Kenalilah Nasab

" Kenalilah nasab keturunan kamu yang membawa kepada silaturrahim ( kasih sayang ) " - Riwayat Al Imam Tarmizi ( Ibnu Kathir, vol. 4 ms.218 ).

Followers

Sabtu, 31 Januari 2009

Jom Balik Kampung Rao, Sumatera Barat



Persatuan Jalinan Rao Malaysia atau dikenali sebagai JARO dengan kerjasama Sekondakhati.blogspot.com akan menganjurkan Program Balik Kampung Rao, Sumatera Barat pada 13 Mac 2009 hingga 17 Mac 2009 selama 5 hari 4 malam bagi menyemai semangat kekeluargaan dan menjalin tali silaturrahim di kalangan saudara mara serumpun.


Sehubungan itu anda adalah dipelawa menyertai lawatan ini dengan dikenakan bayaran minimum sebanyak RM990.00 seorang dan jika ahli JARO hanya RM 970.00 sahaja. Anda bolehlah memberikan pendahuluan sebanyak RM 500.00 dengan cek atau terus ke akaun Cash Holidays MBB Ipoh Main 558015- 419102 sebelum 5 Februari 2009 dan bakinya boleh dijelaskan sebelum 20 Februari 2009.

Program Asas

Hari Pertama

Berangkat jam 07:50 pagi (waktu Malaysia) dari LCCT, Sepang dan sampai di Padang jam 08:00 pagi (waktu Indonesia). Perjalanan terus ke Bukit Tinggi. Lawatan Kraftangan Pandai Sikek, historical sites Jepang, makan tengah hari dan

check-in Hotel di Bukit Tinggi.

Hari Kedua

Sarapan Pagi di Hotel. Lawatan / Shopping di Pasar Atas dan City Tour. Selepas makan tengah hari, terus berangkat ke Rao. Menginap di Homestay di Pekan Rao dan makan malam masakan asli Rao.Taklimat ringkas oleh wakil Rao.

Hari Ketiga

Sarapan pagi di Homestay. Lawatan ke Kubu/ tempat tempat sejarah di Rao,Kubur Bagindo Suman dan Masjid Tuanku Rao dan makan tengah hari di Masjid Buya Nur Effendi (ikan masak asam/ gulai lomak nangko dll. Seterusnya lawatan keliling kampung ukampong di Rao. Malam – acara bebas - untuk bertemu saudara mara/kerabat.

Hari Keempat

Selepas sarapan pagi masakan Rao, balik ke Padang. Dalam perjalanan akan melawat tempat tempat pelancongan. Makan tengah hari dalam perjalanan. Sampai di Padang lawatan / shopping. Bermalam di Hotel di Padang.

Hari Kelima

Selepas sarapan pagi berangkat ke Airport Padang untuk kembali ke LCCT, Sepang, Malaysia.

Pertanyaan lanjut serta borang penyertaan hendaklah ditujukan kepada Setiausaha Agung JARO Encik Tahirrudin Ahmad di No. 6C Ruang Niaga DBI, Jalan Ghazali Jawi, 31400 Ipoh atau telefon: 05-5480405 atau 0165200550 atau faks: 05-5480462 atau e-mel: chttsb@yahoo.com. Borang penyertaan boleh didapati dengan mengelik SIKO.

Rabu, 28 Januari 2009

Taklimat Khas JARO di Kg. Rao Chemor, Perak



Keterangan foto: Adat Berjojak (atas kiri); Ahli-ahli Jawatankuasa bersama Kelumpuk JARO Chemor (atas kanan) Hj Harith (bersongkok
); Tetamu JARO (bawah-tengah); Sdr Tahirruddin (bawah tepi). foto oleh Jari Basurek

Sambutan hangat cukup bermakna daripada penduduk Kg. Rao Chemor ketika kami mengadakan "Taklimat Khas" mengenai penubuhan dan peranan Persatuan Jalinan Rao Malaysia atau ringkasnya JARO. Hari itu, 26 Januari 2009 amat bersejarah sekali di rumah sdr Nadzran Musa, Ketua Kg. Rao kerana menjadi gelanggang pertemuan seramai 60 orang anak-anak Rao, walaupun sebelumnya AJK JARO kecuali saya belum lagi mengenali tuan rumah.

JARO bertandang dengan diketuai Setiausaha Agungnya, Sdr Tahirruddin Ahmad serta tiga AJKnya, Hj Harith Zainal Abidin (Gopeng), sdr Zabidin Hj Ismail (Ipoh) dan Dr Dzulkhaini Hj Hussain (Kuala Lumpur). Majlis meriah dengan penerangan khas serta kempen mencari ahli daripada Hj Harith Zainal Abidin, kemudian diikuti alunan suara penyanyi Uan melalui CD Sekondak Hati, lagu Rao ciptaan Dr Dzulkhaini sambil menjamu selera dengan pulut kuning berserta rondang Rao. Kebetulan pula pagi itu, cucunda sdr Nadzran akan berjojak setelah genap 13 bulan berpantang tanah. Pepaja itu akan diubat oleh bomoh pantang tanah dari Sg Siput Utara bernama Hj Abdul Aziz bin Mohd Sohor, 63 tahun.

Majlis kami berakhir dengan perasmian papan tanda Kg Rao yang ditempah khas sempena pertemuan tersebut dan secara rasminya sdr Nadzran dilantik sebagai Ketua Kelumpuk JARO bagi kawasan Chemor dan sekitarnya.

Nota : Rondang = rendang; berjojak= berjejak ; pepaja = kanak-kanak; kelumpuk= kelompok

Selasa, 27 Januari 2009

Jalan Pulang ke Rao


Inilah negeri Tuanku Rao yang melawan penjajah Belanda bersama Tuanku Tambusai dari Rokan, Riau. Orang-orang dari Rao ini banyak yang berpindah ke semenanjung untuk menyelamatkan diri, dan disana mereka dikenal sebagai Orang Rawa (Rao=Rawa). Negeri Rao ini kini adalah wilayah Pasaman, Sumatra Barat.

Untuk ke sana; dari Pantai Timur Sumatera (Selat Melaka) maka ada 3 jalan alternatif iaitu;

  • Dari Pulau Pinang : Ke Medan – Pematang Siantar – Parapat/Danau Toba – Balige – Tarutung – Padang Sidempuan – Hutanopan – Muara Sipongi – sempadan Sumut/Sumbar – Rao
  • Dari Klang : Ke Tanjung Balai (Asahan) – Rantau Prapat (Labuhan Batu) – Kotapinang – Gunung Tua – Padang Sidempuan – Hutanopan – Muara Sipongi – sempadan Sumut/Sumbar – Rao
  • Dari Melaka : Ke Dumai – Duri – Pekanbaru – Bangkinang/Kampar – sempadan Riau/Sumbar – Payakumbuh (Limapuluh Kota) – Bukittinggi (Agam) – Lubuk Sikaping (ibu negeri Pasaman) – Rao
Hasta Lavista!

Sejarah Raub Pahang





Raub adalah salah sebuah dari 11 buah daerah yang terdapat di Pahang. Daerah Raub terdiri daripada tujuh buah mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras. Raub mempunyai lebih kurang 37 buah kampung tradisional dan 9 buah kampong baru Cina . Raub berlokasi di sebelah barat negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi, iaitu 6.34% dari keluasan Pahang (35,823 kilometer persegi). Raub terletak antara dua banjaran, iaitu Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benom. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari atas paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5º dan hujan tahunan kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya akan mengambil masa 1½ jam untuk sampai ke pekan kecil ini melalui Lebuhraya Kuala Lumpur Karak.

Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Raub. Perkataan Raub dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘genggam’. Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas pada setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A. Richardson dalam bukunya, The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang.

Menurutnya; "People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raub) of gold".

Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.

Terdapat satu lagi versi cerita yang menjelaskan asal usul nama Raub ini. Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang).

Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat.Kelihatan pasir di kiri dan kanan Tebatan itu amat bersih. Kedua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya.

Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan.Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya; hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercaya mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB". Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "Raup" sedangkan "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan RAUB dari ‘Raup’.

Terdapat juga pendapat yang terpencil yang menyatakan asal usul nama Raub adalah berasal dari perkataan Rao kerana suku kaum Rao telah mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit sehingga digelar sebagai ‘lubuk orang Rao’. Oleh kerana peredaran masa, sebutan perkataan Rao itu telah bertukar menjadi Raub.


Asal nama "RAO"






Rao merupakan nama sebuah tempat yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Menurut baginda, dalam tahun 1292, cicit dari Puti Jamilan, bernama Putri Dara Jingga yang pemangku Putri Mahkota dan Putri Dara Petak telah dipinang oleh Raja Kartanegara untuk dijadikan isterinya. Ketika itu kerajaan Dharmasraya menjadi taklukan Kerajaan Singhasari di era Raja Kertanegara. Namun setibanya di Pulau Jawa, Raja Kertanegara telah dibunuh. Akhirnya Putri Dara Petak dijodohkan dengan Raden Wijaya, raja Kerajaan Majapahit. Sementara Putri Dara Jingga dijadikan selir utama. Putri Dara Jingga telah melahirkan seorang anak putera yang dinamakan Aji Mantrolot yang kemudiannya dikenali sebagai Adityawarman.

Adityawarman telah dididik mengikut disiplin dan budaya istana Majapahit. Apabila dewasa Adityawarman telah mempunyai kedudukan yang tinggi, iaitu berkedudukan sebagai salah seorang menteri. Tahun 1332, beliau telah dikirim menjadi utusan ke negeri Cina sebagai duta. Pada tahun 1334, Adityawarman telah pulang kembali ke Majapahit. Memandang beliau tidak berpeluang menjadi pemerintah di Majapahit, beliau telah kembali ke Minangkabau dalam tahun 1342. Adityawarman telah diiringi oleh dua orang pembesar Majapahit iaitu Rakrian Rakuti iaitu Orang Besar Berempat di Majapahit dan Laksamana Rao; salah seorang laksamana yang handal dan gagah di Majapahit. Rombongan ini turut disertai oleh keluarga, sanak saudara dan pengikut-pengikut kedua-dua pembesar. Dalam tahun 1343, Adityawarman telah mendirikan kerajaan Pagaruyung.

Setelah puteranya Ananggawarman meningkat dewasa, Adityawarman telah melantik puteranya itu menjadi raja di Padang Nunang. Ananggawarman sekali lagi telah diiringi oleh Laksamana Rao berserta ahli keluarga dan pengikutnya. Nama ‘Rao’yang terletak di Kabupaten Pasaman itu diambil bersempena nama Laksamana Rao kerana tempat tersebut majoritinya diduduki oleh ahli keluarga dan pengikut-pengikut beliau.


sumber:http://anakrajadagang.multiply.com/journal/item/4/ASAL-USUL_NAMA_RAO_ADALAH_BERMULA_DI_KABUPATEN_PASAMAN_SUMATERA


Ahad, 25 Januari 2009

Mencari Bako- Sutan Sekondak Hati


Sutan Sekondak Hati berasal dari Rao, Sumatera Barat dan merantau ke Tanah Melayu lalu meneroka tempat dijadikan penempatan. Leluhur arwah ialah Pak Bokar dan dipercayai meninggal dunia pada tahun 1940. Kepada sesiapa yang ada kaitan dengan salah silah Sutan Sekondak Hati bolehlah menghubungi AJK Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO), Dr Dzulkhaini Hj Husain yang juga Presiden Persatuan Al- Hunafa, Damansara Utama, Petaling Jaya di talian 012-2343232.

Sabtu, 24 Januari 2009

Hj Tahir Lebai Tenggam menjadi Ketua Kampong Batu Masjid hampir separuh abad



Apabila pembuka dan ketua Kg Batu Masjid, Lebai Tenggam yang berasal dari Rao Sumatera Barat itu, diserang lumpuh pada tahun 1915 ketika berusia 40 tahun, anakandanya bernama Tahir “diangkat” penduduk kampung sebagai memangku jawatan itu. Kenapa Tahir dan tidak pula seorang lagi anak lelaki Lebai Tenggam iaitu Taib. Tiada maklumat tentang perkara ini. Sebenarnya Lebai Tenggam memiliki lima orang anak; tiga perempuan – Minah, Zainab dan Robaiyah. Lelaki pula dua orang iaitu Tahir dan Taib.

Hj.Tahir ketika mula memangku jawatan ketua kampung berusia 12 tahun. Pun begitu Allahyarham menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi walaupun masih terlalu muda. Keterangan Abdul Salam (anak saudara Hj Tahir . Meninggal dunia tahun 2003) menyebut Hj Tahir ketika seusia itu sudah boleh memimpin bacaan doa, tahlil, yasin serta kerap dijemput apabila penduduk mengadakan kenduri-kendara. Hj. Tahir telah bersedia mengantikan peranan yang sebelum ini dilaksanakan oleh Lebai Tenggam.

Dia mendapat pendidikan terutama bidang keagamaan daripada ayahnya, Lebai Tenggam secara tidak formal. Di samping berguru dengan bapanya, dia juga rajin menelaah kitab dengan bimbingan Lebai Tenggam. Dia sudah bergelar haji semenjak kecil lagi dan kali kedua pula pada tahun 1974 dengan menaiki kapal laut dari Pelabuhan Pulau Pinang.

Hj Tahir memangku jawatan ketua kampung selama 13 tahun. Apabila Lebai Tenggam meninggal dunia pada tahun 1928, Hj Tahir terus dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung Batu Masjid sehingga melepaskan jawatan tersebut pada tahun 1975 sesudah berkhidmat selama 47 tahun. Satu-satunya rekod perkhidmatan sukarela paling panjang yang pernah diberikan oleh seorang ketua kampung di negeri Perak malah di Malaysia.

Sepanjang tempoh sebagai ketua kampung, Hj Tahir pernah menjadi guru agama di SK Batu 3, Temoh serta berdakwah ke Tapah dan di kampung-kampung yang berada dalam Mukim Chenderiang. Menurut keterangan Hjh Habshah 73 (anak saudara Allahyarham), ketika berdakwah serta mengajar agama di Tapah, Hj Tahir hanya berbasikal seorang diri. Allahyarham juga pernah menjadi imam masjid Batu Masjid serta mengadakan kelas fardu ain, mengaji quran boleh dikatakan setiap hari tanpa gaji selama berpuluh-puluh tahun. Pendek kata hampir seluruh penduduk kampung adalah bekas anak murid Hj Tahir sama ada mengikuti kelas fardu ain bagi orang dewasa atau mengaji quran bagi kanak-kanak.

Sebab itulah Hj Tahir amat dihormati oleh setiap lapisan umur. Mereka menghormati beliau kerana sifat zuhud, tawaduk serta kealiman yang ada pada dirinya. Penulis merasai pengalaman luar biasa suatu hari apabila terserempak dengan Hj Tahir di jalanan, tiba-tiba sahaja penulis memberhentikan basikal dan turun berdiri seolah-olah memberi hormat kepada Hj Tahir. Tindakan ini dibuat tanpa arahan sesiapa; tidak semena-mena terjadi demikian rupa.

Satu lagi yang penulis kesani ialah tidak seorang pun penduduk Batu Masjid tegar dan berani memanggil namanya melainkan Pak Ji bagi dewasa atau Ninik Aji bagi kanak-kanak. Ini tiada siapa yang mengajar atau memaksa melainkan amalan yang diamalkan turun temurun, seolah-olah menjadi undang-undang tidak bertulis.

Barangkali Allah s.w.t telah berikan karamah kepada Allahyarham yang sentiasa mendampingi-Nya setiap masa. Rutin hariannya, berdakwah, mengajar, mengimami solat, sesekali mengetuai bacaan doa selamat dalam majlis kenduri anak-anak buahnya, menelaah kitab kuning dan iktikaf di masjid. Dia bersolat subuh di masjid kemudian iktikaf sehingga waktu dhuha. Dan, pada hari arwah meninggal dunia sekitar bulan Mac 1978, dia sempat minum di kedai kopi Yusuf Che’ Din selepas solat dhuha, kemudian balik ke rumah mengadu sakit perut kepada isterinya, Hjh Halimah. Isterinya memberikan minyak angin dan Hj Tahir berbaring di katil dengan mengusap minyak angin itu pada perutnya dan tidak lama kemudian dia pun menghembuskan nafas terakhirnya dengan senang dan tenang.

Kerana memiliki ilmu agama yang tinggi, arwah pernah dilantik oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai salah seorang anggota majlis ulama negeri yang sifatnya seperti majlis fatwa jika menggunakan istilah sekarang. Dan arwah mempunyai ramai kawan yang sepertinya berdakwah dan mengajar agama; antaranya ialah Tuan Guru Yeop Majlis (Lambor), Tuan Guru Hj Shafei dan Tuan Guru Hj Yunus (Tualang Sekah). Mereka sering berbahas mengenai tajuk-tajuk tertentu dalam bidang agama untuk kepentingan masyarakat Islam.

Hj Tahir memimpin Batu Masjid dengan penuh berhemah. Dia pernah menjadi Ketua Cawangan UMNO Batu Masjid tetapi di waktu yang sama arwah tidak pula menentang penubuhan ranting PAS di kampung tersebut. Malahan ada ketikanya pada sekitar tahun 60-an, ada segelintir penduduk cuba membawa masuk pengaruh DAP dan berura-ura untuk menubuhkan cawangan tetapi Hj Tahir tidak melarang atau bertindak menentang sebaliknya kerana berasa malu mereka membatalkan niat untuk menubuhkan cawangan DAP di Batu Masjid. Namun demikian PAS tetap bertapak dan masih kekal hingga sekarang.

Hj Tahir tidak terlalu taksub dengan mana-mana ideologi parti politik partisan sebaliknya memberikan kebebasan kepada anak buahnya untuk memilih parti mengikut keyakinan masing-masing. Justeru walaupun ada dua parti di Batu Masjid tetapi ukhwah dan silaturrahim di kalangan penduduk kian erat, contohnya mereka berganding bahu dan bersatu tanpa mengira parti masing-masing apabila ada kematian, kenduri kendara serta acara gotong royong yang membabitkan kepentingan masyarakat.

Sesungguhnya Batu Masjid masih kehilangan permata ini walaupun sudah tiga dekad Allahyarham menetap di alam barzah. Sebab itulah pada suatu hari sekitar tahun awal 90-an ada seorang anak muridnya datang ke Batu Masjid untuk menemui gurunya sedangkan arwah sudah lama meninggalkan alam yang fana ini. Mereka sebenarnya masih merasakan kehilangan sesuatu. Al-Fatihah buat Ninik Aji.

____
Nota:

1. Pak Aji - panggilan hormat orang Rao kepada seseorang berkedudukan bapa yang telah menunaikan fardu haji daripada mereka yang bertaraf anak kepadanya.
2. Ninik Aji- panggilan hormat orang Rao kepada seseorang tua lelaki berkedudukan datuk / wan yang telah menunaikan fardu haji daripada mereka yang bertaraf cucu kepadanya.

Jumaat, 23 Januari 2009

Sebuah laei kampung Rao - Batu Masjid,Temoh


ASAL USUL BATU MASJID

Rujukan:- Buku, Batu Masjid Permata Kami Setelah Seratus Tahun Berlalu (Zabidin Hj. Ismail @ Jari Basurek)


Kampung Batu Masjid dibuka pada tahun 1895 oleh Lebai Tenggam dan beberapa orang pengikutnya. Lebai Tenggam bukanlah nama sebenar beliau, tetapi hanya gelaran sahaja. "Lebai" bererti orang yang taat kepada perintah agama serta kuat beribadat. Manakala "Tenggam" pula ialah satu nama perkampungan di Rao, Sumatera Barat, Indonesia. Ketika membuka Batu Masjid beliau berusia 20 tahun.

Batu Masjid mendapat nama dari sebuah bukit batu yang menyerupai bentuk masjid tersergam indah ditengah-tengah hutan belantara yang diterokai oleh beliau dan pengikut-pengikutnya. Bukit batu itu mempunyai sebuah gua yang gelap lagi menyeramkan tetapi mempunyai keanehan tersendiri kerana seringkali mengeluarkan suara muazin melaungkan azan apabila masuk waktu solat fardu. Mengikut cerita lisan gua ini didiami oleh orang bunian. Oleh kerana itu Pawang Ana, salah seorang pengikut Lebai Tenggam menamakan kawasan tersebut sebagai Batu Masjid.


Profil Batu Masjid


Lokasi Batu Masjid sekarang bukanlah lokasi asal.Ini berlaku akibat pembukaan beberapa kampung kecil seperti Kg. tanah Seribu, Kg. Padang, Kg. Jawa, Kg. Pasir dan Kg. Tersusun Hj. Tahir.Persimpangan masuk ke kampung ini terletak di tengah-tengah Jalan Persekutuan Tapah-Kampar kira-kira 6km dari Tapah dan 2km dari Temoh. Ia dibawah pentadbiran Mukim Chenderiang yang termasuk dalam daerah Batang Padang. Pentadbiran Kg. Batu Masjid diuruskan oleh sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai JKKK yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Perak. Entiti ini bertanggungjawab kepada Penghulu Mukim Chenderiang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning.



Rabu, 21 Januari 2009

Kampong Rao Chemor, Perak (2)


Siri Menjejaki Bako pada petang 21 Januari 2009 (Rabu) melangkah ke rumah Hj Buyong bin Alias, 84 tahun atau lebih mesra dengan panggilan Pak Buyong di Kg. Cik Zainal, Chemor, Perak. Saya dan sdr Kamarudin Hj Ismail disambut oleh Pak Buyong dan isterinya dengan ramah. Pak Buyong ialah cucu kandung salah seorang pembuka Kg. Rao, Chemor, Perak.
Menurut Pak Buyong, Kg. Rao, Chemor dibuka oleh tiga beradik iaitu Ismail, Sapiah dan Abas serta disertai Hj. Baki suami Sapiah selaku ketua. Mereka belayar merentasi Selat
Melaka dari Rao Sumatera Barat, Indonesia sekitar tahun 1890-an dan tiba di Matang berhampiran Taiping, Perak.
Tidak lama mereka tinggal di Matang kemudian meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta lembu (sapi) ke suatu tempat yang kini dikenali Ulu Chemor. Adalah dipercayai merekalah peneroka Ulu Chemor dan kemudian melebarkan usaha menebang, menebas hutan belantara untuk membuka Kg. Rao di Batu 9 Jalan Ipoh.

Pak Buyong dilahirkan di Kg Rao Chemor pada 6 Julai 1925 hasil perkahwinan Alias dengan Saemah (Alias anak Hj.Baki, Peneroka Kg. Rao). Dia mempunyai adik bernama Hashim tetapi telah meninggal dunia di Pahang. Pak Buyong menerima pendidikan asas di Sekolah Melayu Chemor dan satu sekolah dengan Allahyarham Aminudin Baki, Tokoh Pendidikan Negara. Dia tidak berkesempatan menyambung pelajaran menengah di Ipoh kerana keluarganya miskin tidak berdaya untuk membeli basikal. Berbeza dengan Aminudin Baki, selepas tamat sekolah Melayu, dia melanjutkan pelajaran di Ipoh dengan berbasikal sejauh 20 KM sehala.
Semasa zaman British menguasai Tanah Melayu, Pak Buyong berkerja sebagai pemandu bulldozer di sekitar Chenderiang, Banir dan Kg Batu Tiga Temoh. Kemudian dia bekerja pula sebagai attendan Hospital Bahagia Tanjong Rambutan selama 22 tahun. Apabila menerima kurniaan tapak rumah daripada Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1979 dia pun berpindah dari Kg Rao ke tempat baru iaitu Kg. Cik Zainal. Mempunyai sembilan orang anak; 5 perempuan, 4 lelaki. Pada tahun 1996 dia bersama isterinya berkesempatan menunaikan fardu haji ke Makkah dan kini meneruskan sisa hidupnya yang kian dimamah usia.
Sambil teringat zaman lampaunya, Pak Buyong teringin benar untuk bersua muka dengan sanak saudaranya yang menetap di Kg. batu Tiga, Temoh sebelum dia berangkat ke alam yang lain. Semoga keluarga Pak Buyong dapat menyimpulkan ikatan benang kekeluargaan Rao itu kembali.

Isnin, 19 Januari 2009

Kampong Rao Chemor, Perak (I)

Bentuk rumah Rao



Hj Abd. Arif Abd. Karim

Kurang dua puluh kilometer dari Bandar Raya Ipoh menghala ke Pekan Chemor terletak sebuah kampung Melayu tradisi bernama Kampong Rao, Batu 9 Jalan Ipoh, Chemor, Perak. Kg. tua ini telah berusia melebihi seratus tahun dan dipercayai dibuka pada tahun 1890-an masehi oleh Hj Baki dan Isterinya, Sapiah, Ismail dan Abas yang berhijrah dari Rao Sumatera Barat melalui Matang, Taiping, Perak.

Kg Rao Chemor kini seluas 4 ekar dan didiami seramai 40 orang penduduk dengan 15 buah rumah. Sewaktu awal penerokaannya kawasan kampung ini agak luas juga tetapi segelintir penduduknya telah menjual tanah mereka dan berpindah ke lain tempat, justeru keluasannya kian berkurangan. Di sini juga kelihatan banyak rumah ditinggalkan usang dan sayu hati apabila memandangnya! Penduduk terutama generasi baru ramai yang berhijrah dan membina penghidupan baru di tempat lain kerana tuntutan hidup! Namun kampung tidak sepi dan sunyi kerana ia terletak berdekatan Pekan Chemor.

Sesuatu yang bersejarah bagi kampung ini ialah menjadi padang permainan bekas Timbalan Presiden Indonesia, Allahyarham Tun Adam Malik ketika kecil kerana kampung Allahyarham dekat benar dengan Kg. Rao. Allahyarham dilahirkan di Kampong Mandehiling kerana ibunya, Salmah berasal dari Chemor tetapi bapanya orang Sumatera Barat, Indonesia.


En. Nadzran Musa

Pada 20 Januari 2009 saya dan sdr Kamarudin Hj. Ismail telah sempat berkunjung ke kawasan ini dan mendapati bersebelahan Kampong Rao terletak pula Kampong Mandehiling. Kedua-dua kampung ini dipisahkan oleh Jalan Chemor-Ipoh.

Benarlah teori menyebut bahawa di mana ada urang Rao di situ ada Mandehiling. Teori ini terbukti di Banir, Perak (perkampungan orang Mandehiling) tetapi di sebelahnya pula Kg. Batu Masjid, Temoh diduduki pula urang Rao. Kedua-dua suku kaum ini hidup bagaikan pepatah Melayu, ibarat aur dengan tebing; cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya - saling bantu-membantu serta menghormati di antara satu dengan yang lain.

Inilah adat urang Rao; cepat mesra. Bagaikan dah kenal bertahun-tahun, begitu mesra sekali saya dan Kamarudin bergebang dengan Ketua Kampong Rao, Sdr Nadzran bin Musa serta Hj Abdul Arif bin Abdul Karim (cucu Hj Baki, peneroka Kg. Rao). Kami berandai-randai tidak kurang dua jam di rumah Ketua Kampung itu meskipun kami bertemu mereka pada hari ini buat pertama kalinya!


Siri menjejaki bako ini tidak berakhir di sini tetapi sebaliknya kami akan datang lagi ke Kg .Rao bersama AJK Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) (sdr Tahirrudin dan Hj. Haris) bagi memenuhi undangan sdr Nadzran yang akan melangsungkan upacara Berjojak cucudanya pada 26.1.2009 jam 9.00 pagi. Selepas acara tersebut kami berhasrat akan mengadakan program khas "Pengisahan Rao" serta tayangan slide lawatan balik kampung ke Rao, Sumatera Barat untuk tontonan kaum keluarga sdr Nadzran serta penduduk kampung itu.

Kisah dolu-dolu

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: 30.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.

Buku Sekondakhati

Buku Sekondakhati
Buku yang memaparkan topik mengenai etnik Rao (Rawa) yang perlu dimiliki oleh mereka. Halaman 202 kulit kilat, kertas berkualiti dan penuh warna. Satu-satunya buku berbentuk journal khas mengenai Rao.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM40. Pembayaran: CIMB 08021261220523. TEMPAH SEGERA* NASKHAH HAMPIR KEHABISAN.

Rao Di Sana-Sini

Rao Di Sana-Sini
Kompilasi 11 kertas kerja Seminar Melayu Rao yang julung kali diadakan di negara ini. Ketebalan 294 halaman. Tiada di pasaran terbuka. Kulit tebal RM70; kulit tipis RM40 termasuk belanja pos. Pesanan boleh dibuat kepada En. Zabidin Hj Ismail melalui 012-5070513. Pembayaran: CIMB 08021261220523

Antologi Puisi Rao Nusantara

Antologi Puisi Rao Nusantara
Buku yang memaparkan puisi mengenai etnik Rao (Rawa) yang ditulis oleh penyair Malaysia dan Indonesia. Halaman 176 kulit kilat, kertas berkualiti. Satu-satunya buku puisi Rao yang pernah diterbitkan di negara ini.Tiada di pasaran terbuka. Hanya boleh diperolehi melalui pesan kepada En Zabidin Hj Ismail 012-5070513. Harga termasuk belanja pos RM20. Pembayaran: CIMB 08021261220523.

Boleh juga bayar di sini

Rakan Sekondakhati

Lensa Rao