Isnin, 19 Januari 2009

Kampong Rao Chemor, Perak (I)

Bentuk rumah Rao



Hj Abd. Arif Abd. Karim

Kurang dua puluh kilometer dari Bandar Raya Ipoh menghala ke Pekan Chemor terletak sebuah kampung Melayu tradisi bernama Kampong Rao, Batu 9 Jalan Ipoh, Chemor, Perak. Kg. tua ini telah berusia melebihi seratus tahun dan dipercayai dibuka pada tahun 1890-an masehi oleh Hj Baki dan Isterinya, Sapiah, Ismail dan Abas yang berhijrah dari Rao Sumatera Barat melalui Matang, Taiping, Perak.

Kg Rao Chemor kini seluas 4 ekar dan didiami seramai 40 orang penduduk dengan 15 buah rumah. Sewaktu awal penerokaannya kawasan kampung ini agak luas juga tetapi segelintir penduduknya telah menjual tanah mereka dan berpindah ke lain tempat, justeru keluasannya kian berkurangan. Di sini juga kelihatan banyak rumah ditinggalkan usang dan sayu hati apabila memandangnya! Penduduk terutama generasi baru ramai yang berhijrah dan membina penghidupan baru di tempat lain kerana tuntutan hidup! Namun kampung tidak sepi dan sunyi kerana ia terletak berdekatan Pekan Chemor.

Sesuatu yang bersejarah bagi kampung ini ialah menjadi padang permainan bekas Timbalan Presiden Indonesia, Allahyarham Tun Adam Malik ketika kecil kerana kampung Allahyarham dekat benar dengan Kg. Rao. Allahyarham dilahirkan di Kampong Mandehiling kerana ibunya, Salmah berasal dari Chemor tetapi bapanya orang Sumatera Barat, Indonesia.


En. Nadzran Musa

Pada 20 Januari 2009 saya dan sdr Kamarudin Hj. Ismail telah sempat berkunjung ke kawasan ini dan mendapati bersebelahan Kampong Rao terletak pula Kampong Mandehiling. Kedua-dua kampung ini dipisahkan oleh Jalan Chemor-Ipoh.

Benarlah teori menyebut bahawa di mana ada urang Rao di situ ada Mandehiling. Teori ini terbukti di Banir, Perak (perkampungan orang Mandehiling) tetapi di sebelahnya pula Kg. Batu Masjid, Temoh diduduki pula urang Rao. Kedua-dua suku kaum ini hidup bagaikan pepatah Melayu, ibarat aur dengan tebing; cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya - saling bantu-membantu serta menghormati di antara satu dengan yang lain.

Inilah adat urang Rao; cepat mesra. Bagaikan dah kenal bertahun-tahun, begitu mesra sekali saya dan Kamarudin bergebang dengan Ketua Kampong Rao, Sdr Nadzran bin Musa serta Hj Abdul Arif bin Abdul Karim (cucu Hj Baki, peneroka Kg. Rao). Kami berandai-randai tidak kurang dua jam di rumah Ketua Kampung itu meskipun kami bertemu mereka pada hari ini buat pertama kalinya!


Siri menjejaki bako ini tidak berakhir di sini tetapi sebaliknya kami akan datang lagi ke Kg .Rao bersama AJK Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) (sdr Tahirrudin dan Hj. Haris) bagi memenuhi undangan sdr Nadzran yang akan melangsungkan upacara Berjojak cucudanya pada 26.1.2009 jam 9.00 pagi. Selepas acara tersebut kami berhasrat akan mengadakan program khas "Pengisahan Rao" serta tayangan slide lawatan balik kampung ke Rao, Sumatera Barat untuk tontonan kaum keluarga sdr Nadzran serta penduduk kampung itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan