Pada 28 April 2010 lalu genaplah 10 tahun Abah dijemput Allah SWT dan sekiranya Abah masih hidup, pada 08 Mei 2010 Abah akan berusia 88 tahun.Aku berasa amat bertuah sekali kerana dapat berkhidmat kepada kedua ibu-bapaku pada tahun-tahun terakhir mereka berada di dunia fana ini. Omak, seorang ibu yang sangat penyayang dan sentiasa tersenyum. Seorang isteri yang sangat menghormati suaminya, tidak pernah berdengus atau membebel dan sentiasa membuatkan suaminya tersengih dengan keletahnya. Satu insiden yang sangat lucu ialah ketika sarapan pagi, Abah meminta sudu yang kedudukannya lebih dekat dengan Abah dari Omak.
Dialognya kira-kira berbunyi begini ... "Som, bak sudu", Omak yang sedang membasuh pinggan menjawab " Mano kuak sudu tu, sudu oo sudu mano tang kawu" sambil membuka laci dan memberikannya pada suami tercinta. Abah bertanya "mengapo kawu ?", jawab Omak "iyo tang pulak, laci tu ken dokek dongen Abah, ambek sang la" dengan gaya selamba. Kedua-duanya tersenyum dan ketawa, pagi yang sangat indah yang penuh dengan kasih sayang. Aku berasa sunggoh seronok melihat keletah mereka dan pilu mengenangkan isteri kesayanganku masih berada di Kuala Lumpur kerana belum diluluskan permintaannya untuk bertukar ke Pulau Pinang. Omak memang suka berseloroh, lagi satu insiden yang paling lucu ketika Abah meminta "Palsweet" sejenis pemanis untuk pengidap diabetes. "Som bak palsweet", Omak datang kesisi Abah dengan ketawa dan menepuk punggongnya sambil berkata "nah posuiet (punggong)" memang cukup geli hati sehinggakan Abah tidak dapat berkata apa-apa. Begitulah mesranya mereka berdua.Omak kembali ke Rahmatullah pada bulan November 1994. Abah sangat tenang tetapi kesedihan terbayang di wajahnya. Bermula dari saat itu, aku sentiasa berada di sisinya dan memberikan yang terbaik kepadanya.
Di peringkat awal pemergian Omak tersayang, aku bertanggungjawab menyediakan makan minumnya dan juga keperluan lain. Apabila ada kelapangan, adikku Ratna Huda yang pada waktu itu tinggal di Butterworth akan datang membawa makanan yang dimasaknya dari rumah, Abah makan dengan penuh selera. Ratna juga akan membawa pulang kain-baju untuk dicuci. Pada bulan Ramadan, setelah pulang dari pejabat, aku akan membawa Abah ke Butterworth pula. Kami akan berbuka puasa, berterawih dan bersahur di rumah adikku itu dan pulang semula ke rumah di Gelugor, pagi berikutnya. Abah akan tinggal di rumah bersendirian apabila aku ke pejabat sesudah menyuntik insulin dan bersarapan dengannya. Aku akan membeli makanan untuk makan tengah hari bersamanya, balik semula ke pejabat sesudah menyiapkan "syahi" (teh) untuknya. Begitulah juga untuk makan malam. Di masa kesihatannya agak baik, Abah mandi sendiri tapi dengan pengawasanku. Abah tidak pernah merungut atau komen tentang makanan yang ku bawa balik, Abah selalunya makan dengan berselera. Aku akan sentiasa membeli makanan kegemaran yang di pesannya.
Suatu ketika Abah pernah berkata padaku, "Kawu penyabar macam Omak kawu, sebab itulah Allah kirimkan kawu untuk menjago Abah". Rasa sangat terharu sekali mendengar kata-katanya itu.Tapi Abah tidak selalu kesunyian kerana anak-anaknya akan sentiasa datang bergilir-gilir pada setiap hujung minggu atau aku akan membawanya bersama ke Kuala Lumpur untuk bertemu isteri yang sentiasa aku rindui. Biasanya Abah akan tinggal bersama kakak/adik sehingga aku datang semula untuk mengambilnya. Setiap hari akan ramailah yang datang ke rumah yang didiaminya itu, kebiasaannya Abah akan tinggal di rumah kakakku Zurina atau adikku Widad. Selalunya dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, Abah akan singgah ke rumah kakakku Afifah di Ipoh dan kebiasaannya akan bermalam di sana. Suatu waktu, ketika aku baru sampai dari Pulau Pinang untuk bersama-sama menyambut hari lahirnya di Kuala Lumpur, Abah memelukku dengan erat dan aku dapat merasakan kerinduannya kerana agak lama juga Abah tinggal di KL, Allah sahaja yang mengetahui betapa sebaknya hatiku di saat itu. Adikku Widad kemudiannya mengambil keputusan untuk berpindah ke Pulau Pinang bersama keluarga. Widad memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Abah. Alhamdulillah makan- minum, kain-baju terurus dengan baik sekali.
Abah paling gembira kalau anak menantu dan cucu-cucu berkumpul. Kami sentiasa berkumpul di rumahnya atau rumah anak-anaknya. Solat Maghrib berjemaah menjadi agenda utama dan disusuli pula dengan tazkirah oleh Abah. Makan malam biasanya Abah akan belanja makan di luar dan sudah semestinya kami akan menjadi tumpuan kerana jumlah yang ramai. Apabila membayar Abah akan berkata 'Credit card tak ada, Bank Negara card ada (tunai)". Abah mengajar kami makan berjemaah kerana keluarga lebih berkat makan bersama dan mestilah berpakaian kemas apabila makan. Katanya instituisi kekeluargaan bermula di meja makan. Di situlah keluarga dapat meluangkan masa bersama dan menceritakan perihal masing-masing. "Ambek apo yang ado di dopen dolu, peragak (ingat) urang di belakang" - itulah kata-kata yang selalu disebut kepada cucu-cucu yang biasanya rakus di meja makan.Selain anak-anak menantu dan cucu-cucu, Abah amat menyayangi adik-adiknya, ipar-duai dan anak-anak saudaranya.
Anak saudara memanggilnya Pak Lang, manakala yang sebelah Omak memanggilnya Pak Ngah. Abah sentiasa pastikan yang anak-anak saudaranya juga dapat merasai apa yang di beri kepada anak-anaknya. Abah akan memilih seorang dari setiap keluarga adik-adiknya dan membawa mereka bersama anak-anaknya. Saat yang paling ditunggu ialah pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha kerana Abah akan memberi duit raya kepada adik-adik dan anak-anak saudara, tak kira sama ada mereka dah berumur atau masih kanak-kanak. Anak-anak saudara akan berseloroh bertanyakan kepadanya berapa Pak Lang akan beri kali ini. Lagi satu tradisi yang diamalkan ialah anak-anak saudara yang lulus peperiksaan besar seperti PMR atau SPM akan diberi imbuhan. Adik perempuannya, Almarhummah Hajjah Jawahir dan Hajjah Kamariah sangat manja dengan abang mereka, Abah akan menyuruh kami menjemput mereka berdua untuk minum petang dan bersembang bersamanya.Kami akan menghantar kedua-dua maciek kesayangan kami itu balik sesudah solat Maghrib berjemaah. Begitu juga dengan kedua-dua adik lelakinya, Almarhum Haji Abdul Majid dan Almarhum Haji Shamsudin, yang kerap menziarahi dan minum petang bersama abang mereka.
Abah juga selalu menziarahi adik isterinya Maciek Norain di Alor Setar, kata Abah "kilen hondak la menyayangi dan menziarahi urang yang omak dan abah kilen sayang".Abah seorang yang sangat sederhana, tapi sangat karismatik. Sentiasa dikagumi kawan dan lawan kerana punya prinsip yang utuh. Tidak heran dengan duniawi ini, Abah akan sentiasa menasihati agar tidak taksub mengejar kebendaan dan sentiasa menghormati kedua ibu-bapa. Katanya " Jangan kejar dunia, biar dunia datang dengan sendirinya. Jangan paksa diri untuk dunia, Allah akan datangkan dunia kepada kita. Yakinlah pada Allah SWT dan yakinlah kepada perjuangan. Jangan menggadaikan maruah dan perjuangan hanya semata-mata untuk dunia. Jangan sekali-kali menyakiti akan kedua ibu-bapa, sayangilah dan hormatilah mereka".
Dengan prinsip inilah Abah sudah mendapatkan apa yang orang lain terkejar-kejar untuk mendapatkannya. Orang mula-mula di carinya apabila ada khabar gembira ialah bondanya. Pernah suatu ketika semasa di tawar jawatan Timbalan Menteri, Abah terus ke rumah bondanya dan mahu mencium kaki bondanya tetapi tidak di benarkan oleh bondanya. Abah akan sentiasa memohon restu bondanya dan seboleh-bolehnya mahu membawa bondanya bersama kemana sahaja Abah pergi. Abah membawa Omak melawat hampir 3/4 dunia, dapat juga membawa bondanya mengerjakan umrah dan melawat Eropah. Aku juga hampir mengikutinya melawat negeri China tetapi disebabkan tanggungjawab yang lain, abangku Usamah menemaninya kesana.Ketika terlalu uzur, Abah berpesan agar dihalalkan akan sesiapa sahaja yang berhutang dengannya kecuali hutang anak-anaknya. Abangku Ahmad Nazrien bertanya kenapa anak-anak wajib membayar hutang mereka sedangkan orang luar tidak?. Abah menjawab " if you can repay debts from your father, than you will not have problem in managing your life", sungguh dalam maksudnya. Bermakna anak-anaknya wajib berpegang teguh kepada janji dan prinsip.
Pada hari Jumaat 28 April 2000, sesudah menunaikan solat Suboh, Abah memanggil anak-anaknya sambil meletakkan tangannya seperti "qiam" dan jarinya mengangkat tanda "syahadah". Abah pulang ke Rahmatullah dengan tenang kira-kira jam 7.15 pagi.Abah, tak tahulah samaada aku dapat menjadi sepertimu. Sungguh kental iman mu dan sungguh cantik pekerti mu. Aku menyimpan janggut seperti mu, setidak-tidaknya ada juga persamaanku dengan mu kerana aku tidak sepintar mu, tidak sehebat mu, tidak sesopan mu dan cetek sungguh ilmu ku.Terima kasih Abah kerana menyanyangi ku, isteriku dan anakku. Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati akan kedua ibu-bapaku dan kedua ibu-bapa mereka - amin.
Catatan oleh Khairi Rawa, Pulau Pinang
Catatan oleh Khairi Rawa, Pulau Pinang
Semoga Nenek tergolong bersama-sama para syuhada'. Amin
BalasPadamBukan nenek tetapi dalam bahasa Rao ninik iaitu atuk
BalasPadamMOKHTAR BIN HJ.AHMAD SABKI BIN HJ. MOHD JOHAR=
BalasPadamsaya amat berbangga dengan ketokohan beliau, kecekalan,keazaman ketabahan dan keintelektualan beliau semoga beliau dirahmati allah dan tergolong dikalangan orang yang mendapat darjat yang tinggi disisi Allahhurabbuljalil.