Foto:
Pembentang Kertas, Pemimpin JARO, Pegawai-pegawai
UPSI, DBP Wilayah Timur dan JKKN Pahang
Oleh
Zabidin Hj Ismail
Pengenalan
Asal-usul orang Rao ialah dari Champa.
Mereka adalah suku bangsa Lubu atau ras Mongolite yang menyeberang ke Sumatera dalam dua gelombang iaitu;
i.
Pada abad
ke-2Masihi yang mendarat di muara Sungai Batang Toru terus bergerak ke pedalaman
Sumatera seperti Sipirok, Padang Lawas dan Tapsel[1].
ii.
Pada
abad ke-6 Masihi yang datang melalui Selat Melaka masuk ke muara Sungai Rokan
atau Sumpu, kemudian mudik dan mendarat suatu tempat yang dinamakan Lubuk
Godang.
Di Lubuk Godang atau Ranjau Batu
(Kecamatan Mapat Tunggul pecahan dari kecamatan Rao), suku Lubu membuka kampung dan ladang. Ketika
meneroka belantara, mereka bertemu dengan orang asli yang tinggal di pedalaman Sumatera
yang disebut sebagai suku Leco. Suku primitif
ini belum mengenal pakaian dan makanan bermasak. Bentuk tubuhnya rendah;
tidak lebih dari satu meter tetapi mengikut keterangan masyarakat setempat, mereka sangat kuat dan dapat membalik-balikkan
batu-batu yang besar melebihi saiz tubuhnya. Suku Leco hidup berkelompok dan
berpindah-randah di serata Pasaman Barat, Madina, Pasir Pongoraian, Rokan, Jambi dan tempat lain di pedalaman Sumatera.
Ada
juga pendapat mengatakan bahawa Mandailing di Sumatera Utara pun berasal
dari suku Lubu. Hal ini bersandarkan
teori yang mengatakan suku Lubu sampai ke Sipirok dan Padang Lawas dan mereka
menamakan daerah tersebut dengan nama Mandailing dan Koto Pungkut yang akhirnya berubah menjadi Huta Pungkut.
Ini
bererti orang Mandailing, Sipirok, Padang Lawas dan sekitarnya bukanlah berasal
dari Batak seperti dakwaan umum sebaliknya adalah suku Lubu. Hal ini berpadanan
dengan sejarah Kerajaan Haru dan Panai bahawa kedua kerajaan ini disebut
kerajaan Melayu bukan kerajaan Batak. Apatah lagi kerajaan ini menggunakan
bahasa Melayu yang seakan-akan bahasa Rao.
Kenyataan
ini diperkukuhkan dengan penghijrahan sebahagian suku Lubu di Rao ke Sumatera
Utara mencari tanah subur melewati Mandailing, Sipirok dan Padang Lawas bertujuan
untuk bertani. Justeru suku Lubu yang sampai ke situ pada abad ke- 2 bergabung
dengan suku Lubu yang datang dari Rao dan akhirnya mereka bergerak ke Aceh
melalui pantai timur Sumatera kecuali daerah Tapanuli Utara yang telah sedia didiami
oleh orang Batak dan daerah Aceh Gayo
yang didiami oleh orang Batak Gayo.
Pergerakan suku Lubu ke arah
selatan pula melalui Agam, Tanah Datar, Painan, Jambi, Bengkulu kecuali daerah
Danau Rangau yang terlebih dahulu didiami oleh bangsa Batak Rangau. Manakala ke
arah timur mereka sampai ke Rokan, Dalu-dalu, Pasir Pongoraian, Pantai Timur
dan Kepulauan Riau serta ke arah barat pula, mereka sampai ke pesisir pantai
barat seperti Air Bangis, Natal, Sibolga, Barus dan Singkil.
Demikianlah bentuk pergerakan
suku Lubu di Sumatera. Di Rao keberadaan mereka lebih dominan dan menyerlah
dengan terbukti banyak nama tempat berasal daripada perkataan “lubu” seperti
Lubuk Godang, Lubuk Layang, Lubuk Sikaping dan sebagainya di samping kewujudan
candi atau artifak di Padang Nunang,
Tanjong Medan dan di Koto Rao.
Lokasi strategik
Rao terletak di jantung Sumatera. Ia
dahulu kala dikenali sebagai daerah yang menghasilkan emas[2],
beras, kerbau, kopi dan rempah menyebabkan para pedagang dari India, Arab,
China dan Indo China datang ke Rao
melalui Sungai Rokan atau Sungai Sumpu untuk berniaga dan bertukar-tukar
barangan.
Melalui
perdagangan ini, Islam masuk ke bumi Rao pada awal abad ke-15 oleh pedagang
dari Melaka dan Aceh. Saudagar-saudagar ini datang ke Rao untuk berniaga kain,
permaidani, porselen, minyak wangi dan lain-lain, sedangkan dari Rao mereka
membeli emas, beras, kerbau, kopi dan rempah untuk dibawa pulang.
Pedagang
dari Melaka masuk ke Rao melalui Bagan Siapi-api (Riau) mudik Sungai Rokan lalu
ke Choronting, manakala pedagang dari Aceh
masuk ke Rao melalui pelabuhan Katiagan di pantai barat Sumatera. Dari Katiagan
mereka ke Kinali, Ladang Panjang, Kumpulan, Bonjol, Lubuk Sikaping, Panti terus
ke Rao.
Menurut
orang tua-tua, dahulu kala Kota Rao bernama Kota Tinggi terletak di empat
persimpangan jalan iaitu ke Sumatera
Utara, ke Air Bangis, ke Riau dan ke Agam. Manakala Lembah Rao pula mempunyai penduduk
ramai sekali kerana ia merupakan pusat perdagangan dan perkembangan agama Islam[3].
Apabila
Melaka ditewaskan oleh Portugis di bawah pimpinan Alfonso De Albuquerque pada
tahun 1511, para pedagang Islam mengalih perdagangan ke Teluk Banten kerana enggan
berniaga dengan orang Eropah. Namun
demikian, kapal-kapal dagang mereka selalu dihalang dan dipaksa ke Melaka
tetapi secara bersembunyi mereka berdagang pula di pantai barat Sumatera.
Bagi menjaga keamanan di
pantai barat Sumatera, Kerajaan Aceh meletakkan armadanya berkawal dan
mengawasi kawasan perdagangan itu. Akhirnya pada awal abad ke-19 sebahagian
Pasaman dikuasai oleh Kerajaan Aceh. Serentak dengan itu, Islam berkembang
pesat di Rao termasuk dengan kemunculan ulama-ulama tariqat dengan berbagai
aliran seperti satari, zamani dan Naqsyabandiah. Semenjak itu, kegiatan bersuluk atau berkhalwat kian
berkembang sehingga ke hari ini.
Asal Nama Rao
Letnan
H. Bahar, Pengkaji Sejarah Rao yang berasal dari Ton-Toruang berpendapat bahawa
nama Rao berasal daripada bahasa Lubu iaitu
manggarao yang bererti
bertelanjang. Mitos kemunculan perkataan manggarao
ini dikatakan sewaktu suku Lubu mendarat
di Lubuk Godang mereka ternampak orang asal kepulauan Sumatera yang dikenali
sebagai suku Leco bertelanjang bulat
sedang menangkap (mengalah) ikan di Sungai Sumpu. Lantas orang Lubu menamakan
suku Leco itu sebagai orang Manggarao dan kawasan yang mereka terokai digelar
pula sebagai daerah Manggarao. Perkataan Manggarao ini lama kelamaan berubah
akibat peredaran zaman dan akhirnya dipendekkan menjadi Rao.
Rao atau Rawa
Istilah Rawa
merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu yang berasal dari daerah Rao di Sumatera. Perkataan Rawa
hanya popular di Makkah dan Malaysia. Ia kurang dikenali di Rao. Wan Mohd
Shaghir Abdullah (Utusan Malaysia:
19.3.2007) berpendapat bahawa istilah Rawa
di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin ar-Rawi yang mengasaskan
syarikat percetakan dan penerbit Persama Press
tahun 1921 di Lebuh Aceh, Pulau Pinang. Anak beliau bernama Haji Yusuf bin
Abdullah tersohor dengan gelaran Yusuf
Rawa (1922-2000) yang pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebagai duta ke Iran, Iraq, Afghanistan dan Turki.
Pada asalnya disebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang
bermaksud dibangsakan kepada ”Rao” tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan asal seseorang
itu iaitu dari Negeri Rao di Sumatera Barat. Namun demikian, tidak terdapat
dalam sejarah yang menceritakan orang-orang Rawa yang menuntut atau menetap di
lain-lain negeri atau negara menggunakan perkataan Rawa atau Rawi
dicantumkan pada akhiran nama mereka.
Penggunaannya juga dianggarkan
bermula di sekitar awal abad ke-19 khususnya sewaktu aktiviti pengajian Islam
sedang berkembang pesat di Makkah. Juga tidak dapat dipastikan penggunaan ar-Rawa pada akhir nama seseorang itu bermula
di Tanah Melayu atau Makkah. Walau
bagaimanapun, mengikut catatan sejarah terdapat seorang syeikh terakhir di
Makkah di kalangan orang Rawa bernama Syeikh Jamal Rawa yang menggunakan
perkataan tersebut.
Hubungan Rao dengan Pagarruyung
Kerajaan Pagarruyung mula
didirikan pada 1347 Masihi. Ia diasaskan oleh pembesar-pembesar adat bekas
Kerajaan Sriwijaya yang terletak di Batu Sangkar dengan menamakan kerajaan
tersebut “Pagarruyung” sebagai satu kawasan autonomi menandakan had kuasa hanya lingkungan dalam pagar istana.
Ekoran sokongan kerajaan ini
kepada Belanda, Raja Alam Pagarruyung terakhir bernama Bagagar Shah telah
dilantik sebagai wakil Belanda bergelar Regent Tanah Datar. Asalnya sebelum Belanda menjajah, tuan
Pagarruyung tidak ada kuasa politik sebaliknya selepas Belanda berkuasa di
Sumatera, baharulah berbagai anugerah
diberi kepada kerabat Pagarruyung
termasuk perluasan wilayah.
Justeru
itu, di antara Rao dengan Pagarruyung tiada perhubungan langsung kecuali Padang
Nunang. Pada suatu ketika semua daerah
di Rao memiliki raja masing-masing kecuali Padang Nunang. Akhirnya disepakati
oleh pembesar-pembesar adat di Padang Nunang dengan mengambil putera raja Pagarruyung untuk ditabalkan sebagai raja Padang Nunang.
Ditakdirkan Allah S.W.T berjayalah mereka
membawa pulang seorang putera raja dengan menaiki gajah dan sebaik tiba di Padang
Nunang, putera itu pun ditabalkan sebagai Raja Padang Nunang dan bersemayam di
singgahsana yang dibina khas. Adat hamba
mengangkat sembah; adat raja menerima sembah. Tetapi putera itu tidak tahan
daulat lalu muntah-muntah dan tercirit-birit.
Maka berkatalah pawang
bahawa putera raja itu bukanlah anak raja tulen sebaliknya orang biasa. Telahan
pawang itu lagi, anak raja yang sebenarnya masih berada di istana Pagarruyung
menyamar sebagai hamba raja bagi mengelakkan dirinya “diambil” oleh orang-orang
Rao.
Setelah mendapat
penjelasan pawang, orang-orang Rao sekali
lagi berangkat ke Pagarruyung dan kali ini berjaya dalam misi mereka untuk
mendapatkan seorang putera raja yang tulen dan lantas digelar Yam Dipertuan Padang Nunang. Setiba di Padang
Nunang terus dirajakan mengikut adat Rao lalu baginda bersemayam di istana dan kemudiannya dikahwinkan dengan puteri
Padang Nunang. Setelah memperoleh puteri,
baginda pun pulang ke Pagarruyung seorang diri.
Beberapa tahun selepas
kepulangan Yam Dipertuan Padang Nunang ke Pagarruyung, puterinya pun
berkahwinlah dengan beberapa orang lelaki termasuk dengan kenamaan Rao. Pertama
kali berkahwin, suaminya sakit lalu meninggal dunia. Kemudian puteri itu
berkahwin lagi; mati juga kesudahan suaminya sehinggalah dia telah menikah
dengan tujuh orang; kesemuanya meninggal
dunia.
Dan ditakdirkan Allah S.W.T
puteri itu berkahwin pula untuk kali ke lapan dengan seorang ulama yang berasal
dari Choroting, Rao. Namun begitu, ulama ini hanya sempat mengandungkan puteri
tersebut. Apabila genap tiga bulan mengandung, ulama itu menceraikan isterinya
seraya berkata; “Aku yang kuat beramal kepada Allah S.W.T pun alah kepada mu, inikan pula orang
biasa.”
Sebenarnya, ulama itu
telah menyedari bahawa dirinya sudah dihinggapi tulah dan matanya mula beransur
menjadi hijau. Sebaik sahaja dia menceraikan isterinya tiba-tiba penyakitnya
sembuh seperti sedia kala dan berkatalah ulama itu; “inilah kuasa Allah Taala.”
Enam bulan kemudian
janda ulama itu melahirkan anak lelaki dan diberi nama Marah Sani. Anak ini
dikatakan memiliki daulat. Barang siapa
yang melintas di hadapannya tanpa meminta izin akan muntah taik. Untuk kembali
sedia kala; penawarnya ialah terpaksa minum air tapak kaki Marah Sani.
Adalah dipercayai
kelahiran Marah Sani disambut dengan “adat pantang tanah” justeru itu keturunan
Marah Sani sehingga sekarang masih lagi mengamalkan adat tersebut kerana dengan
kehendak Allah jua, jika ditinggalkan akan mendatangkan mudarat kepada
kanak-kanak yang dalam tempoh berpantang iaitu kira-kira 13 purnama atau
sehingga kanak-kanak itu pandai berjalan
dan pantang tersebut terbatal apabila kanak-kanak sudah berjojak atau bertatih[4].
Oleh
yang demikian hubungan Rao dengan Pagarruyung adalah berpunca daripada kisah
klasik ini. Justeru keturunan Padang Nunang di Rao memang ada pertalian darah
dengan kerabat Pagarruyung di Batu Sangkar. Misalnya, kebanyakan masyarakat Rao
di Raub Pahang mempunyai tali keturunan dengan Pagarruyung sebaliknya
masyarakat Rao Gopeng, Tapah dan sebagainya tiada kaitan langsung kerana mereka
bukan berasal dari Padang Nunang melainkan dari Langgung, Sungai Ronyah, Padang
Matinggi, Langsat Kadap, Lubuk Hijau, Lubuk Layang dan sebagainya.
Hubungan
simbiosis Tokoh Rao Raub dan Perak
Hubungan simbiosis
dalam kalangan masyarakat Rao berlaku melalui satu konsep yang dinamakan “merapatkan
saudara”. Kata kunci “urang awak” yang ditujukan kepada seseorang kenalan itu, menjadikan
masyarakat Rao mencipta persahabatan dengan mudah serta mesra sehinggakan ada kalanya
begitu erat dan intim bagaikan sebuah keluarga.
Konsep
merapatkan saudara acap kali berlaku apabila bertembung sesama mereka walaupun
pada peringkat awal perkenalan, saling tidak mengenali di antara satu dengan
yang lain. Namun apabila mereka bertegur sapa, lebih-lebih lagi menggunakan
dialek Rao, proses merapatkan saudara akan bermula dan secara tidak langsung
“persahabatan” akan bertambah erat atau intim ketika “borandai” (berbual/bercakap-cakap) tentang perkara-perkara seperti
keturunan, teromba atau asal usul kampung di Rao. Setelah wujud keintiman
lahirlah sebutan “urang awak” bermaksud saudara kita atau seketurunan.
Hakikatnya
apabila proses “merapatkan saudara” itu menjadi mantap, beberapa gelaran
kehormatan dalam masyarakat Rao akan digunakan terhadap kenalan baru itu.
Misalnya, kalau lelaki agak berumur akan dipanggil “mamak” bererti bapa saudara. Jika anak dara dipanggil “upik” manakala lelaki bujang dipanggil “buyung”.
Begitulah cara
masyarakat Rao merapatkan saudara. Walau bagaimanapun nilai-nilai
kemasyarakatan Rao kini kian luntur akibat sebahagian besar orang-orang Rao
tidak lagi mampu bertutur dialek asli mereka.
Demikian juga dengan masyarakat Rao
Pahang didapati menjalin perhubungan dengan masyarakat Rao Perak berasaskan
enam faktor utama iaitu melalui perkahwinan, kekeluargaan, kepahlawanan,
politik, keagamaan dan penerokaan penempatan baru. Hal ini dapat dijelaskan
seperti berikut;
1. Perkahwinan
Perkahwinan
dalam kalangan masyarakat Rao Pahang dengan Perak lumrah berlaku kerana untuk
memanjangkan pertalian keluarga. Perkahwinan di antara Rao Pahang dengan Perak
bukan hanya membabitkan tokoh malahan golongan marhaen. Misalnya, Raja Ahmad@
Tok Prak antara tokoh penting dalam penerokaan beberapa buah kampung di Raub
menikah dengan orang Rao Sungkai, Perak bernama Nuriah (1728 Masihi)[5].
2. Kekeluargaan
Pertalian
keluarga antara masyarakat Rao Pahang dengan Perak merupakan bukti konsep
merapatkan saudara menjadi kelaziman dalam kehidupan orang-orang Rao. Walaupun
mereka tinggal berjauhan tetapi tali kekeluargaan tersimpul rapi. Mereka sering
berkunjung atau bertandang di antara satu dengan lain terutama ketika
mengadakan kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Ini bermakna keluarga
berjauhan tidak semestinya hilang perhubungan, sebaliknya dieratkan dengan
kunjung-berkunjung dalam kalangan mereka. Tokoh Rao Pahang iaitu Mohd Taib bin
Santan @ Pawang Nong , Pembuka Ulu Cheka, Jerantut, Pahang yang juga seorang
pawang diraja, walaupun dilahirkan di
Pahang pada 1874 tetapi ibunya, Bon
berasal dari Kg Gunung Mesah, Gopeng, Perak.
Begitu juga
Tan Sri Sallehudin Mohamed, mantan Ketua Setiausaha Negara (1984-1990) meskipun
dilahirkan di Raub, Pahang tetapi mempunyai seorang abang bernama Zakaria yang
menetap di Gopeng, Perak, malahan beliau pernah mendapat pendidikan awal di
Gopeng sebelum ke Universiti Malaya, Singapura.
Dua contoh di
atas membuktikan bahawa pertalian keluarga merupakan antara faktor penting
dalam hubungan masyarakat Rao di antara kedua-dua negeri itu berkekalan
sehingga ke hari ini.
3. Kepahlawanan
Menuntut ilmu
persilatan dan perubatan tradisional Melayu khususnya, menyebabkan seseorang
itu merantau dan berhijrah. Dalam masyarakat Rao hal ini juga lazim berlaku
terutama dalam kalangan tokoh mereka. Mat Kilau, pahlawan Rao Pahang umpamanya,
dikatakan pernah menyeberangi Banjaran Titiwangsa dari Raub ke Hulu Slim, Perak
terus ke Sungkai untuk menimba ilmu persilatan.
Begitu juga
Kulup Mat Diah @ Long Mat Piah watak utama dalam Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis[6] dari Beruas, Perak pernah
berguru dengan Pawang Nong di Jerantut, Pahang mempelajari ilmu menundukkan jin.
Dalam SBDJ siri ke-20 bertajuk Memburu
Raja Pukau diceritakan bagaimana Kulup Mat Diah ke rumah Pawang Nong dengan
meredah belantara dari Lanchang, Cameron Highlands ke Jerantut dan dia bermalam
seminggu di rumah Pawang Nong. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1960-an
sewaktu empangan Jor di Batu 16 Jalan Pahang-Tapah sedang dalam pembinaan[7].
4. Politik
Arena politik
tanah air turut dimeriahkan oleh tokoh-tokoh Rao. Misalnya, pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia di antara Dato’ Dr Siti Zaharah Sulaiman (Rao Pahang)
bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (2008) dengan Tan Sri
Rafidah Aziz (Rao Perak) bekas Menteri
Perdagangan Antarabangsa (1987) pada tahun 1996 menyaksikan kekalahan tokoh Rao
Perak (penyandang 1984-1996) di tangan tokoh Rao Pahang dengan majoriti 27
undi. Walau bagaimanapun pada tahun 2000 Tan Sri Rafidah Aziz pula menang menewaskan
Dato’ Siti Zaharah Sulaiman dengan majoriti 12 undi.
Nyata sekali
kehebatan kedua-dua tokoh Rao tersebut telah mewarnai persada politik negara
yang memperlihatkan bahawa kewibawaan mereka dalam kepimpinan serta mempengaruhi
perwakilan cukup meyakinkan serta mempertingkatkan imej Rao itu sendiri.
5. Keagamaan
Tokoh agama
Rao iaitu Imam Ishak Muhamad Arif, Kadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah dan
Perintis Teromba Rao yang dilahirkan di Chemor, Perak pada tahun 1908 berpindah ke Kg. Temau, Raub,
Pahang pada tahun 1915. Penghijrahan beliau ke Pahang telah melebarkan
pengajian agama dengan beberapa orang ulama sehingga Imam Ishak ditauliahkan
sebagai imam Masjid Kariah Lechar, Raub
oleh Sultan Abu Bakar.
6. Penerokaan penempatan
baru
Penerokaan penempatan
baru turut melibatkan tokoh Rao. Penerokaan ini telah memantapkan lagi hubungan
masyarakat Rao di antara Pahang dan Perak. Hal ini terbukti apabila Ketua orang Rao Kg. Gali, Raub, Pahang iaitu
Dato’ Haji Mustapha bin Raja Kamala telah berhijrah dan membuka Tanjong Malim
sekitar tahun 1870-1871. Kemudian tokoh ini dilantik sebagai Penghulu Tanjong
Malim sekali gus menjadi ketua masyarakat Rao di sekitar Ulu Bernam dan
Kalumpang di Selangor.
Penentangan Tok Gajah[8], Dato’ Bahaman dan Mat Kilau
terhadap campur tangan Inggeris ke atas hal ehwal politik Pahang sekitar tahun
1891-1895 telah mencetuskan peperangan hebat. Kekalahan di pihak pribumi
menyebabkan beberapa orang keluarga Mat
Kilau melarikan diri ke Perak. Sampai di Perak mereka meneroka hutan belantara
untuk dijadikan kampung dan ladang.
Hal ini terjadi kepada
Monik dan adik-beradiknya yang lari dari Pahang terus menerusi Raub-Hulu Slim
ke Tapah. Beliau seorang wanita dikatakan membuka hutan di Tapah dari pasar
hingga ke balai polis sekarang walaupun ketika itu Tapah telah dibuka oleh Tok
Tua Sakti yang juga tokoh Rao dari Sumatera Barat. Monik dikatakan pernah
berkahwin dengan Ngah Ibrahim dan telah mendirikan sebuah rumah berhampiran
masjid jamek Tapah. Rumah itu masih ada lagi tetapi kini telah dimiliki oleh
orang lain[9].
Penutup
Sesuatu peristiwa itu
berlaku ekoran daripada sebab dan akibat. Demikianlah apa yang terjadi tentang
hubungan simbiosis masyarakat Rao Pahang dengan orang Rao Perak adalah
disebabkan beberapa faktor yang dinyatakan seperti di atas. Inilah antara
contoh bahawa hubungan orang-orang Rao Pahang dan Perak cukup intim dan di
sebalik sesuatu peristiwa itu, hadir pula pelbagai kisah yang tersendiri yang
seharusnya dikaji dengan mendalam untuk rujukan generasi Rao akan datang.
Bibliografi
Abdullah Zakaria Ghazali, “Perak 1651-1955: Satu Tinjauan Mengenai
Perjuangan Orang Melayu” dlm. Adnan Haji Nawang (Peny.) 1988. Perak Dahulu dan Sekarang. Kuala Lumpur:
Muzium Negara
A Samad Ahmad (Peny.)1979. Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
Buyung Adil 1972. Sejarah Pahang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ibrahim Shah, “Bongai atau
Rentak Kuda” dlm. Norazit Selat (Editor) 1990. Negeri Sembilan Dahulu dan Sekarang. Kuala Lumpur: Muzium Negara
Iskandar Kemal 2009. Pemerintahan Nagari Minangkabau dan
Perkembangannya; Tinjuan Tentang Kerapatan Adat. Yogyakarta: Graha Ilmu
Jari Basurek 2009. Sekondakhati. Jitra, Kedah: Altacom Sdn
Bhd.
Marsden, W 2008. Sejarah Sumatra. Yogyakarta: Komunitas
Bambu Depok
Muhamad Bukhari Lubis, Mohd Rosli
Saludin dan Talib Samat 2009. Rao di sana
sini. Kuala Lumpur: Persatuan Jalinan Jaro Malaysia (JARO
Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi 2012.
“Raja Ahmad Anak Datuk Bendahara Putih: Nenek Moyang Keturunan Rao Persemendaan
di Raub Abad ke-17” (Kertas Kerja) Seminar Memperkasakan Tokoh Rao anjuran
UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Pahang di Sekolah Menengah
Gali, Raub, Pahang pada 25 November
2012.
Tamar Jalis 1984. Buku 1: Siri Bercakap Dengan Jin 1984.
Kuala Lumpur: Variapop Grop
Zabidin Haji Ismail 2012. Biografi Tokoh Rao: Sumbangan dan Jasa
Terhadap Pembangunan Negara. Ipoh: Persatuan Karyawan Perak
Zaffuan Haji Manaf 2007.
Bingkisan Sejarah Raub: Rao dan Pagarruyung dengan Raub dan Pahang. Kuala
Lumpur: Anjung Media Resources
__________
23 November 2012
Putrajaya
Kertas ini dibentangkan di Seminar Memperkasakan Tokoh-tokoh
Rao Pahang anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Dewan
Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang serta
kerjasama Biro Pendidikan dan Sejarah Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) di
Sekolah Menengah Kebangsaan Gali, Raub, Pahang pada 25 November 2012
[1]Parlindungan Mangaraja
Onggang 1965. Sipingki Nangol-Ngolan Sinambela. Gelar Tuanku Rao. Tanjung
Harapan
[2]Rao merupakan daerah
pertambangan emas yang paling penting di Sumatera sesudah Alahan Panjang.
Perdagangan emas di Rao sudah diketahui oleh pedagang-pedagang India sejak awal
abad ke-2 Masihi. Sebab itu mereka telah mendirikan permukiman, baik di lembah mahu
pun di bahagian atas sungai Kampar, kemudian berkembang menjadi pangkalan yang
dikhaskan untuk perdagangan emas dari Rao.
Ketika itu Rao adalah pengeksport
emas. Misalnya pada tahun 1826 Singapore Choronicle menetapkan nilai
emas Rao antara 13.000 dan 14.000 dollar Sepanyol per tahun. Di samping
mengeksport, pedagang-pedagang Rao juga
berdagang di pantai barat dengan membawa emasnya ke Natal, Air Bangis, Pasaman, bahkan hingga ke Padang.
[3] Pada tahun 1830-an Lembah Rao mempunyai penduduk sekitar 25.000
orang. Kawasannya terbahagi kira-kira dua puluh desa besar dengan di kelilingi
sawah padi yang luas. Kopi juga ditanam di situ.
[4] Mitos ini telah diceritakan Allahyarham Hj Sutan
Seri Pado bin Yaman, 80 tahun pada 8.11.1992 jam 12.15 tengah hari di rumah
beliau di Kampong Pasir, Batu Masjid, Temoh, Perak. Beliau berasal dari Langgung, Rao, Sumatera
Barat.
[5] Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi 2012. “Raja Ahmad Anak Datuk Bendahara Putih:
Nenek Moyang Keturunan Rao Persemendaan di Raub Abad ke-17” (Kertas Kerja)
Seminar Memperkasakan Tokoh Rao anjuran UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah
Timur dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang di Sekolah Menengah Gali, Raub, Pahang pada 25 November 2012.
[6] Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak
dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 284 siri disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group, Kuala
Lumpur berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga
Januari 2005. Ini adalah rekod Malaysia bahkan
merupakan satu rekod dalam arena persuratan dunia.
[8]
Tok Gajah dikenali sebagai Imam Perang
Pahang dan nama sebenarnya, Imam Rasu bin Shahrum iaitu ayah kepada Mat
Kilau. Lihat J.M Gullick 1958. Indigenour
Political System of Western Malaya hlm.
79 ada mencatatkan bahawa ayah Tok Gajah
itu orang Melayu Rao dari Sumatera. Lihat juga keterangan gambar Tok
Gajah dan orang besar Pahang lain yang tersiar dalam surat khabar Utusan Melayu
bertarikh 10 Januari 1970 yang menyebut bahawa ayah Tok Gajah itu bernama
Shahrum.
[9]
Seperti yang diceritakan oleh Puan Azizah Abdul Karim (Ahli JARO) yang
berasal dari Tapah, Perak kini menetap di Shah Alam kepada penulis pada
19 November 2012. Arwah Monik adalah
moyang beliau.