:

  1. Assalammualaikum,

    Saya amat tertarik hati dengan artikel yang ditulis tentang adat keturunan orang Rawa.Emak & Ayah saya berasal dari Gopeng tetapi kami di besarkan di Kuala Lumpur.Sejak dari kecil lagi
    kami menggunakan bahasa Rawa hinggalah sekarang.Tetapi adat keturunan orang Rawa ni kemungkinan akan hilang jika tidak diterapkan pada anak-anak.Maklumlah pada zaman dahulu kebiasaan keturunan orang Rawa kampungnya didearah tertentu seperti di sikitar Gopeng,Kampar,Bidor,Tapah dan Tanjung Malim.Pastinya jika berkahwin masih jodohnya serumpun dengan keturunan Rawa.Tetapi zaman sekarang ni ramai yang merantau & jodohnya
    bukan serumpun keturunan Rawa.Kemungkinan besar adat-adat orang-orang Rawa ini tinggal kenangan dalam coretan sahaja.Contohnya semasa saya masih kecil lagi,bila ada majalis perkahwinan pastinya ada pesta "sirom air"(menyimbah air pada pengantin sewaktu majalis makan beradap selesai.Tak kira tetamu kesemuanya basah kuyup.(kemungikanan besar semua yang hadir pada majalis itu semuanya serumpun) maksudnya semuanya berketurunan Rawa.Seronak juga , jika difikirkan kerana dapat mengiratkan silraturohim. Kemungkinan besar pada zaman sekarang ni tidak ada lagi melakukan adat seperti itu semuanya telah merantau.Jika difikirkan suatu hari nanti kemungkinan semua adat keturunan orang Rawa ni hilang.

    ZAKIR

    BalasPadam

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao