Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Sabtu, 12 Jun 2010

Cerita paip godang di bumi Rao, Gopeng

Apabila ke pekan Gopeng dari kampungku; Jeram, pasti melalui di bawah paip godang - bagi ku ia sesuatu yang penuh misteri. Kemudian ketika aku berumur 8 - 9 tahun, kira kira dalam tahun 1962-1963 acap kali aku menaiki bas tentunya ke pekan Gopeng. Selepas berbelanja di kedai mamak di situ, ayah menyerahkan sampul berisi wang gajinya-yang tak pernah aku buka; untuk diserahkan kepada ibuku.

Sebenarnya, ayahku bokorojo di Osbornne Chappel (bukan Osborne Chopper) seperti tercatat dalam Berita Minggu (m/s 2-3 Bahagian Dua) bertarikh 30 Mei 2010. Aku tertarik rencana itu kerana aku juga adalah sebahagian dari "sejarah paip godang" bahkan umurku hanya tiga tahun lebih muda daripada usia Encik Shaari Ali seorang penduduk Gopeng yang telah ditemuduga oleh penulis Sdr. Aziz Ngah mengenai paip tersebut.

Mengikut ibuku, ayah mula bekerja pada tahun 1959 sebagai "outside labourer" - buruh tugas-tugas berat ketika lahirnya adik perempuanku yang ketiga iaitu pada zaman kesusahan hidup di desa sekitar lembah Kinta. Kebanyakan mencari rezeki sama ada menoreh getah, bersawah padi, berkebun, menangkap ikan (ikan darat), atau jaga serta buruh lombong seperti bapaku.

Ayah bekerja shift di Tekkah setiap 8 jam sehari suntuk. Beliau terpaksa berulang dua kali sehari dari Jeram ke Gopeng, bahkan kadang-kadang beberapa batu ke utara Tekkah. Jika dia masuk kerja jam 7.00 pagi, keluar jam 2.00 petang dengan berbasikal sejauh 20 km pergi dan balik. Kemudian masuk semula shift 7.00 malam sampai pagi! Kalau masuk kerja jam 7.00 pagi, ini bermakna dia mula mengayuh basikal jam 4.30 pagi. Bayangkanlah siksanya mencari makan masa dahulu.

Beberapa tahun kemudian dia bekerja "dalaman" seperti menjaga "monitor-paip" - lombong yang menggunakan sistem Gravel-Pumping. Tugas ayah menembak tanah yang mengandungi bijih timah dan dialirkan melalui "palong" yang terdapat sekatan-sekatan papan yang cerun menyebabkan bijih timah yang lebih berat daripada pasir terkumpul. Kemudian ia dicuci apabila palong itu dihentikan perjalanannya setiap 2-3 hari sekali. Di sini juga "pendulang" - pekerja perempuan yang menggunakan "dulang" iaitu berbentuk kuali yang diperbuat daripada kayu ringan selebar 24 inci. Ia diayak di atas permukaan air ke kiri dan ke kanan - batu-batu halus dan pepasir akan terbuang ketika ayunan ayak dengan meninggalkan bijih timah berwarna biru-kehitaman dan keperangan terkumpul di perut dulang itu.

Aku mengetahui semua ini kerana ketika umur ku sekitar 7-11 tahun kerap bersama ibu, keluarga yang lain "melanda bijih timah" di Sungai Kampar. Malah ibuku dan sebahagian besar wanita di Gopeng-Kampar khususnya daerah Kinta mempunyai lesen melanda - mengusahakan pencarian bijih timah secara kecil-kecilan. Lesen ini dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah daerah Kinta. Sessiapa yang melanda bijih kalau tidak memiliki lesen melanda adalah salah di sisi undang-undang dan boleh ditangkap dan didenda.

Ketika ayahku berkerja di tengah lombong (yang mempunyai sebuah dangau empat persegi selebar 16-20 kaki persegi di bawah kawah ( terpacak di dalam air dan tinggi sekitar 12-18 kaki diperbuat dari kayu bakau dan berdindingkan nipah, berbumbungkan zing). Di sinilah terletaknya monitor-pump berfungsi menyedut alluvial - tanah bercampur lumpur, pasir yang mengandungi bijih timah. Ia disalurkan ke palong.

Paip Godang


Jika monitor ini tenggelam atau tersumbat kayu - ayahku terpaksa menyelam untuk membetulkannya. Ia amat membahaya kerana jika tersilap langkah, tangan atau kaki boleh "disedut" monitor itu dan jika switch motor tidak dimatikan segera nescaya kuasa motor itu berupaya menyedut mangsa ke dalam perutnya.

Keluargaku selalu di rundung bimbang apabila hujan lebat kerana khuatir dangau monitor pump runtuh atau tenggelam menyebabkan ayah dalam bahaya. Begitulah ayahku menyabung nyawa untuk sesuap nasi buat keluarganya. Sungguhpun begitu berapa sangatlah dia dapat.; gajinya RM 360.00 sebulan - itu pun kalau kerja "penuh kong" dan ditambah dengan "overtime sebanyak RM 12.00 sehari.

Sekitar 1985 - selepas 25 tahun bertungkus lumus dia berhenti kerja dan mendapat imbuhan KWSP sekitar RM14,000.00 - membolehkan kami membina "teratak selesa" dua tingkat di Desa Jeram berharga sejumlah RM 22,000.00 dengan dibantu oleh anak-anaknya iaitu aku (bertugas di Pejabat Pembasmi Malaria-Kesihatan mulai 1980, adik lelakiku sebagai mekanik Kapal terbang diTUDM Kinrara dan adik perempuan yang telah bekerja Jabatan Telekom Ipoh/Taiping.

Kembali kepada paip godang yang membuat aku begitu teruja. Seperti yang diceritakan di dalam Berita Minggu 30 mei 2010 itu - di sebelah atas kawasan jalan raya itu terdapat kuarters pekerja Osbornne chappel (mereka dibekalkan air minuman melalui paip ini), terdapat lapangan "wayang Pacak". Seingatku, setiap malam minggu - aku dan kawan-kawan sering mengayuh basikal ke sini dari kampong - hanya untuk menonton wayang "percuma"- biasanya cerita "koboi" - mungkin lakonan "Clive Robertson" agak ku. Juga cerita cerita "orang kuat'- Hercules dan pengembaraan Jason. Disebabkan keseronokan menonton wayang tersebut - kami tiada terasa keletihan mengayuh basikal pergi dan balik sejauh 20 km.

Menurut cerita ayahku, antara 60-70 persen pendudok lelaki di kawasan Gopeng adalah keturunan Rao (Rawa). Kebanyakan mereka bekerja sebagai pekerja Osbornne And Chappe Gopeng. Orang Rao sinonim dengan Osbornne Chappel ini! Pergaulan ayahku amat intim dengan orang Rao - setiap Hari Raya beliau dihadiahkan "Kelamai" oleh sahabatnya seperi Allahyarham Pak Ali seorang ketua kampung, dan Idham orang Sindu. Mereka mengenali ayahku "Usop yang kayuh basikal dari Jeram, Gunung Panjang, Gunung Mesah, Lawan Kuda, Gopeng dan Tekkah setiap hari" (1950 - 1985)!

oleh Anuar M. Yusof (Karyawan Pk)
(Anak buruh lombong Osbornne Chappel (Kg.Jeram)
5.6.2
010

5 ulasan:

  1. Kalo tak ade paip gedang tu harus aku tak cam pekan Gopeng

    BalasPadam
  2. Unyang Tambi ku rumahnyo dokek amat amek dongen paip godang. Maso kocik2 dolu bilo arwah uci bawak aku ke Gopeng poie rumah unyang tu aku selalu main di bah pain. ado bahagien yang menitik dibuekken kolah di bawahnyo..

    BalasPadam
  3. Ayah saya selalu cerita mengenai nenek saya yang bekerja di kapal2 melombong.

    Sama ceritanya naik basikal berulang alik ke tempat kerja. Orang2 Gopeng panggil Pak Koled.

    Saja nak share di sini.

    BalasPadam
  4. Ada kemungkinan ayah tuan ini kenal kpd datuk saya Hashim Hj Jaafar dari Gunung Mendah. Beliau berhijrah ke Sg Tua, Selangor sekitar 1930an. Penah bekerja di kapal korek di Kampar sekitar 1920-30an. Mohon hubungi saya, Zaihan Othman (jaiothman@yahoo.com)

    BalasPadam
  5. Terima Kasih Sdr Sdr respond tentang Penuulisan Saya -Tentang Paip Godang di Bumi Rao/Rawa Gopeng:
    Sila berhubung dengan saya - buat Masa ini bertugas diPejabat Kesihatan Daerah Kampar,D/a KK Kampar Jalan Degong,31900 Kampar

    Anuar Mohd. Yusof@ anuaryusof04@yahoo.com @ 013 4230215

    BalasPadam

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao