Sinar Harian
14 Oktober 2012
Peserta bersama Ahmad Sarji (duduk, tengah) selepas seminar berakhir di Kompleks Media Karangkaraf- 13.10.2012
SHAH ALAM – Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) giat berusaha bagi membantu masyarakat Melayu Rao agar dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi di negara ini.
Timbalan Yang Dipertua JARO, Datuk Zainal Abidin Noordin berkata, seminar kali kedua diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf itu khusus membincangkan keadaan sektor ekonomi, pendidikan dan agama yang unggul bagi kaum tersebut.
“Penubuhan jawatankuasa pemantau akan dilaksanakan bagi meneliti cadangan yang diutarakan sepanjang seminar dijalankan.
“Oleh itu, penglibatan golongan muda kaum Rawa turut diperlukan bagi membantu mengetengahkan isu yang terlibat kepada agensi kerajaan untuk dinilai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, sebanyak lima negeri tumpuan iaitu Selangor, Perak, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang menjadi fokus seminar bagi mengkaji dasar ekonomi kaum di kawasan tersebut.
Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid turut hadir merasmikan seminar tersebut.
Ahmad Sarji berkata, ramai orang Rao telah mencapai kemajuan dari segi sosioekonomi dan pendidikan di negara ini.
“Saya mencadangkan supaya Jaro menjalankan penyelidikan mengenai tiap-tiap tokoh keturunan Rao yang telah memberi sumbangan besar terhadap negara.
“Sebuah buku mengandungi pencapaian kerjaya, rahsia-rahsia mereka dari segi falsafah hidup, usaha inovatif serta pencapaian mereka di peringkat nasional dan antarabangsa perlu diterbitkan”, katanya.
Menurutnya, Yayasan Orang Rao perlu diwujudkan bagi membantu masyarakat tersebut dalam sektor pelaburan dan pendidikan.
“Penyertaan dalam bidang pelaburan terbukti mampu mengubah kedudukan ekonomi orang Melayu.
“Diharap pelaksanaan yayasan ini sedikit sebanyak dapat membantu kaum tersebut,” ujarnya.
Sementara itu Hj Zabidin Hj Ismail antara pembentang kertas dari Perak turut memperkenalkan buku terkini beliau berjudul Biografi Tokoh Rao Sumbangan dan Jasa Terhadap Pembangunan Malaysia
terbitan Persatuan karyawan Perak [Karyawan Pk] dan dijual dengan harga RM30 senaskah yang mengandungi biografi 33 tokoh Rao di Malaysia termasuk Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Tun Ghazali Shafei, Tun Hasmah Mohd Ali, Tun Ismail Mohd Ali, TS Rafidah Aziz, Mat kilau dan Sasterawan Negara ke-11, Dato' Dr Ahmad Kamal Abdullah @Kemala. Di samping tokoh terkenal tersebut, terdapat juga tokoh lokal seperti Tok Tua Sakti (Pembuka Tapah), Pawang Nong (Pembuka Ulu Cheka, Jerantut, Pahang) serta Tokoh Penglipur Lara, Pawang Ana yang terkenal dengan cerita-cerita penglipur lara seperti Awang Sulung Merah Muda, Anggun Cik Tunggal, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa.
Wacana Pemikiran Politik Dr Burhanuddin Al-Helmi
-
Para peminat pemikiran politik, politikus dan penulis adalah dijemput hadir
tanpa undangan protokal dan terbuka. Wacana ini akan mengupas beberapa
buah...
9 tahun yang lalu