Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Jumaat, 29 Oktober 2010

Pawang Ana tokoh penglipur lara?



SIAPA Pawang Ana? Satu kajian mengenai ketokohan penglipur lara, Allahyarham Pawang Ana perlu dijalankan bagi memastikan generasi muda mengenali tokoh tersohor di Perak.

Ia bertujuan mengenang kembali Pawang Ana yang suatu masa dulu juga dikenali sebagai seorang dukun dan pendekar.

Generasi muda masa kini sudah tentu tidak mengetahui kebolehan penutur cerita rakyat yang dulu dituturkan dari mulut ke mulut.

Menurut catatan bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu, R.O. Winstedt, Pawang Ana telah menuturkan lima cerita penglipur lara yang menjadi karya agung di negara ini.

Antara karya itu ialah Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Kelima-lima cerita Pawang Ana itu telah menjadi karya agung telah dibukukan oleh Winstedt.

Menurut Hj Zabidin Hj Ismail, Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dalam kertas kerjanya bertajuk "Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional", Pawang Ana berasal dari Rao, Sumatera Barat. Dia berhijrah ke Kampung Pulai, Gopeng Perak dan menetap di Temoh sekitar tahun 1850-an.

Pawang Ana pernah menamakan Kampung Batu Masjid, Temoh setelah kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada 1895.

Justeru, bagi mengenang kembali Pawang Ana, Karyawan Pk, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) telah mengadakan Seminar Pawang Ana di Auditorium JKKN di Ipoh baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika menutup seminar itu meminta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat kajian mengenai Pawang Ana bagi memastikan generasi muda mengetahui tokoh-tokoh sejarah sastera lisan dan sastera rakyat yang berjuang dalam pelbagai bidang yang menjadi aset warisan negeri.

Beliau berkata, kerajaan memberi sokongan jika ada pihak yang sanggup meneruskan kajian termasuk kajian terhadap ketokohan pawang dan kepahlawanan Pawang Ana.

"Banyak maklumat mengenai Pawang Ana diperoleh dari manuskrip yang tersimpan di London setelah penjajah menjajah negara ini.

"Pawang Ana terkenal sebagai penglipur lara yang menuturkan karya-karya agung sebagai sastera rakyat tinggi mutunya dan hidup sepanjang zaman," katanya.

Zainol Fadzi berkata, itu bertepatan dengan langkah kerajaan negeri yang bercadang membina sebuah Muzium Budaya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya seni.

Sementara itu, satu pameran bertajuk 'Pawang Ana dan Karyanya' turut dipamerkan di ruang legar Perbadanan Perpustakaan Awam di Ipoh sebagai bahan penting dalam membuktikan ketokohan Pawang Ana sebagai anak Perak yang berjasa.

Pameran tersebut juga mempamerkan biografi ringkas dan lakaran ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 di London.

Lakaran wajah Pawang Ana (foto) pernah ditemui oleh mantan Karyawan Tamu Universiti Malaya (UM), Mohd. Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.

Pengarah JKKN Perak, Abdul Mutalib Abdul Rahman berkata, seminar itu merupakan usaha untuk mengetengahkan ketokohan Pawang Ana yang terkenal di Perak.

"Kita sedia membantu memastikan usaha memartabatkan tokoh-tokoh seni dikenali oleh generasi akan datang," katanya.

Rabu, 20 Oktober 2010

Siapa Pawang Ana?


Siaran Akhbar


SEMINAR PEMIKIRAN PAWANG ANA

Sejarah ketokohan Penglipur Lara Negara, Pawang Ana yang telah tenggelam semenjak tahun 1914 akan dibangkitkan kembali dalam seminar Pemikiran Pawang Ana pada 25 Oktober 2010 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh mulai 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Sempena seminar, satu pameran bertajuk “Pawang Ana dan Karyanya” akan diadakan di ruang pameran Perpustakaan Awam Perak (bersebelahan lokasi seminar) yang akan mempamerkan biografi ringkas Pawang Ana serta karyanya termasuk ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt (bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu) yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 London. Lakaran wajah Allahyarham dijumpai oleh mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya Mohd Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.

Di samping beberapa fakta tempatan, lakaran wajah Pawang Ana akan menarik ramai pengunjung ke pameran itu. Sebelum ini beliau hanya dikenali sebagai tokoh penutur sastera rakyat atau cerita-cerita lipur lara tetapi tiada pernah mana-mana pihak yang menerbitkan gambarnya.

Program ini mendapat sokongan kuat daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan akan merasmi penutup seminar tersebut. Penganjur utama ialah Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] dengan sokongan dan dokongan erat daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Yayasan Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).

Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa sarjana USM, UPSI dan Nanyang Universiti, Singapura termasuk dari Presiden Karyawan Pk, Zabidin Hj Ismail bertajuk “Biografi dan Sumbangan karya Pawang Ana”

Siapa Pawang Ana?

Pawang Ana juga seorang dukun dan pendekar. Dia berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kg. Pulai Gopeng, Perak sekitar tahun 1850-an iaitu ketika arus kedatangan orang-orang Rao (Rawa) ke Perak. Menurut R.O Winstedt, Pawang Ana menggunakan kepakarannya berjaya menemui mayat Residen British di Perak, J.W.W Birch yang hanyut di Sungai perak setelah dibunuh pahlawan Melayu Pasir Salak. Selama tiga hari tiga malam Inggeris gagal menjumpai mayat tersebut.

Pawang Ana juga pernah menamakan Kg Batu Masjid, Temoh apabila kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada tahun 1895.

Selaku tokoh Penglipur Lara tersohor, Pawang Ana telah menuturkan sebanyak lima cerita lipur lara dan telah dibukukan oleh R.O Winstedt iaitu Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Kelima-lima cerita tuturan Pawang Ana telah dikategorikan sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan.

Seminar terbuka kepada awam serta terhad seramai 200 orang sahaja dan dikenakan bayaran RM10 untuk mengisi tabung Karyawan Pk. Keterangan lanjut hubungi Pn. Saliza 0125332170; Onn Abdullah 0165360864 ; Dr Talib Samat 0122269740.

Salam hormat

(HJ ZABIDIN HJ ISMAIL)

Presiden

Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Hp: 012-5070513

Faks 05.2544294

Lampiran:

Judul Kertas Kerja dan Penulis

o Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional” - Zabidin Hj lsmail, (Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o Unsur-unsur Budaya Rao dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal” - Prof Madya Dr.Talib Samat, (Universiti Pendidikan Sultan Idris / Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o Pemikiran dan Gaya Bahasa Puitis dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda - Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o Unsur Interteks dalam Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Deman” - Dr.Bazrul Bahaman (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o Pawang Ana dan Patriotisme Maritim Melayu- Prof. Madya Dr. Jelani Harun (Universiti Sains Malaysia)

o Penerapan Teori-teori Terpilih dalam Mengkaji Hikayat-hikayat Tuturan Pawang Ana.” - Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah, (Universiti Teknologi Nanyang, Singapura).

o “Peranan dan Sumbangan R.O Winstedt dan A.J Sturrock dalam Mendokumentasikan Cerita-cerita Penglipur Lara Tuturan Pawang Ana.” - Mohd. Zamberi Malik, (Mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya).

o Perbandingan Ketokohan Pawang Ana (Perak) dan Awang Batil (Perlis) - Mohamad Shahidan (Dewan Bahasa dan Pustaka).

ATUR CARA PROGRAM

8.30 pagi : Pendaftaran Peserta / Sarapan

8.45 pagi : Ketibaan para tetamu / pembentang

8.55 pagi : Bacaan Doa

9.00 – 11.00 pg : Sesi 1

Zabidin Hj. Ismail (Karyawan Pk)

Mohd.Zamberi Malik

Prof.Madya Dr.Talib Samat (UPSI /Karyawan Pk)

Prof. Madya Dr Jelani Harun (USM)

Moderator:

Mohd Paris Arshad (IPG Kampus Ipoh/Karyawan Pk)

11.00 – 1.00 th: Sesi 2

Dr Shaharudin bin Shaari (IPG Kampus Ipoh)

Dr.Bazrul Bahaman (UPSI)

Prof.Madya Datuk Paduka Dr.Mohd.Rosli Saludin (UPSI)

Mohammad Shahidan (DBP)

Moderator:

Dr Rosli Sahat (IPG Kampus Ipoh)

1.00 ptg Majlis Perasmian /Penutupan

Ucapan Aluan;

Yang Berusaha Tuan Abdul Mutalib bin Abdul Rahman

(Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak) .

Ucapan Perasmian / Penutupan

YB Dato’ Zainol Fadzi bin Haji Paharudin, DPCM.,PMP.,DSM.,ASDK.,

(Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak)

Pelancaran buku “Timoh Tasik kenangan”

Persembahan Multimedia

Penyampaian Cenderamata

Lawatan ke pameran: “Pawang Ana dan Karyanya”

Jamuan Makan Tengah Hari

Bersurai

Ahad, 10 Oktober 2010

Deklamasi Puisi Rao Berandai oleh Puan Agnes




Puan Agnes a/p Suppiah, 53 tahun lebih mesra dipanggil sebagai Cikgu Jimah dalam kalangan masyarakat Rao Gopeng. Pada 25 September 2010 sempena Majlis Mesra Aidilfitri JARO di Dewan Bandaran, Gopeng, Cikgu Jimah telah mendeklamasikan puisi "Rao Berandai" karya Jari Basurek dalam loghat Rao yang mendapat sambutan hangat daripada tetamu majlis tersebut. Cikgu Jimah fasih dan petah berbaso Rao dengan mampu menghidupkan suasana majlis dengan persembahan "Koling Rao"nyo!

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao