Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Isnin, 14 September 2009

KEMULIAAN AIDILFITRI DALAM BAIT PUISI


Pada satu Syawal tahun hijrah, agenda tahunan umat Islam ialah menyambut kedatangan Aidilfitri, hari kebesaran dan kegembiraan, setelah berupaya menunaikan ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dengan mampu menepis gelodak hawa nafsu tajaan syaitan.

Kemenengan inilah yang dirayakan pada hari itu dengan penuh rasa keinsafan, kaum muslim akan saling bermaaf-maafan di pagi lebaran dan berpusu-pusu pula ke masjid dan surau menunaikan solat sunat Aidilfitri. Berkumandanglah di segenap ceruk lafaz takbir memuji-muji Ilahi:

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji-pujian untuk Allah. Allah Maha Besar Teramat Besar. Segala puji-pujian untuk-Nya sebanyak-banyaknya. Maha Suci Allah dari pagi hingga petang. Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada lagi yang berhak disembah melainkan Dia dengan hati yang ikhlas mengerjakan agama untuk-Nya sekalipun orang-orang kafir membencinya.

Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Janji-Nya sentiasa benar. Dia selalu menolong hamba-Nya. Allah sentiasa memuliakan pejuang-Nya dan menaklukkan pasukan musuh dengan zat-Nya sendiri.

Umat Islam bertakbir membesarkan nama Allah s.w.t kerana Dialah yang memberi petunjuk kepada kita sehingga dapat melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Inilah pengucapan syukur kepada-Nya. Justeru sepotong hadis riwayat Abu Nu’aim dan Anas menganjurkan kita bertakbir di hari raya: Hiasilah dua hari raya (Aidilfitri dan Adha) kamu dengan membaca tahlil, takbir, tahmid dan taqdis.

Demikian anjuran agama Islam yang maha suci dalam merayakan Aidilfitri atau Aiduladha. Pun begitu bagi penyair, kekudusan satu Syawal Berjaya mengugah kotak fikir mereka. Pada setiap agenda tahunan itu menjelang tiba, garapan bait-bait puisi mendapat tempat di hati mereka. Kepuitisan bahasa puisi adakala boleh mengusik jiwa di pagi raya apatah lagi ketika keseorangan di perauntauan walaupun ia tidak sehebat lagu-lagu raya.

Hakikatnya, lagu-lagu raya dapat dinikmati dengan melodi serta suara penyanyi di samping menghayati lirik yang boleh memukau pendengar. Umpamanya, Musafir di Aidilfitri dendangan gemulah S Jibeng menjadi evergreen sehinga kini.

Namun demikian, penghasilan puisi lebih merupakan produksi yang mementingkan daya ingatan dan intelek dan penghayatan jitu tanpa menelurkan ciri glamour seperti lagu.

Puisi Aidilfitri lebih merupakan rakaman pengalaman, perasaan dan khayalan penyair. Misalnya, puisi Adi Badiozaman Tuah berjudul Salam Aidilfitri yang termuat dalam kumpulan puisi Nafas Kemanusiaan (DBP:8) merakamkan kehadiran satu Syawal yang syahdu di Miri, Sarawak.

Kedatangan Syawal telah menggamit hati Adi Badiozaman Tuah untuk bermaaf-maafan dengan sanak saudara dan rakan taulan serta mengeratkan lagi tali silaturrahim di samping memahatkan ke hati perasaan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. Hayatilah puisi itu sepenuhnya:

bersama azan di hujung minaret
sayup dan syahdu
mengembang kepak syawal
kutebarkan rimbunan doa maaf
kemesraan sezaman dalam ucap selamat
setia jujur ikhlas budi
dalam member dan menerima
memang semanis semulia ini
kita pahatkan di hati
rasa kecintaan sejagat

-Miri, 1974

Berbeza dengan Adi, penyair Cheng Poh Hock yang telah memeluk agama Islam menyifatkan kedatangan Syawal menawarkan keadaan keterasingan pada dirinya dalam kelompok masyarakat Muslim yang baru digaulinya. Perasaan yang berjauhan dengan ibunya serta sahabat begitu dirasakan. Lihat puisi beliau berjudul Aidilfitri 1396 (Nafas Kemanusiaan:41) merakamkan seperti berikut:

Syawal menghiasi dada pagimu: Pagiku
aku jauh dari sahabat
juga berjauhan dengan seorang mama,seorang Min
dan asing bagi kebudayaan lain
kumiliki situasi ini, kekasih
betapa seksanya
kutelan diri

Namun sebagai seorang Islam dia tetap tabahkan diri dan memberi senyum pada mereka yang mengucapkan Selamat Hari Raya kepadanya. Seperti katanya:

Aku masih tersenyum
bila manusia-manusiamu di daerah asing
mengucapkan padaku:
“selamat hari raya aidilfitri!”

Begitulah pengalaman Cheng Poh Hock atau nama Islamnya Muhamad Yusri Cheng, penyair dari Perlis ini ketika merayakan hari lebaran buat pertama kalinya setelah dia menerima hidayah Allah s.w.t.

Manakala Nawawee Mohammad menyatakan kesyukurannya pada setiap kali bulan Syawal tiba. Dalam puisinya, Aidilfitri (Utusan Zaman, 5.10.1975) dia berkata:

Setiap hilal Syawal
adalah kesekian kali
tafakur dan bersyukur
erti segantang fitrah
mengakhiri musafir suci
oleh Ramadan Mubarak

Perasaan kesyukurannya ke hadrat Allah s.w.t bertolak dari kemampuannya menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan. Bayangkanlah ibadah yang menuntut seseorang itu berlapar dan dahaga dari waktu imsak sehingga waktu berbuka dengan disulami ibadah-ibadah lainya merupakan suatu kemenangan jika dapat dilakukan sepenuhnya. Bagi Nawawee, kesempurnaan itu tertunai sudah.

Begitupun, kadangkala hari raya disambut dengan duka nestapa. Kehibaan bersarang di dada lebih-lebih lagi berpulangnya ke alam baqa orang kita sayangi. Lantaran itulah penyair Jafri BN dari Kerian, Perak menasihatkan seseorang dalam puisi berjudul Aidilfitri (lihat Mingguan Timur, 3.10.1976 bersamaan 9 Syawal 1396) berkata:

Dan Aidilfitri menjenguk lagi
dengan takbir dan tahmid
adalah silaturrahim
yang kejap,
di sinipun jangan biarkan dukamu melara
hentikan airmata di pipi
yang berjujus
atas kehilangan sastriamu

Tema kesedihan dalam puisi Aidilfitri memang tidak lepas daripada garapan penyair kerana kebanyakan mereka pernah mengalami keadaan itu. Badarudin MZ menulis puisi bertajuk Aidilfitri dalam Mingguan Timur edisi 11.9.1977 bersamaan 27 Ramadan 1397. Dia mengeluh:

Maharinduku di pagi mulia ini
pada ibu
yang bernama aku
si anak piatu.

Kesimpulannya, puisi Aidilfitri memancarkan sikap positif penyair terhadap kemunculan satu Syawal dengan memberi harapan baru dalam memperbaharui azam bagi menangani masalah peribadi, agama mahupun isu antarabangsa. “Selamat Hari Raya Aidilfiri, maaf zahir batin,” kata-kata puitis berusia berabad-abad itu dikira dapat menyimpulkan topik ini – Zabidin Hj Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao