Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Jumaat, 26 Februari 2010

Berjalan-jalan di Lumut, Perak






Jumaaat hari ini, 26 Februari 2010 aku melewati Pekan Lumut yang telah lama ditinggalkan. Lumut, suatu ketika dahulu termasuk dalam jajahan Dindings. Jajahan ini pula dibuka oleh Nakhoda Mohd. Taib, orang Batu Bara dari tanah seberang. Nakhoda Mohd Taib pernah memerintah sebuah kerajaan Melayu Kuala Sepit, kini terletak di pesisir Selat Dindings, menganjur jauh sedikit dari Jeti Lumut sekarang.

Nakhoda Taib terkenal sebagai ahli perniagaan dan pelayaran di samping seorang perwira yang memiliki sebilah keris sakti bernama helang menyambar yang ditakuti musuh. Dia juga mempunyai kenderaan air khas yang digelar lancang kuning lengkap dengan sebuah gong tetawak dan sebatang tongkat; semambu bangkut.

Jajahan Dindings kini dikenali sebagai daerah Manjung dan Lumut pula diistiharkan sebagai bandar pelancongan dan miritim pada tahun 2009 oleh Sultan Perak.

__________
nota: Loghat suku Batu Bara hampir serupa dengan Rao. Ada sebuah kampung di daerah Manjung bernama Kg. 40 Rantai, kira-kira 10 km dari Ayer Tawar, Perak sebilangan besar penduduknya berketurunan Batu Bara. Pergilah ke sana anda akan "terpedaya" lalu mengatakan bahawa bahasa pertuturan mereka adalah dialek Rao tetapi jika diamat-amati ia bukan Rao sebaliknya Batu Bara.




Isnin, 22 Februari 2010

Berjalan-jalan di Batu Masjid, Temoh, Perak







Ahad 21 Februari 2010, aku berjalan-jalan di Kg Batu Masjid, Temoh yang terletak kira-kira 45km dari Ipoh. Bersua dan bergebang dengan kawan-kawan lama seraya melewati bekas Sungai Pak Ji yang mengimbau banyak kisah silam. Sungai itu banyak menyimpan peristiwa suka dan duka. Kisah di zaman kanak-kanak berlumba-lumba terjun dari tebing, kemudian berenang ke hilir. Apabila hujan petang, air sungai itu membuak dan melimpah ke tebing dengan membawa beberapa ekor ikan malih, putih dan terobol ke sebuah paya. Aku sempat menggagau untuk lauk makan malam.

Sungai Pak Ji menjalar dan menghilir berliku-liku dari Kg. Batu 3 Temoh, melewati Kg.Tanah Seribu dan Kg Terendam ke Ayer Kuning. Jernih dan bening, jika tidak hujan di hulu atau dikocak budak-budak. Musim panas begini, airnya dingin dan menyejukkan badan jikalau berendam. Di tahun-tahun pra merdeka hingga pertengahan 60-an, di sini lah anak-anak Batu Masjid membasuh pakaian, mandi-manda hatta mengambil wuduk. Sungai ini bagaikan denyut nadi mereka. Sungai ini bagaikan penyambung kasih teruna dara. Sungai ini adalah nikmat dari Tuhan!

Namun kini ia tidak lagi berdenyut dan bernadi. Dia sudah lama mati. Airnya tidak lagi mengalir tetapi hanya berlompak kekeringan. Sungai Pak Ji sudah hilang entah ke mana. Aku telah berpuluh tahun meninggalkan sungai ini semenjak peristiwa kakakku (berusia 6 tahun) tersembam di tebingnya. Dia terbunuh dihentak sepohon kayu yang patah tengah. Kejadian itu berlaku pada tengah hari dan aku sama-samanya memanjat tebing cuba melarikan diri apabila tiba-tiba terdengar bunyi rak, rak, rak!. Kakak tidak sempat ke daratan apabila pohon kayu yang patah tengah itu menghempap kepalanya. Darah merah tersembur dan merecik membasahi seluruh tubuh yang terbujur kaku. Uwah (emak saudara) yang sedang membasuh kain di sebelah tebing sana, berlari sambil menjerit minta tolong. Sekelip mata ramai anak-anak Kg Tanah Seribu mengerumuni tebing Sungai Pak Ji. Peristiwa hitam ini masih melekat di benak dan di mataku. Masih terbayang di ruang mata.

Pada tahun 1964, kami sekeluarga pindah jauh dari Sungai Pak Ji tetapi masih di Kg. Batu Masjid juga. Sungai itu dengan perlahan dan amat perlahan kami lupakan. Tidak juga kami, anak-anak Batu Masjid pun begitu. Peristiwa hitam itu semakin dilupakan kerana orang-orang tua sudah ramai yang meninggal dunia, namun sejarah tidak pernah mati. Sejarah akan hidup sampai bila-bila dan mekar di langit zaman.

Hari ini aku melewati sejarah itu. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Acap kali juga kenangan lalu itu mengusik ketenangan hati ini!

__________
nota: Kg Batu Masjid mendapat nama berasaskan jumpaan batu besar yang menyerupai sebuah masjid. Ia dibuka pada tahun 1885 Masehi oleh sekumpulan orang tanah seberang di kalangan orang-orang Rao, Sumatera Barat yang diketuai oleh Lebai Tenggam. Sila rujuk buku Batu Masjid untuk keterangan lanjut. Foto di atas adalah batu yang dikatakan menyerupai sebuah masjid ketika dijumpai lebih seratus tahun yang silam.



Khamis, 18 Februari 2010

Berjalan-jalan di Gunung Mesah, Gopeng, Perak
















Hari ini, 18 Februari 2010 aku berjalan-jalan di Kg. Gunung Mesah Hulu sambil minum-minum di gerai dan bergebang dengan orang di situ. Banyak cerita yang diperolehi. Kata mereka, Kg Gunung Mesah dibuka oleh orang Rao dari tanah seberang kira-kira pada tahun 1800-an yang silam. Kg ini mendapat nama berdasarkan kisah seorang penduduk bernama Mesah hilang di sebuah gua di kampung itu. Gua ini berada di kaki Gunung Mesah (foto) yang terletak di pinggir 21 KM Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.
Pelik gunung ini kerana di atas lerengnya berdiri megah sebatang pokok mempelam yang acap kali juga berbuah!

Kampung ini termasuk Kg-kg berdekatan; Jahang, Sg. Itik, Gunung Mesah Hilir, Kg. Pulai dan sebagainya adalah "lubuk Rao" yang masih tulen mengamalkan budaya, adat resam serta loghat Rao. Dirgahayu Raoku!

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao