Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Jumaat, 25 Februari 2011

Pemergian Ilani satu kehilangan besar


''SETAKAT apa yang dapat saya perhatikan, pemimpin dan penganut agama lain tidak begitu memahami dan mengenali agama Islam atau pentadbirannya di Malaysia.

''Bagaimanapun, mereka bukan takut kepada agama ini, meskipun di Barat sentimen Islamophobia itu dimainkan dengan begitu hebat sekali," kata Datuk Ilani Isahak dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia yang disiarkan pada 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama itu meninggal dunia pada usia 57 tahun di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur pada pukul 6.05 pagi semalam.

Jenazah beliau kemudian dibawa ke kediamannya di Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas zohor.

Allahyarham dirawat di hospital berkenaan kerana menghidap barah payu dara yang dialaminya sejak lima tahun lalu.

Ilani yang merupakan anak kelahiran Kelantan, meninggalkan suami, Adam Camille Rustum Mohd. Ibrahim, serta tiga anak lelaki dan seorang perempuan.

Dilahirkan pada 18 Mac 1953 di Kota Bharu, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Zainab 1 di Kelantan dan Kolej Tunku Khursiah di Negeri Sembilan.

Allahyarham kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan mendapat Ijazah dalam bidang undang-undang pada 1976 dan Diploma Kesusasteraan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1992.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang peguam termasuk berkhidmat di firma guaman milik suaminya di Petaling Jaya, Adam & Company.

Selain itu, beliau pernah menjadi Pengarah Yayasan Dermajaya Wanita; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Penglibatan aktif beliau dalam politik bermula apabila dipilih sebagai Exco Pergerakan Wanita UMNO (1980 -1988) dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu (1986-1988).

Bagaimanapun, berikutan krisis dalaman UMNO pada 1988, Allahyarham bersama Tengku Razaleigh Hamzah menyertai Gerakan Hidup Semula UMNO Asal. Pada 1989, gerakan itu telah ditukar nama kepada Parti Melayu Semangat 46 yang menyaksikan beliau dipilih sebagai Ketua Penerangan bagi sayap wanita parti itu.

Ketika pilihan raya umum 1990, beliau yang bertanding di Parlimen Kota Bharu atas tiket Semangat 46 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dengan majoriti 15,460 undi.

Beliau sekali lagi menang di kawasan sama pada pilihan raya umum 1995 dengan mengalahkan calon BN, Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher dengan perbezaan 6,268 undi.

Beliau menyertai semula UMNO pada 1997 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Bharu. Allahyarham juga pernah bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya pada pilihan raya umum 1999 tetapi tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ramli Ibrahim dengan perbezaan 10,206 undi.

Pada 2000, beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan pada 2001, kalah kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh dalam pertandingan merebut jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu.

Beliau juga bergiat aktif dalam persatuan belia dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Kongres Belia Dunia (1985), Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia dan Ahli Lembaga Yayasan Belia Malaysia (1986-1990).

Allahyarham yang merupakan ahli seumur hidup Yayasan Belia Antarabangsa Malaysia juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Belia 4B Kelantan.

Di peringkat antarabangsa, Allahyarham pernah menjadi ahli Kumpulan Pemerhati Komanwel ketika pilihan raya Ghana pada 1996. Beliau juga menjadi wakil tunggal Parlimen Malaysia ke Persidangan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Wanita di Kyrgyzstan (1997) dan Finland (1998).

Allahyarham juga telah menerima Anugerah Belia Malaysia Paling Cemerlang - Jaycess Malaysia and New Straits Times (1986) dan Tokoh Belia Wanita Kelantan (2002). Pada 2009, beliau menerima pingat Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Kerajaan Persekutuan.

Sudah pasti pemergian Allahyarham yang dikenali sebagai seorang yang peramah dan sentiasa berfikiran positif itu satu kehilangan besar kepada rakyat yang berharap wujudnya suasana harmoni di negara berbilang kaum dan agama ini.

Oleh itu, sebagai menghargai sumbangan beliau khususnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama, semua pihak seharusnya mengikut nasihat Presiden Majlis Hindu Malaysia, Datuk R. Nadarajah semalam yang mahukan segala harapan Allahyarham dipenuhi.

Harapan Allahyarham yang sering disebutnya adalah jawatankuasa itu harus bergerak di atas titik persefahaman antara penganut agama ke arah perpaduan dan keharmonian kaum.

Allahyarham juga mahukan Isu-isu yang membabitkan pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan tanah perkuburan diselesaikan secara bijak sesuai dengan konteks Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao